Tiga Tahun Berlalu...

19 2 0
                                    

     Dan sejak peristiwa itu telah hilang sinar keceriaan pada wajah tampannya itu. Nama Ain Insyiraa turut berkubur bersama hancurnya telefon bimbitnya. Dan tidak seorang pun dari sahabatnya itu yang berani menyebut nama itu lagi di hadapan Irwan. Simpati amat mereka dengan nasib lelaki itu.

Begitu juga dengan keluarganya di kampung. Ibunya sendiri tidak berani lagi menanyakan apa-apa mengenai Insyiraa kepadanya.

Aisyah adiknya yang keletah itu juga tidak berani lagi bergurau mengenai Insyiraa dengannya. Menu soto banjar juga tidak lagi dijamahnya. Apa-apa sahaja yang boleh mengingatkan dia pada Insyiraa tidak akan disentuhnya lagi. Walau ke tebing Sungai Martapura sekali pun dia tidak pernah kunjunginya lagi.

Dan tiada siapa tahu apa yang terkandung jauh di sudut hati Irwan mengenai Insyiraa. Tiada siapa dapat mengagak betapa berat jiwanya menanggung siksa melupakan wajah manis itu.

Sebenarnya tiada siapa tahu yang kenangannya bersama Insyiraa di pasar terapung beberapa tahun dahulu masih tersimpan kemas dalam fail rahsianya di dalam laptop peribadinya. Cuma dia belum berani membuka fail itu. Bimbang laptopnya pula jadi sasaran kemarahan seperti mana telefon kesayangannya dahulu.

Walau dia cuba memadam semua memorinya bersama gadis itu, namun dia tidak boleh menipu dirinya sendiri yang wajah itu masih tetap menghantuinya siang dan malam. Lalu untuk menghalau jauh-jauh kenangan itu dia cuba memberanikan dirinya menyuarakan hasrat hatinya kepada ibunya.

"Ibu, kalau ngak jadi keberatan tolong carikan aku jodoh...siapa saja pilihan ibu aku terima...baik pada ibu, baik juga padaku..."luah Irwan pada suatu petang tatkala seperti biasa dia pulang melawat ibu dan abahnya itu.

Terkejut ibunya, juga Aisyah yang tika itu yang sedang menelek telefonnya. Mana mungkin ibunya mampu mencari jodoh lain buat Irwan sedangkan jauh di sudut hati ibunya telah terpatri nama dan wajah Insyiraa sejak sekian lama.

Ibunya juga yakin jauh di sudut hati kecil anak lelakinya itu masih lagi ada tersimpan nama itu.

"Kamu yakin Wan, kamu sudah sedia..."soalan ibunya terbiar tanpa jawapan.

Sebenarnya Irwan juga tidak yakin dengan permintaannya sendiri.

Sampai sekarang sudah tiga tahun kisah malang itu berlalu, ibunya masih tidak percaya Insyiraa sanggup berbuat begitu pada anak lelakinya. Walau bukan selalu dia bertemu Insyiraa namun dia seakan tahu luar dalam isi hati gadis itu.

Demi menjaga hati anak lelakinya itu, dia juga membisu seribu bahasa. Teringin sekali dia bertanya duduk sebenar perkara itu. Menurut Irwan, Insyiraa telah ada pilihan lain tanpa pengetahuannya. Itu sahaja yang diceritakan padanya.

Kalau betul, mungkin Insyiraa telah berkahwin dan mempunyai anak sendiri. Tiada guna dikenang pada orang yang telah jauh dari kita. Fikir ibunya lagi.

"Ibu aku mohon, kalo ibu sayang sama aku, jangan ditanya lagi soal Insyiraa. Aku anggap dia sudah tiada ibu,"itulah kali terakhir Irwan menyebut nama perawan itu sejak bertahun yang lalu.

Mana pergi ayat-ayat cinta yang dia sanggup mati demi Insyiraa? fikir ibunya lagi.

Dan demi memenuhi hasrat hati anak lelakinya itu Ibu Irwan melalui saudara terdekat sebelah abahnya telah merisik-risik beberapa orang calon yang difikirkan layak buat Irwan.

Ibunya redha, kiranya panas yang disangka hingga ke petang tidak menjadi akibat hujan yang turun di tengah hari.

Siapalah dia untuk menidakkan takdir Allah ke atas hambanya. Allah adalah sebaik-baik perancang. Apa yang dimahukan ialah sinar keceriaan pada wajah anak lelaki kesayangannya itu kembali semula walaupun tidak bersama Insyiraa.

Lantas berderaian lagi manik-manik jernih di pipi tuanya tatkala mengaminkan doa solat Isyaknya.

Irwan pula saat itu sedang bertafakkur di atas sejadah di dalam biliknya...Dia mohon supaya mendapat jodoh yang baik. Dia mohon supaya nama Insyiraa tidak lagi berada di mindanya. Dia mohon supaya diberi keberkatan hidup dunia dan akhirat. Dia redha jika ditakdirkan hidupnya bukan bersama perawan itu.

Apa kisahnya pula dengan Insyiraa, bahagiakah dia dengan Harris,Peguam Syarie yang kacak lagi tampan itu? Tentu mereka telah dikurniakan anak sendiri yang comel setelah tiga tahun berumahtangga. Tentu Adam Iskandar sangat gembira beribu tirikan Ain Insyiraa yang penuh dengan sikap keibuan dan lembut lagi sopan itu.

Apa hal pula dengan pengajian PhD Insyiraa. Tentu pensyarah muda itu telah lulus dan bergelar doktor falsafah pun. 'Dr. Ain Insyiraa'...hebatnya panggilan itu, sehebat orangnya. Tentunya sekarang nama Irwan, juga bumi Kalimantan dan tanah Banjar ini telah dilupakan terus oleh wanita itu.

Hal itu semua terbayang silih berganti di kepala Irwan saat dia merebahkan badannya ke atas katil. Ternyata semakin dia mahu melupakan Insyiraa, semakin banyak kenangan mengenainya menelusuri fikirannya.

Bezanya kini senyumannya tidak terukir lagi bila nama itu timbul di benaknya. Hanya kemarahan dan perasaan benci yang membuak-buak akan terpancar di wajahnya. Sengaja dia tidak mahu terbuai dengan perasaan indah lagi kerana Ain Insyiraa sekarang tidak sama lagi dengan Ain Insyiraa tiga tahun yang lampau.

Ternyata pertanyaan Insyiraa disaksikan Sungai Martapura dahulu betul-betul menghempap hidupnya sekarang.

"Bersediakah kamu menjalinkan hubungan jarak jauh yang biasanya akan kecundang"

Ya, memang Irwan telah kecundang.Teringat pula dengan jawapan selambanya pada pertanyaan itu,

"Jika itu takdirnya aku terpaksa terima.."

Ya, memang dia terpaksa terima. Terpaksa terima derita perpisahan, terpaksa terima derita cinta, derita perasaan, segala-galanya derita...

Teringat lagi dia dengan telefon kesayangannya yang hancur kerana kemarahannya yang tak dapat dikawal, teringat juga dengan surat Insyiraa yang ditinggalkan di hadapan pintu masuk studionya bertahun dahulu hancur menjadi abu dibakarnya sebelum dibaca. Juga t-shirt, topi serta selendang batik yang dibuang ke dalam tong sampah di belakang studionya.

Kenapa setelah segala kenangan zahirnya bersama Insyiraa dihapuskan, sampai saat ini nama itu tak mampu dipadamkan dari memorinya.?

Kalaulah dia tahu begini sakitnya bercinta dengan perawan seberang itu, nescaya dari dulu lagi dia telah melamar mana-mana gadis Banjar yang memang ramai meminatinya untuk menjadi isterinya.

"Kenapa kamu tidak pilih saja salah seorang dari mereka, dari kamu penasaran menunggu saya,"kata-kata Insyiraa itu masih segar dalam mindanya.

Tertidur juga dia dinihari itu dengan sarat bebanan perasaannya...

CINTANYA AMPUH DI BUMI BANJARWhere stories live. Discover now