70

1K 50 2
                                    

"Amna pasti dengan keputusan Amna?" Tanya mak.

Aku angguk.

Mak memelukku. Mengusap belakangku.

"Mak redha. Mak terima. Mak hormati keputusan Amna." Kata mak.

Aku membalas pelukan mak. Makin erat.

"Macam mana pun, Amna tetap menantu mak. Dunia akhirat. Jangan lupa tu." Pesan mak.

Aku angguk.

Berhari-hari aku duduk dirumah mak selepas keluar dari hospital. Pada mama, aku minta dia faham. Aku perlukan rehat. Dan aku rasa, rumah mertua aku paling selesa. Tanpa kehadiran Faiz. Kerana Faiz tetap kena bekerja.

Aku perlu mempertimbangkan baik buruk keputusan yang aku dah ambil. Aku bincang macam-macam perkara dengan mak dan abah. Kesan dari keputusan yang bakal aku ambil. Siapa yang terlibat. Semuanya.

Dan akhirnya, aku sudah bulat. Keputusan aku muktamad. Sudah aku khabarkan pada mak dan abah.

Kini, aku perlu pulang ke pangkuan suami. Untuk perhitungan terakhir.

Memandu dari Melaka ke rumahku tidaklah lama. 2 jam saja sudah sampai. Ditambah dengan jalanraya yang tidak sesak. Memudahkan segalanya.

Pakaianku yang aku tinggalkan dirumah mak, sudah aku angkat semuanya. Seperti mana aku tinggalkan rumah Faiz dulu, begitulah juga aku tinggalkan rumah mak.

Tiada kesan aku.

Sampai saja dirumah, Faiz belum balik lagi. Aku ambil masa tu untuk menyiapkan makan malam kami.

Aku buka peti sejuk. Hanya ada daging saja. Teringat candle light dinner yang disediakan Faiz suatu masa dulu.

Aku sediakan hidangan yang sama. Susun atur yang sama. Aku tunggu dia pulang diruang tamu sambil menonton Go Shop.

"Assalamualaikum. Ibu!" Suara Faiz begitu ceria masuk ke dalam rumah.

"Waalaikummussalam."

Aku sambutnya seperti biasa. Menyalami tanganya. Ku kucup hormat. Dia mengusap ubunku dan menciumnya.

"Abi rindu ibu." Lantas dia memelukku.

Aku jadi kaku. Kekok. 

Tak pernah sebenarnya dia katakan rindunya kepadaku. Atau mungkin aku lupa. Tapi seingat aku, tak pernah.

"Abi naik dulu. Nanti kita dinner sama-sama. Ibu dah masak." Arahku.

"Jom." Ajaknya.

Aku ikutkan saja permintaannya. Tak nak membantah. Tak mahu juga menolak. Ikutkan saja.

Usai mandi, dia minta agar kami menunggu solat Maghrib dulu sebelum turun ke bawah. Aku setuju saja sementalah maghrib pun tak lama saja lagi.

Selepas maghrib, dia ajak aku mengaji. Kami bertadarus. Sesuatu yang pelik sebenarnya. Kami tak pernah begini. Langsung. Ini pertama kali.

Alhamdulillah. Baguslah. Mungkin ini satu lagi perubahan yang dia terima dari Iza.

Kan dia selalu cakap, dia banyak berubah selepas bertemu Iza. Dia banyak belajar bersabar sejak dia kenal Iza. Dia berubah jadi baik. Berubah 360°.

Jadi, perubahan ini juga, pasti sebab Iza. Baguslah. Sekurang-kurangnya aku tahu, ada seorang perempuan yang mampu berjalan seiring dengannya ke syurga.

Sebab aku gagal dalam bab ni dengannya. Dia gagal bimbing aku. Aku pun gagal mengajaknya. Kami sama-sama lalai.

"Abi tak nampak pun barang ibu? Masih tak bawa masuk? Nak abi tolong?" Tanya Faiz sewaktu kami sedang menunggu waktu Isyak mendatang.

Salamku Untuk Kali Terakhir Where stories live. Discover now