"Awak tipu nama awak pada abang tu, sebab dia kerja kedai bunga?"
Malik mengangguk sambil sengih. Salleh pula angkat sebelah kening.
"Gigih betul tipu nama."
"Awak ada cara lain? Kalau saya beritahu nama betul, mesti dah kantoi dengan siapa entah yang sibuk hantar bunga dengn brownies kepada Ibu tu. Dia mesti kenal saya juga."
Salleh angguk laju. Malik pula senyum puas melihat alasannya diterima. Bagus, dia dah tak syak lagi.
Nampaknya dia terpaksa beritahu hal 'peminat rahsia Ibu' kepada Salleh. Sekurang-kurangnya alasan itu masuk akal. Nasiblah kalau Salleh bertanya Andi nanti. Dia tidak mahu ambil tahu pasal itu.
"Aliya mana?" Malik bertanya pula. "Tadi dia dengan awak, kan?"
"Oh. Dia pergi tandas. Nak cuci muka. Dia dah okey sikit tu, dah tak menangis teruk macam tadi. Susah juga nak pujuk dia tadi," kata Salleh sambil hela nafas lemah.
"Okeylah kalau dia tak apa-apa," gumam Malik perlahan.
Telefon bimbit Salleh berdering tiba-tiba. Dengan segera Salleh bawa keluar telefon dari dalam saku dan melihat nama di skrin. Kak Shila.
"Kenapa Kak Shila call ni?"
(...)
Kereta yang dipandu Kak Shila masuk ke kawasan pandu lalu KFC. Kak Shila kemudian menoleh ke arah tempat duduk belakang - di mana Malik dan Salleh berada. Aliya pula duduk di sebelah pemandu.
"Nak order apa-apa tak? Akak belanja."
"Zinger burger la, kak. Lama sangat tak makan," kata Salleh.
Malik dan Aliya pula terus membisu. Entah mengapa pula rasa segan. Sudahlah Salleh bersungguh-sungguh mengajak mereka balik bersama petang itu. Masa melawat bagi wad kebergantungan tinggi hanya dua kali sehari - 12.30 tengah hari ke 1.30 petang dan 5.00 petang ke 7.00 malam. Tamat saja masa lawatan pertama tadi, mereka terus bergerak pulang.
"Tak nak apa-apa ke?" Kak Shila bertanya lagi. Masih tiada respon dari Malik dan Aliya. Kak Shila terus memandu menghampiri interkom penerima pesanan.
"Selamat tengah hari! Order, please?" Suara dari penerima pesanan keluar di interkom itu.
"Set Zinger Classic, ada?" Kak Shila bertanya.
"Ada, cik."
"Saya nak empat set, air Pepsi," kata Kak Shila. "Itu saja."
"Baik, cik. Sila ke kaunter pembayaran, ya. Terima kasih."
Kak Shila terus memandu ke kaunter. Bayaran dibuat, beg plastik berisi empat kotak set Zinger Classic dan air tin Pepsi diserahkan. Salleh pula sedikit hairan apabila melihat makanan yang dipesan Kak Shila itu.
"Banyaknya order?" Salleh terus bertanya.
"Mana ada banyak? Seorang satu, kan?"
Ketiga-tiga remaja itu terus terkebil-kebil. Melihat reaksi mereka, Kak Shila terus tertawa kecil.
"Akak tengok masing-masing stress je. Mesti kamu semua dah lapar. Jadi akak order je la untuk semua. Lagipun akak nak makan Zinger juga," kata Kak Shila dengan selamba. "Ambil seorang satu."
Dengan teragak-agak, Malik dan Aliya menerima kotak KFC itu. Aroma burger Zinger dan kentang goreng menggoda selera masing-masing. Aliya mula makan kentang goreng, manakala Salleh sudah menggigit sedikit burgernya. Kak Shila meneguk sedikit air Pepsi sebelum meletakkannya di tempat letak minuman di sisi.
YOU ARE READING
Trance
Teen FictionAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...