Puan Ariana merenung tingkap yang separa terbuka, bagaikan mencari sesuatu. Rasa gundah menyelubungi jiwanya. Sekarang sudah hampir jam 9 malam, dan anak tunggalnya itu masih belum pulang ke rumah.
"Mana pula Andi dah pergi ni? Tak pernah-pernah dia tak balik lagi waktu begini," gumamnya perlahan. Dia berkira-kira mahu menghubungi Salleh, lalu melihat senarai nombor telefon di sebelah telefon rumah.
Telefon rumah tiba-tiba berbunyi. Lantas Puan Ariana mengangkat gagang telefon.
"Hello, ini ibu kepada Andi Shariman Bin Syarifuddin?" Seorang wanita yang kedengaran tegas berkata di hujung talian.
"Ya, saya. Ada apa ni?"
(...)
"Ala. Nak siasat je. Manalah kami tahu orang jahat tu memang ada dalam rumah tu. Kan rumah tu dah lama terbiar."
Inspektor Rasyid hanya menyilang lengan, merenung Malik yang berdiri tegak di hadapannya itu. Dia kemudian pandang ke arah Mika yang duduk di kerusi, memegang lengan kirinya yang kini berbalut, dan tongkat tersandar di sisinya. Maklumlah, pihak Polis bawa Mika ke klinik terlebih dahulu untuk merawat luka pada lengan, dan kakinya yang terseliuh itu.
Mereka bertiga kini di dalam pejabat Inspektor Rasyid di balai polis. Black pula sudah selamat dikurung di dalam lokap. Telefon bimbit dan pisau belatinya kini berada dalam simpanan pihak Polis sebagai barang bukti.
"Kamu pula?" Inspektor Rasyid bertanya Mika. "Setahu saya, kamu baru saja keluar wad siang tadi, bukan?"
Mika terus sengih janggal. "Saya ikut budak ni je. Kebetulan ternampak dia pergi ke situ," katanya sambil menunding ke arah Malik. "Risau juga kalau dia kena serang ke, kena culik ke... Area tu kan bahaya sikit."
Inspektor Rasyid mengeluh lemah.
"Saya lepaskan kamu berdua. Lepas ni, jangan memandai-mandai jadi detektif. Bahaya. Mujur tadi kami memang datang nak tangkap lelaki tu," kata Inspektor Rasyid. "Patutnya kamu kena buat report polis."
"Kalau benda tu belum pasti, polis terima ke report?" Malik bertanya, tidak puas hati. "Nak tak nak kena cari bukti dulu, kan?"
Mata pegawai polis itu merenung tajam ke arah remaja itu. "Kamu tahu tak, kalau apa-apa jadi pada kamu, kami kena bertanggungjawab? Lagi-lagi, kamu ni masih bawah umur."
Malik menggeleng.
"Ha. Lepas ni, kalau ada maklumat pasal aktiviti jenayah, terus buat report polis. Faham?"
Malik mencebik. Ketara betul riak tidak puas hati itu.
"Faham tak?" Inspektor Rasyid menggertak. Malik tersentak, kemudian tunduk merenung lantai.
"Em... Faham," kata Malik acuh tidak acuh.
"Bagus."
Pintu pejabat diketuk. Sarjan Lisa menjenguk masuk ke dalam. "Tuan, ibu budak ni dah sampai."
Alamak. Ibu datang? Malik terus cuak.
Inspektor Rasyid mengangguk. Sempat lagi dia senyum nipis apabila melihat reaksi Malik itu.
"Beritahu ibu budak ni, saya nak jumpa dia. Nak cakap sikit pasal anak dia ni," katanya lagi sambil merenung ke arah Malik yang cuba untuk kekal tenang.
Sarjan Lisa mengangguk. Dia menghilang sebentar di sebalik pintu sebelum muncul semula, Puan Ariana berada di belakangnya. Pegawai polis itu kemudiannya menjemput dia masuk ke pejabat Inspektor Rasyid itu.
Malik pula sudah tutup mata dengan sebelah tangan.
"Assalamualaikum, Tuan Inspektor," sapa Puan Ariana dengan lembut dan penuh hormat. Dia kemudian menoleh ke arah Mika yang duduk bertentangan dengan Inspektor Rasyid. Riak wajahnya jelas terkejut, begitu juga Mika yang sudah separa ternganga.
YOU ARE READING
Trance
Teen FictionAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...