Insyiraa vs Adam Iskandar

35 2 0
                                    

     Senyuman yang belum terpadam dari benaknya itu milik Adam Harris, bekas tunangannya lebih kurang dua tahun yang lalu.

Serentak itu, mama dan papanya turut keluar dari pintu hadapan dan belakang kereta itu. Di pangkuan mamanya ada seorang bayi yang lebih kurang setahun umurnya.

"Assalamualaikum", serentak mereka memberi salam.

"Waaalaikumsalam..",jawab ayah dan ibunya.

Insyiraa sebenarnya mahu melarikan diri ke dalam, namun sudah terlambat, mereka semua telah menapak masuk ke dalam rumahnya.

Tiada pilihan, Insyiraa bersalam dengan mama Harris, Puan Mazni...Puan Mazni melepaskan bayi dalam dukungannya kepada ibu Insyiraa lalu mendakapnya erat dan mencium pipinya.

"Ain sihat..", soal Puan Mazni bila dilihat Insyiraa hanya terdiam begitu.

"Saya sihat Alhamdulillah...err..jemput duduk mak cik, pak cik...Harris..",ujar Insyiraa serba salah.

Adam Harris turut bersalam dengan bapanya. Kemudian melirik ke arah Insyiraa sambil tersenyum manis lalu duduk bersebelahan ibunya, Puan Mazni.

"Err, saya minta diri ke dalam dulu ya...",Insyiraa mengambil peluang yang ada untuk melarikan diri dari situasi yang menyesakkan nafasnya itu.

Dia bergegas ke dapur. Membuka paip air pada sinki. Mencuci tangan, menutup semula paip itu, mengambil tuala kecil pada dinding untuk mengelap tangannya. Aduh, Allahuakhbar...bala apa lagi ni....kebetulan adiknya Ainul Mardiah sedang menapak ke dapur,

"Adik, adik tahu tak yang abang Harris nak datang..?",ditarik adik perempuannya ke sudut dapur.

"Mana ada kak, adik pun tak tahu apa-apa.., mak cuma cakap ada orang nak datang..",ujar adiknya terpinga-pinga dengan kelakuan Insyiraa.

"Ala kak, layan aja mak tu..", selamba adiknya berkata-kata lalu mengambil sebiji pinggan dan berlalu dari situ.

"Eh, budak ni..kau cakap senang la...aduh",terasa mahu lari sahaja Insyiraa saat itu seperti mana masa kecil dahulu dia selalu melarikan diri ke sawah padi di belakang rumah bila dimarahi ibunya.

Baru sahaja dia hendak menapak ke dalam biliknya,

"Kak Ain, mak panggil ke depan tu...",ujar adiknya yang menjengah dari ruang tengah.

Aduh, kenapa mesti aku, kenapa...Insyiraa menyeringai marah pada adiknya. Kemudian dia melangkah dengan sopan ke ruang hadapan. Malu amat dia bila terasa semua mata memandang ke arahnya. Dia melabuhkan punggung di sebelah ibunya sambil tersenyum paksa buat tetamu-tetamunya itu.

Bayi comel dalam dakapan ibunya mengekek bila memandang wajahnya. Lantas spontan Insyiraa yang memang gemarkan budak-budak itu mengambil bayi tersebut dan meletakkannya di ribaannya. Makin kuat ketawanya bila Insyiraa mengagahnya pula. Melihatkan itu, mama dan papa Harris berpandangan penuh makna. Adam Harris turut tersenyum.

" Anak siapa ni mak cik?",tanya Insyiraa.

"Anak saya Ain...",jawab Adam Harris ringkas sambil mengarahkan pandangannya pada Insyiraa.

"Oh, ye ke...mana ibunya...", selamba Insyiraa bertanya sedangkan gejolak hatinya hanya Tuhan yang tahu.

"Kamu belum diberitahu ke Ain",soal Puan Mazni pula hairan.

Insyiraa memanggungkan kepalanya lalu diarahkan ke arah Puan Mazni. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya tanda tidak tahu apa-apa. Adam Harris hanya tunduk membisu.

"Ibunya meninggal Ain, saat melahirkan Adam Iskandar..",jawab papa Harris, Encik Fadzil Amri dengan sayu.

"Oh,maafkan saya...Innalillahi wainna ilaihirrojiun...",terkejut Insyiraa dengan berita itu.

Sumpah dia tak tahu apa-apa tentangnya. Apatah lagi sejak putus tunang lebih kurang setahun lebih dia langsung tidak mengambil tahu perkembangan Harris. Cuma dia tahu Harris telah berkahwin. Nombor telefon Harris telah diblocknya. Bukan dia berdendam. Sebenarnya dia tidak mahu lagi hidup dalam bayangan dukanya. Dia juga manusia biasa yang ada hati dan perasaan.

Tiada siapa yang tahu berapa lama dia makan hati, berapa banyak air mata yang telah ditumpahkan dan berapa lama hatinya menderita sakit bak kaca terhempas ke batu. Dan berapa lama juga dia mengambil masa untuk mengutip sisa-sisa hidupnya untuk disatukan semula menjadikan dia Ain Insyiraa seperti hari ini.

Ditenungnya bayi dalam ribaannya yang juga tatkala itu merenungnya. Matanya seratus peratus memang diwarisi dari Harris juga lekuk pada dagu comelnya. Sayu amat. Bayi yang sekecil ini telah hilang kasih sayang ibunya..namun siapa dapat melawan takdir.

"Saya minta maaf semuanya. Saya langsung tak tahu menahu mengenai perkara ini...takziah Harris.., awak ok ke..?", soalan apa yang diajukan itu, Insyiraa sendiri tak pasti.

Tenggelam punca dia setelah semua mata tertumpu padanya.

"Memang luarannya saya nampak ok Ain, tapi dalamannya hanya Allah yang tahu..", jawapan Harris itu mengundang simpati semua. Puan Mazni menggosok-gosok belakang Harris untuk menenangkan anak lelaki tunggalnya itu.

Tiba-tiba si kecil itu merengek, mahu disusukan agaknya. Insyiraa bangun lalu menyerahkan si kecil itu pada Puan Mazni. Ternyata makin kuat tangisannya bila dia dalam ribaan neneknya. Sama juga situasinya bila Harris sendiri yang memangkunya. Tiada pilihan Insyiraa terpaksa mengambil semula bayi itu bersama botol susunya. Seketika dia senyap sambil meminum susu disuap oleh Insyiraa dan kemudiannya tertidur di dalam ribaannya.

Kemudian Insyiraa membawa bayi itu ke dalam untuk diletakkan di atas tilamnya. Antara sedar dan tidak dia turut tertidur bersama bayi itu. Keletihannya memandu pulang ke kampung tadi terubat sedikit dengan tidur itu.

Tersedar tatkala tangan ibunya mengambil bayi itu dari sebelahnya.

"Allahuakbar, maaf mak....lama ke Ain tertidur...",Insyiraa rasa bersalah amat.

"Lama la jugak. Diaorang pun dah nak balik tu. Tu yang mak nak ambil si Adam ni",ujar ibunya.

"Allah, malunya saya mak...mak cakap saya tidur lagi ye...",Insyiraa mahu mengelak dari bertembung mereka lagi.

CINTANYA AMPUH DI BUMI BANJARWhere stories live. Discover now