"HUH..."
Ika melepaskan keluhan berat. Tak tahu mengapa semenjak dua tiga hari ni badan rasa cepat letih. Duduk diam pun dah rasa mengantuk. Kalau baring ni memang automatik terlelap.
Jam di tangan dipandang sekilas.
Masih berbaki 30 minit untuk kelas melabuhkan tirai. Pensyarah yang mengajar di depan langsung tidak diendahkan. Apa yang diajar hanyalah ibarat masuk ke telinga kanan keluar telinga kiri. Sepatah apa pun Ika langsung tak serap masuk otak.
"Ika, tengok jap yang ni. Aku tak sempat salin la.."
Buku nota Ika ditarik. Terbuntang mata Widya apabila melihat kertas yang serba putih itu masih bersih dan kosong.
"Woi, kau mengelamun ke apa ni?" Bahu Ika ditepuk perlahan.
"Hah?" Ika memberi pandangan kosong.
"Kau kenapa ni? Tak sihat ke?" Widya menyoal risau. Lain macam dia tengok Ika hari ini. Tak banyak cakap dan asyik termenung je.
Ika menarik senyum kecil. Dia menggeleng perlahan.
"Dah tu? Kau ada masalah eh?"
"Tak ada apalah. Aku penat je."
"Penat? Kau demam kot ni." Tangan Widya diletakkan di atas dahi Ika.
Tangan Widya dialihkan. "Ish kau ni. Tak ada lah sampai demam. Tak larat sikit-sikit je. Sakit kepala."
"Kau fikir apa?" Soal Widya sambil memandang ke hadapan semula. Tangannya laju menulis nota yang tertera di hadapan.
Ika diam. Kembali termenung.
Widya yang mendapati Ika yang masih diam tidak berkutik itu segera menoleh. Tergantung soalannya sebentar tadi. Widya berhenti menulis.
Ya Allah minah ni. Mengelamun lagi?
"Wei kau ralit apa ni?" Tegur Widya sambil menolak perlahan lengan Ika. Ika berpaling perlahan bersama wajah tidak berperasaan.
"Aku.. Aku tak sedap hati la weh. Tak tahu kenapa." Gumamnya perlahan.
"Lah, apasal pula ni?"
"Aku tak tahu. Tapi, aku rasa tak selesa sekarang."
Widya menghela nafas panjang. Risau juga bila Ika kata macam tu. Ika ni dah la pelik-pelik. Semakin lama dia mengenali gadis ini, baru Widya tahu yang Ika ni seorang perahsia. Masih ada banyak perkara yang dipendam olehnya walaupun sudah hampir setahun mereka menjadi teman sebilik. Ika ni banyak je masalah dia, tapi bila Widya tanya lebih-lebih, dia mengelak daripada memberitahu.
Tak nak menyusahkan katanya.
"Dah la, tak payah fikir macam-macam. Tak ada apalah. Syaitan je semua tu, nak bagi kau tak sedap hati. Sekarang ni, baik kau sambung kerja kau. Dah la tak tulis apa satu. Kejap lagi mulalah terhegeh-hegeh nak copy nota aku." Marah Widya.
Ika mencebik. "Hm, ya lah ya lah." Akur dengan kata-kata Widya, Ika mula membetulkan duduknya. Tangan mencapai pen dan tumpuannya kembali diberikan kepada pensyarah di hadapan.
Beberapa minit kemudian, kehadiran seseorang di pintu utama dewan kuliah itu menarik perhatian semua pelajar. Masing-masing tergamam melihat figura seorang lelaki berbadan tegap bersama uniform lengkap berwarna biru gelap.
Pelajar-pelajar perempuan di barisan hadapan memanggil pensyarah yang masih ralit menulis di papan putih. Sebaik sahaja menyedari kehadiran orang asing itu, pensyarah wanita tersebut kelihatan sedikit cuak dan akhirnya turun dari pentas. Mengatur langkah ke arah anggota polis tersebut.

ANDA SEDANG MEMBACA
Still With You
RomanceUs || BOOK 2 "Distance gives us reason to love harder," ♡♡♡ Setelah berpisah dalam tempoh masa yang lama, kepulangan Eizzaril kembali menceriakan hari-hari Zulaikha. Kalau dulu dia asyik nak mengelak daripada Eiz, tapi sekarang tak lagi. Eiz tak a...