Pagi Sabtu.
Peti sejuk dibuka. Dilihat bahagian di bawah rak telur, mencari sesuatu. Tiada.
"Mana pula Panadol ni lari? Rasanya baru je beli sepapan hari tu..."
Sejak setengah jam lepas, Andi menyelongkar kabinet dan laci, semata-mata mencari panadol. Dari tadi kepalanya pening. Termometer digital di kabinet bersebelahan peti sejuk diambil.
"Demam ke?"
Muncung logam termometer dimasukkan le dalam mulut, butang pada badan termometer ditekan. Selepas seketika, muncung dikeluarkan. Bacaan di skrin dilihat.
38.3
"Sah demam. Ubat demam habislah pula..."
Sedang dia berkira-kira mahu menelefon ibunya - yang pada hari ini berkerja separuh hari di pejabat, telefon di ruang tamu tiba-tiba berdering. Dengan segera Andi menjawab panggilan itu.
"Hello, Andi?" Suara seorang perempuan dengan pelat Cina kedengaran di hujung talian.
"Er... Ya, Shu Fen. Ada apa?"
"Saya nak ajak awak pergi jumpa ketua tim Sulung. Dia ada bawa kertas sampel untuk kategori Muda."
"Oh? Di mana?"
"Meranti Mall. Di Casa Delima sana. Awak free kan hari ni?"
"Er... Free..."
"Okey. Dalam masa dua jam lagi, kita jumpa dia di food court Meranti Mall."
"Okey."
Talian terputus. Lama Andi membisu, gagang telefon masih berada di telinga.
"Kenapa la saya tak cakap yang saya demam?" Andi mengeluh perlahan sambil tepuk dahi. "Dahlah nombor Shu Fen tak simpan."
Gagang telefon diletakkan di tempatnya.
"Tak apalah, alang-alang pergi sana, boleh singgah farmasi, beli ubat. Hm... Patut tak ajak Salleh sekali?"
(...)
"Ya, mama. I'll go straight to the tution class after meeting him."
Kasut disarung ke kedua belah kakinya. Nafasnya dihela lemah. Nampaknya semakin ketat ibunya memantau pergerakannya selepas keputusan peperiksaan Akhir Tahun diumumkan. Awal-awal lagi sudah masukkan dia ke deretan kelas tuisyen, walaupun tinggal seminggu sebelum cuti sekolah panjang yang bermula awal - disebabkan pelajar Tingkatan 5 mengambil SPM.
Dia sendiri hairan bagaimana keputusan peperiksaan jatuh merundum. Ibunya pula menuduh Salleh dan rakan-rakan 'study group' menyebabkan dia memperoleh keputusan sebegitu. Namun dinafikan sekeras-kerasnya. Punca utama keputusan peperiksaannya jatuh ialah...
"Kalaulah dia percaya..." Dia berbisik perlahan sambil mengemaskan tocangnya.
Shu Fen keluar dari kawasan rumahnya, berjalan menuju ke arah pondok bas tidak jauh dari rumahnya. Telinganya menangkap bunyi seseorang mengekori dari belakang. Segera dia berpusing, mencari siapa yang mengikutnya itu.
Tiada sesiapa kelihatan.
Di saat dia berpusing kembali ke hadapan, hampir menjerit dibuatnya apabila muncul seseorang betul-betul di hadapannya.
Orang itu. Orang yang cukup dia benci. Elok sahaja bersandar di tiang pondok bas di hadapannya itu. Matanya sinis merenung Shu Fen.
"Yee Jun..." Shu Fen berbisik. Dia berundur sedikit dari remaja perempuan berambut pendek itu.

ANDA SEDANG MEMBACA
Trance
Teen FictionAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...