Bluerk!
Kali ini sudah masuk kali ketiga Ika muntah. Walaupun tiada isi yang ingin dimuntahkan kerana belum makan, tubuhnya tetap memaksa untuk mengeluarkan segala yang ada di dalam perut.
Lemah pegangan Ika pada sisi mangkuk tandas. Lembik, mahu angkat tubuh sendiri pun dia sudah tak larat. Sudahlah dia belum menjamah apa-apa. Eiz yang sejak tadi menemaninya semakin risau.
"Ika, kita pergi klinik. Teruk sangat ni." Tidak berhenti tangannya menggosok belakang Ika.
"Tak payah. Nanti okay lah ni." Jawabnya lemah. Belakang tangan mengelap hujung bibir.
"Okay apa? Dari hari itu lagi awak muntah-muntah. Abang risaulah. Awak dah lembik dah ni. Tak ada, tak ada. Kita jumpa doktor ya?"
"Tak nak..."
"Sekejap je. Kita pergi jumpa doktor, ambil ubat. Selepas tu kita tak payah jumpa doktor dah. Okay?"
Bersungguh Ika menggeleng, menolak ajakan Eiz.
"Kenapa ni?" Eiz turut duduk bertinggung. Menyamai ketinggiannya dengan wajah Ika.
"Dulu waktu abang sakit, awak marah abang sebab tak nak jumpa doktor. Tengok siapa pula yang tak nak jumpa doktor sekarang?"
Dada Ika yang turun naik itu dipandang. Semakin risau Eiz dibuatnya. Walaupun gadis itu masih kurang bercakap dengannya, dia perasan yang Ika asyik mengaduh sakit perut dan tiada selera makan sejak semalam.
Ingatkan biasa-biasa je. Tidak sangkalah Eiz yang akan jadi seteruk ini.
"Kita pergi jumpa doktor ya?" Eiz memujuk lagi.
Ika mengangkat wajah. Tajam renungan yang diberikan kepada lelaki itu.
"Tak. Nak." Perlahan, tetapi tegas.
Nafas dihela panjang. Faham sangat dengan perangai si isteri yang seorang ini. Bila Ika cakap dia tak nak, dia memang tak nak. Tiada sesiapa yang boleh ubah keputusan dia.
Ubun-ubun Ika diusap lembut. Eiz tersenyum ringkas. Tidak mahu lagi memaksanya. "Rasa nak muntah lagi tak?" Wajah pucat di hadapannya itu dipandang sayu.
Ika menggeleng.
"Jom, abang angkat awak masuk bilik." Bibir Ika dibilas dengan air terlebih dahulu sebelum Eiz mula mengangkat dan mencempungnya ke bilik.
Tangan Ika memeluk erat leher Eiz sambil kepalanya dilentok pada bahu lelaki itu. Sebenarnya dia masih lagi jual mahal dengan Eiz, namun kali ini kudratnya sudah tak terdaya lagi nak melawan. Kali ini dia betul-betul perlukan bantuan Eiz.
Usai membaringkan Ika di atas katil, Eiz menghulurkan pula segelas air kepadanya untuk diminum. Kemudian, minyak panas diambil untuk disapu pada perut.
"Abang urut perut awak ya? Dekat bahagian mana yang sakit?"
"Tak payah." Ditolak tangan Eiz yang cuba menyelak bajunya.
"Kenapa ni? Abang nak urut perut awak je."
"Saya boleh urut sendiri."
Tertarik ulas bibir Eiz. "Awak nak angkat badan pun tak larat, sayang. Awak urut sendiri nak rasa apa? Sudah, jangan nak degil. Biar abang buat. Awak baring je, tutup mata."
Baju Ika diselak dengan berhati-hati. "Saya selak baju awak tau, sayang?"
Ika terdiam, lama. Dia bukannya sengaja mahu menolak pertolongan Eiz. Dia halang bersebab.
Aku sakit perut biasa je. Ah, jangan fikir bukan-bukanlah Ika. Tidur sejam dua, nanti hilanglah tu. Tiada apa-apa yang serius pun.
"Sayang?"
ANDA SEDANG MEMBACA
Still With You
RomanceUs || BOOK 2 "Distance gives us reason to love harder," ♡♡♡ Setelah berpisah dalam tempoh masa yang lama, kepulangan Eizzaril kembali menceriakan hari-hari Zulaikha. Kalau dulu dia asyik nak mengelak daripada Eiz, tapi sekarang tak lagi. Eiz tak a...
