Anything For You Insyiraa...

25 1 0
                                    

     Sementara hati Irwan berbunga riang menerima respons positif dari gadis seberang itu, walau agak lewat. Senyuman di bibirnya makin melebar. Barulah tenang untuk dia merebahkan badannya di atas katil. Inilah malam terakhir untuk dia di desa ini kerana esok dia akan bertolak pulang ke Banjarmasin untuk bergabung semula dengan bandnya dan meneruskan tugasan harian di studio miliknya juga rutin bermain muzik di lounge dan hotel sekitar Banjarmasin.

Terima kasih, anything for u Insyiraa...

Itu sahaja yang mampu diungkapkannya pada Insyiraa. Membayangkan redup lembutnya wajah itu serta senyuman manis berlesung pipit perawan seberang itu yang setia terpahat di mindanya membuatkan dirinya bertambah tenang untuk menempuh hari-hari mendatang.

Walau Insyiraa belum memberi apa-apa kata putus lagi namun biarlah, dia sanggup menunggunya.

Kata-kata ibunya yang lelaki harus kuat memang sangat tepat. Kuat seperti abahnya yang sanggup menempuh rintangan membawa ibunya pulang ke Banjar dari Malaysia berpuluh tahun dahulu.

Kali ini Irwan benar-benar berazam yang dia akan membawa Insyiraa pulang ke Banjar dengan restu dari kedua-dua belah keluarga. Dia telah membayangkan satu majlis perkahwinan yang meriah namun masih sederhana walau tidak sehebat abangnya dahulu, Irfan Syah.

Dan dia juga sedar yang Insyiraa bukannya jenis perempuan yang suka berlebih-lebihan. Insyiraa seorang yang amat sederhana dari apa-apa sahaja segi. Dan gadis pujaannya itu juga bukannya jenis manusia yang suka tonjolkan diri sendiri. Buktinya Insyiraa kurang bercakap mengenai kariernya yang agak hebat itu.

Terkadang Irwan rasa, hidupnya dan hidup Insyiraa berbeza benar. Insyiraa jenis yang yang berfikiran terbuka, banyak pengalaman hidup. Selalu sahaja ke luar negara bersama team kolejnya. Sementara dia hanya dengan dunia muziknya di sekitarnya sahaja. Hari-hari hidupnya bergelumang dengan muzik bersama bandnya. Jika tidak diundang ke majlis perkahwinan, mereka akan menjalani rutin harian menghiburkan pengunjung hotel atau lounge sekitar Banjarmasin.

Salahnya juga. Dia menolak peluang pekerjaan lain setelah tamatnya ijazah pertamanya lantaran minatnya yang sangat mendalam dalam bidang muzik. Dan hasil dari titik peluhnya dalam bidang muzik juga dia akhirnya berjaya memiliki studio sendiri. Dan studio itulah yang telah banyak berjasa mengembangkan bakat dan dunia muziknya.

Sepatutnya dia mencari jodohnya di sini, juga hidup bekeluarga dengan orang tempatan juga. Gadis-gadis Banjar yang ditemuinya, juga ada di sekitarnya tak kurang cantiknya. Tapi kenapa dengan gadis seberang juga hatinya terpaut. Kenapa Ain Insyiraa juga yang tetap ada dalam mindanya. Yang sentiasa terbayang di matanya.

Dan kalau cintanya ditolak oleh gadis itu, mampukah dia hidup seperti sebelumnya. Bersediakah dia untuk menerima insan lain dalam hidupnya. Bolehkah dia melupakan senyuman manis gadis itu yang seolah telah meresap ke segenap pelusuk darah dagingnya itu.

Aduh..., tak sanggup dia memikirkan itu semua. Teringat ungkapannya dahulu pada Insyiraa,

"Jika ditakdirkan kita tiada jodoh, aku terpaksa terima akibatnya..."

Mampukah dia terima akibatnya...? Ah, lelaki harus kuat...Teringat pula ungkapan keramat ibunya...

Ya, aku harus kuat, demi ibu..., demi Insyiraa...

Aduh mata, kenapa belum mahu mengantuk...? Insyiraa...udah tidurkah kamu...kenapa malam ini aku jadi rindu banget sama kamu...?...

Hendak gugur,gugurlah nangka,

Jangan ditimpa si ranting pauh,

Hendak tidur,tidurlah mata,

Jangan dikenang orang yang jauh....

CINTANYA AMPUH DI BUMI BANJARWhere stories live. Discover now