Andi termenung, melihat ke arah tingkap di sisi. Pelik-pelik sungguh situasi yang dialaminya selama berada di hospital sepanjang hampir dua minggu. Yang paling pelik, apabila jururawat yang bertugas di unit psikiatri menyuruhnya membuat demo memakai restraint yang dikenakan beberapa hari lepas.
Sudahlah dia masih lagi hairan bagaimana dia boleh terbabas masuk ke wad itu. Bunuh diri? Rasanya dia tidak alami kemurungan.
Disebabkan itu, dia dipantau lagi selama tiga hari selepas dipindahkan semula ke wad perubatan itu. Syukurlah tiada apa-apa yang pelik berlaku lagi.
"Andi termenung apa tu?"
Andi sedikit tersentak lalu menoleh ke arah pemilik suara yang duduk di katil bertentangannya itu. Seorang lelaki tua berwajah mesra sedang memandangnya.
"Er... Tak ada apa-apalah, Pak Hasan," kata Andi sambil tersengih.
"Nak?" Pak Hasan menunjukkan sebekas anggur hijau di atas meja. "Kalau nak, marilah sini. Kita sembang-sembang."
Andi masih sengih. Malu. Masakan tidak, sepanjang seminggu Pak Hasan di situ, dia selalu mengajak makan bersama, walaupun sekadar sebungkus biskut lemak. Seboleh mungkin dia mahu jamu semua orang di wad itu.
Bukan sekadar itu sahaja. Pak Hasan seorang yang ramah dan mesra kepada semua orang. Hanya dengan sebaris ayat dari mulutnya, manusia yang paling teruk moodnya pun boleh senyum. Para doktor dan jururawat semuanya senang hati dengan sikapnya itu.
Tiba-tiba, seorang lelaki yang baru balik dari tandas - Rudy, seorang blogger terkenal yang juga pesakit di katil bersebelahan katil Pak Hasan - mengambil setangkai kecil anggur dari dalam bekas itu.
"Kalau tak nak, tak apa. Abang habiskan," kata Rudy dengan selamba lalu duduk di katilnya. Sebiji anggur dimasukkan ke dalam mulutnya.
"Sedapnya! Kalau malu, rugi!" Rudy berkata lagi dengan nada gedik. Pak Hasan hanya senyum kecil sambil menggeleng perlahan melihat gelagat jiran katilnya itu.
"Tak nak?" Pak Hasan bertanya Andi.
Mahu tidak mahu, Andi bangun dan berjalan ke katil Pak Hasan lalu duduk di sebelahnya. Sebiji anggur diambil. Dia masih tunduk, malu-malu.
"Alahai. Malu-malu pulak budak ni," perli Rudi sambil ketawa kecil. Pak Hasan hanya menggeleng perlahan.
(...)
"Kalau tak ada masalah, Andi ni boleh keluar wad esok," kata Puan Ariana yang datang beberapa minit kemudian. Dia baru sahaja selesai berbual dengan doktor tentang perkembangan anaknya.
"Oh, baguslah," kata Pak Hasan sambil senyum manis. Sebiji anggur diambil lalu dimakan.
"Pak Hasan ni, dah seminggu di sini, kan?" Andi bertanya pula.
Pak Hasan mengangguk. "Bagus hospital ni. Semua pesakit terjaga. Kadang-kadang lambat sikit, tapi kita kena faham yang staf tak ramai di sini."
Seorang lelaki berusia akhir 20-an tiba-tiba muncul dari pintu masuk, berlari anak ke arah Pak Hasan. Di wajahnya terukir senyum.
"Assalamualaikum, Abah!"
"Waalaikumussalam, Hafiz. Kenapa lari-lari ni? Kalau terlanggar orang nanti, macam mana?"
Hafiz tersengih-sengih. Dia kemudian bersalaman dengan Pak Hasan dan Andi.
"Hafiz dah jumpa doktor di depan sana tadi. Dia kata, kalau semuanya okey, Abah boleh discaj esok!" Kata-katanya hampir seakan menjerit, disebabkan terlalu teruja. Pesakit di katil berhampiran semuanya memandang ke arah Hafiz.
YOU ARE READING
Trance
Teen FictionAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...