Flashback
"ALIP?"
"Raf."
Rafael menghembus nafas lega. Mati-mati dia ingat ada orang luar tadi. Pistol di tangan dijatuhkan.
"Finally.."
Rafael menghela nafas panjang. Lega. Terasa ringan sedikit beban di bahunya. Dari tadi dia tak jumpa jalan keluar. Syukur dia dipertemukan dengan Alief. Tak adalah dia sorang-sorang lagi.
"Kenapa dengan kau ni?" Soal Rafael ragu-ragu.
Lampu disuluh ke tubuh Alief. Badan Alief yang penuh dengan kesan darah itu ditenung lama. Banyak tompokan darah melekat pada pakaian lelaki itu, terutamanya di kawasan tangan dan leher.
"Aku terjatuh tadi." Jawab Alief sepatah.
"Sampai berdarah?"
"Haah."
Rafael menggigit bibir sambil mengerut sebelah kening. Walaupun dia agak lega dapat berjumpa dengan Alief, dia sedikit meragui kehadiran lelaki itu. Entah kenapa dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Rafael mula tak sedap hati.
"Mana ahli kumpulan yang lain? Kau datang sorang je ke?"
Rafael memerhati halkum Alief yang bergerak-gerak. Lelaki itu menelan liur. Teragak-agak untuk menjawab soalan yang dilontarkan oleh Rafael sebentar tadi.
"Haah, aku keluar sorang je. Lepas tu aku sesat. Nasiblah jumpa juga kau." Alief mengukir senyum. Senyum palsu.
"Eiz suruh kau keluar sorang je ke?"
"Haah."
Anak mata Rafael tak lepas dari memandang Alief. Lelaki itu tampak resah dan gugup. Bila tanya sepatah, dijawabnya sepatah. Pendiam. Tak macam selalu.
Dia berdecit sambil menyengetkan kepala. Aneh. Dari gaya dan cara bercakap pun dia dapat menebak.
Alief menipu.
Rafael menggigit dalam bibir. Berfikir. Tak boleh jadi. Dia tahu Alief ada sembunyikan sesuatu.
Tiba-tiba, dia teringat akan sesuatu.
"Weh, kau dengar tak ada suara orang menjerit tadi?"
Tak semena-mena mata Alief terbuntang luas. Air liur yang ditelan terasa pahit. Dadanya usah dikata. Berdegup laju bagai mahu berperang.
Takkanlah Rafael dengar juga?
"Tak. Tak dengar pun. Suara apa?" Alief mengangkat muka. Selamba.
"Suara orang menjerit. Aku tak tahu. Aku cuba cari suara tu tapi dah tak ada."
Alief ketawa kekok. Dia mengelak dari memandang mata Rafael. Sebelah tangan mengusap-usap perlahan tangan kanannya yang berdarah. Cuba mengurangkan rasa gentar.
"Entah, tak tahu. Aku tak ada dengarlah pula." Tipunya.
Rafael mengetap gigi. Tak tahu mengapa dia tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Alief. Sebuah keluhan dilepaskan. Penat.
Mereka berdua masing-masing diam, melayan perasaan sendiri. Alief pula sudah mencari tempat duduk untuk melepaskan penat. Sebuah batu besar berdekatannya dituju, lalu dia melabuhkan punggung di situ.
Pandangan Rafael jatuh ke tanah. Berfikir. Dia cuba untuk mencerna apa yang terjadi.
Seperti ada sesuatu yang mengetik suis ingatannya, suara jeritan tadi tiba-tiba menerjah ke ruang pendengaran. Dengan jelas, suara itu terngiang-ngiang di telinganya.

ANDA SEDANG MEMBACA
Still With You
RomantikaUs || BOOK 2 "Distance gives us reason to love harder," ♡♡♡ Setelah berpisah dalam tempoh masa yang lama, kepulangan Eizzaril kembali menceriakan hari-hari Zulaikha. Kalau dulu dia asyik nak mengelak daripada Eiz, tapi sekarang tak lagi. Eiz tak a...