Andi terjaga dari lena, telinganya mendengar kecoh-kecoh. Hairan seketika apabila menyedari tirai katilnya ditarik sepenuhnya, menyebabkan dia tidak nampak apa yang sedang berlaku di luar. Jam di tangannya dilihat. 6.00 pagi.
Dia turun dari katil lalu menyelak tirai. Matanya terbeliak sebaik sahaja mengetahui punca kekecohan itu. Dari tirai yang separa tertutup di katil berhadapannya, kelihatan pasukan perubatan sedang melakukan CPR kepada Pak Hasan. Hafiz hanya berdiri tidak jauh dari situ, wajahnya pucat.
"Abang Hafiz!"
Hafiz pandang Andi yang berjalan menghampirinya.
"Abang cuba... Kejut... Abah... Bangun... Subuh..." ayat Hafiz tersekat-sekat sebaik sahaja Andi berada di sebelahnya.
Andi membisu, menepuk belakang Hafiz dengan lembut. Air mata jatuh bercucuran.
(...)
Bunyi katil berkeriut kuat mengejutkan Rudy dari lena. Dia terkedu melihat katil di sebelahnya ditutupi tirai.
"Eh, kenapa dengan Pak Hasan? Kan dia sihat je semalam?"
Dia segera bangun dari katil lalu cuba mengintai di celahan tirai. Gagal. Jadi dia cuma pasang telinga, mencuri dengar.
Bunyi katil berkeriut berhenti seketika kemudian. Kedengaran seseorang berkata dengan perlahan, "Masa kematian, 6.15 pagi."
Mata Rudy terbeliak. Terkejut mendengar kata-kata itu. Suara milik pegawai perubatan bertugas, yang jelas kedengaran hampa. Hampa kerana gagal menyelamatkan satu lagi jiwa di Subuh yang hening itu.
"Maafkan kami. Kami sudah cuba sedaya upaya, namun ALLAH lebih menyayanginya."
Suasana sepi seketika. Rudi masih memasang telinga.
"Kami terpaksa hentikan prosedur. Maafkan kami..."
"Biar saya cuba!"
Bunyi katil berkeriut kedengaran lagi. Untuk sepuluh minit. Disulami tangisan. Rayuan. Dan doa. Mengharapkan keajaiban muncul.
Namun kematian takkan lewat sesaat.
(...)
Hafiz duduk berteleku di surau, baru sahaja selesai menunaikan Solat Subuh. Dia sudah memberitahu perihal kematian Pak Hasan kepada keluarganya, dan kini mereka sedang bergegas menuju ke hospital.
Andi yang selesai berwuduk menghampiri Hafiz yang tunduk merenung skrin telefon bimbitnya. Foto dia dan Pak Hasan menjadi penghias latar belakang skrin. Pandangannya sayu.
"Abang Hafiz okey tak?"
"Hm."
Andi membisu. Tidak tahu mahu kata apa-apa. Dia sendiri terkejut dengan kematian mendadak Pak Hasan, juga apabila dia melihat dengan mata sendiri tindakan drastik Hafiz membuat CPR sebaik sahaja pegawai perubatan tersebut menyampaikan berita buruk itu.
"Andi, abang nak tanya sikit, boleh?"
"Em... Boleh. Apa dia?"
"Kamu dengan abah, malam tadi bersembang apa? Bukan main lagi berahsia."
Andi terus buat muka blur. Dia ada berbual dengan Pak Hasan malam tadi? Dia sendiri pun tidak ingat.
Melihat reaksi Andi itu, Hafiz hanya diam. Dia kembali merenung skrin telefon bimbitnya.
"Er... Saya solat dulu, ya?" Andi terus sengih janggal.
"Solatlah. Abang nak balik wad. Nak uruskan apa yang patut."
YOU ARE READING
Trance
Teen FictionAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...