51th

256 23 2
                                    

Aku duduk dan memandang ke luar tingkap kapal terbang ini tanpa suara. Ramai penumpang masih berpusu mencari tempat duduk masing-masing diringi pramugari dan pramugara. Nafasku turun naik menahan debaran yang kapal terbang ini bakal berlepas sebentar sahaja lagi. Perlahan-lahan aku menoleh ke arah figura duduk di sebelahku tanpa kata. Tubuhnya bersandar di kerusi dengan cermin mata hitam menutup matanya. Daripada sisi aku nampak matanya tertutup.

Pagi tadi setelah aku bangkit daripada tidur, aku bersiap dengan pantas dan menarik bagasiku turun melalui tangga. Ariana, Marc dan Khai memerhatiku daripada bawah dan Marc segera mendapatkan bagasiku di tangan. Apabila tiba di kereta Ammar, lelaki itu berpaling daripada bonetnya dan merenungku bersama bagasi di sisi. Tanpa suara, dia mengangkutnya dan mengisinya di bonet.

Tiada banyak bicara di antara aku, Ariana, Marc dan Khai selain daripada mereka mengharapkan kami selamat sampai dan pulang. Tiada langsung bicara aku bersama Ammar sepanjang perjalanan kami ke lapangan terbang sehingga kini.

Dia masih enggan berbicara denganku dan aku faham sebabnya. Aku bakal bertemu dengan ibunya tidak lama lagi dan kami masih dalam ketegangan. Adakah semua perkara yang kami lalui selama ini mempunyai pengakhiran yang buruk? Aku tidak mampu untuk meneruskan hidup apabila aku tahu yang aku penyebabnya.

Juruterbang sudah memulakan pengumuman dan aku mengemaskan tali pinggang dan dudukku dengan gemuruh. Ammar mengiring kearahku seketika membuatkan tubuhnya bersentuh dengan bahuku dan aku perasan dia ingin mengeluarkan telefon bimbitnya daripada kocek seluar.

Dia tunduk dan menaip sesuatu dengan lama. Aku menguis hujung bajuku dan menghela nafas. Kemudian aku mendengar ada panggilan masuk namun dia tidak menjawab kerana kami bakal berlepas sebentar sahaja lagi.

Selesai menaip, dia kembali menyandar kepalanya dan terdiam.

"Is everything okay?" Bisikku dan mengemam bawah bibir apabila memberanikan diri bertanya. Ini ayat pertama di antara kami berdua. Ammar menoleh kepalanya kearahku.

Kami berpandangan beberapa tika tapi aku tidak nampak dengan jelas irisnya melalui cermin mata itu.

"Mhmhm." Jawabnya sekilas dan kembali memandang ke hadapan.

Sekali lagi aku kecewa dan melihat ke arah tingkap yang mula menunjuk ke awan di langit apabila kapal terbang mula berlepas. Pemandangannya tidak lagi mengagumkan apabila hatiku mula memendung.

__________________________________________

Aku membuka mata dengan pantas seolah dikejutkan seseorang. Suasana di kabin kapal terbang ini gelap hanya ditemani beberapa lampu tidur yang terbuka. Mataku melirik ke arah tingkap dan aku perasan cuaca kehujanan di luar dan langit mula menjadi kelabu membuatkan keadaan kapal terbang sedikit bergelora. Badanku menjadi tidak sedap dan kepalaku agak pusing.

Dengan perlahan aku mencapai botol air di begku dan meneguk minuman dengan rakus. Dahiku mula berpeluh dan aku ingin ke tandas. Aku perasan Ammar nyenyak terlelap di sebelahku jadi aku bangkit dengan langkah berjaga-jaga untuk menuju ke tandas.

Usai tiba, aku membuka pili air dan membasahkan wajahku. Mataku terpejam rapat cuba untuk menghilangkan denyutan di dahi. Perutku turut terasa tidak senang. Masuk angin ke?

Aku bersandar di pintu bilik air yang kecil itu untuk melegakan kesakitan. Leherku turut dibasahkan sehingga lencun rambutku yang dilepaskan di bahu. Aku tahu yang tubuhku sudah masuk angin kini dan aku mahu muntah.

Aku mencangkung di hadapan mangkuk tandas dan menjolok tekakku dengan jari beberapa kali. Ini sahaja cara yang aku selalu cuba untuk melegakan sakit dan ketidakselesaan yang aku alami kini. Dengan pantas, aku berjaya memuntahkan segala isi perutku. Aku mengepam tandas dan kembali ke sinki untuk berkumur dan mencuci tanganku dengan sabun beberapa kali. Aku menyeluk poket seluar dan menyeluk gula-gula getah berperisa pudina.

Painful LoveTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang