Surat Cinta Untuk Irwan...

32 2 3
                                    

    "Kamu fikir saya sanggup menikah sama lelaki yang tidak saya cinta..?"ungkap Insyiraa seraya memandang tepat ke mata Anang.

"Jadi, kamu ke sini mahu mencari semula cinta sejati kamu..?"tanya Anang menduga.

Insyiraa hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Bukan itu tujuan saya. Saya tahu Anang, Irwan akan dimiliki tak lama lagi. Saya redha, saya tak salahkan dia kerana membenci saya...masa dan keadaan yang mengelirukan dia..."sayu sekali ungkapan Insyiraa itu, namun tiada setitik air mata pun yang mengalir ke pipinya.

Dia perlu kuat. Perlu kuat seperti selalu. Kuat seperti mana dia menempuh tahun-tahun suramnya bersama karier dan studynya sekaligus, waima dalam setiap helaan nafasnya akan muncul nama dan wajah Irwan berulang-ulang.

Dan kata-kata itu jugalah yang menghantui Anang hingga ke malam. Lalu ketika bersendirian di bilik recording dia membuka semula salinan lembaran yang telah berusia tiga tahun itu yang tersimpan kemas dalam begnya. Dibacanya lagi satu persatu ayat-ayat cinta yang amat sendu itu.

"Asyik kali kamu Ann, apaan yang dibaca tu...?"terkejut amat Anang dengan kemunculan tiba-tiba Irwan di situ. Sangkanya Irwan telah keluar untuk pulang.

Surat di tangannya yang berjumlah tiga helaian itu terjatuh ke lantai. Belum sempat dia mengutipnya terlebih dahulu Irwan telah mengambilnya.

Anang terkesima. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan bila Irwan mula membaca kandungan surat itu, mungkin inilah masanya...fikir Anang.

(Video ini hanya penguat cerita, tiada kaitan dengan watak-watak dalam kisah ini, Tribute pada pemiliknya..DAVID SAPUTRA)

Assalamualaikum Irwan,

Tatkala saya menulis surat ini sebenarnya saya sedang terlantar sakit di hospital, sakit kerana terlalu merindui dan mencintai kamu Irwan. Terima kasih kerana memberikan saya kesengsaraan ini. Dalam ramainya orang yang ziarah saya di sini, kenapa wajah kamu yang paling saya nanti-nantikan...?

Kenapa kamu tidak langsung mahu memberi saya ruang untuk menjelaskan perkara yang sebenar-benarnya situasi pada malam itu. Sesungguhnya demi Tuhan apa yang kamu lihat tak seperti apa yang kamu fikirkan Irwan.

Malam itu selepas keluar dari lounge, saya cuba berkali-kali menghubungi kamu. Saya cuba mesej kamu. Saya tunggu kamu sehingga ke subuh. Dalam tempoh itu saya betul-betul jadi tidak keruan...Dan ini yang saya dapat akhirnya...

Baiklah, sebelum kamu menghukum saya atau sebelum kamu merenyukkan surat ini, baca dan fahamilah dahulu isi kandungan surat ini.

Lelaki yang kamu lihat malam itu ialah Adam Harris, bekas tunangan saya hampir tiga tahun yang lalu bersama keluarganya. Anak kecil itu ialah anaknya bersama arwah isterinya. Saya sendiri tak sangka sampai ke sini dia mencari saya untuk menuntut jawapan cintanya, sedangkan dia sendiri tahu jawapan itu.

Pertunangan kami hanya separuh jalan kerana dia memilih untuk berkahwin dengan pilihan hatinya semasa melanjutkan pengajiannya di Jordan. Tak siapa pun yang tahu betapa hancurnya hati saya saat itu.Berapa lama saya tanggung derita. Berapa lama saya cuba mencantum semula hati saya yang telah hancur berderai ini...

Dan jika kamu mahu tahu, kenapa saya menangis tersedu-sedu sewaktu pertama kali kamu mencurahkan perasaan cinta kamu berhadapan dengan Sungai Martapura malam itu, kerana inilah..., kerana parut luka lama kesan cinta saya telah berdarah kembali...

Dan setelah hati saya hampir sembuh dari luka itu, sembuh dengan penawar dari tulusnya cinta kamu..., dia muncul kembali untuk menyambung hubungan...

Demi Tuhan, tiada lagi rasa cinta saya padanya. Segala-galanya telah hambar. Cuma mengenangkan nasib anak kecilnya yang ketiadaan ibu, menyebabkan saya jadi simpati padanya. Cuma simpati yang lahir dari sifat peri kemanusiaan saya. Tidak lebih dari itu.

Lagi pun saya mula sedar, semakin hari perasaan sayang saya pada kamu semakin segar. Semakin lama cinta saya bukan hanya pada bumi Banjar, tapi pada orangnya juga...

Mengapa saya tidak berterus terang dengan kamu mengenai Adam Harris dan anaknya?

Saya cuba beberapa kali untuk menyampaikan kepada kamu kisah ini, tapi...melihat keterujaan kamu setiap kali kita berhubung melalui telefon saya jadi tak sampai hati...saya cukup bimbang perkara ini akan melukakan hati kamu. Saya jadi bimbang kamu akan menyuruh saya menerima dia dan meninggalkan kamu sedangkan saya amat-amat mencintai kamu dan saya tak sanggup hidup tanpa kamu...

Dan sesungguhnya saya dalam dilema yang teramat tatkala saya meminta kamu memainkan lagu dengan gitarmu. Saya dalam dilema amat tatkala menjejakkan kaki kali kedua ke sini, saya juga dalam dilema amat tatkala berhadapan dengan Sungai Martapura buat kedua kalinya tempoh hari.

Dan saya bertekad hari itu ketika berhadapan dengan Sungai Martapura buat kali keduanya saya akan meluahkan segalanya kepada kamu kisah ini, tapi melihat keterujaan kamu dapat bertemu dengan saya, sekali lagi saya tewas dengan perasaan saya. Saya tak sanggup lihat kamu sedih. Kalau boleh saya mahu senyuman manis sentiasa terukir di wajah kamu. Kalau boleh saya sentiasa mahukan pancaran mata kamu menceritakan setiap kebahagiaan kamu...

Dan saya pasti kamu dan juga ibu perasan dengan perubahan sikap saya yang agak pendiam.. Tapi itulah saya, seorang Ain Insyiraa yang tak akan sesekali menyusahkan orang lain dengan masalahnya sendiri. Sedangkan saya tidak sedar sikap saya ini telah banyak menyusahkan orang lain. Maafkan saya Irwan...

Lusa..., tugas saya akan selesai di sini dan saya akan pulang ke Malaysia bersama student saya. Besar harapan saya kiranya kamu turut sama berada di airport ketika itu menghantar kepulangan saya.

Jika setahun yang lalu saya tinggalkan kamu di airport Syamsudin Noor dengan seribu satu persoalan cinta, tapi kali ini saya berjanji, saya akan tinggalkan kamu bersama sekeping hati saya yang tulus ikhlas mencintai kamu.

Percayalah Irwan, sesungguhnya saya amat-amat mencintai kamu...sejak bila..? saya sendiri tidak pasti...

Moga ketemu lagi..

                                                                                 Yang sangat merinduimu,

                                                                                       Ain Insyiraa...(12.30 am)

"Lailahaillallah...!" serentak dengan ungkapan itu tubuh Irwan melurut jatuh ke lantai bersandarkan dinding bilik itu.

CINTANYA AMPUH DI BUMI BANJARWhere stories live. Discover now