Bab 2

546 61 5
                                    

Seorang guru lelaki berbangsa India dengan gaya seakan Rajnikanth keluar dari bilik pengawas. Matanya yang tajam bak helang yang mencari mangsanya itu menangkap kelibat seseorang yang berjalan bagai zombi ke arah belakang sekolah.

"Dia lagi? Ni tak lain tak bukan, nak buat onarlah ni."

Dengan sebelah tangannya mengusap rambut yang digel sempurna, dia mengekori lembaga itu dari belakang. Telefon bimbit dibawa keluar dari saku, untuk merakam segala bukti yang mungkin akan dilihat nanti.

Yalah, kebanyakan ibu bapa sekarang ini anggap anak mereka sesempurna malaikat. Mana mungkin anak mereka yang suci itu melakukan kesalahan disiplin. Bila didenda dan dihukum, walaupun sekadar kutip sampah di padang pada waktu rehat, mereka terus melenting, siap ugut saman mahkamah dan viral di media sosial lagi. Bila ada bukti depan mata, baru tahu perangai anak mereka yang sebenar-sebenarnya.

Itu pun, kalau mereka terimalah.

(...)

Seorang pelajar tingkatan 4 berlari-lari anak dari hujung blok, sambil menoleh ke kiri dan ke kanan. Dia kemudian menoleh ke arah dua orang rakannya yang sedang bersandar di pagar sekolah berhampiran blok yang tersorok itu.

"Amacam, Man?"

"Line clear." Ibu jari diangkat.

Rakannya mengeluarkan sekotak rokok dan pemetik api yang disembunyikan di celah-celah pasu pecah yang berlonggok setempat. Seketika kemudian, asap rokok keluar dari mulut ketiga-tiga remaja itu.

Tiba-tiba kedengaran bunyi tong sampah jatuh. Terkejut dibuatnya tiga orang remaja yang sedang elok melanggar peraturan sekolah itu. Namun, kejutan itu tidak berkekalan melihat Andi, yang masih dalam mod zombi, yang muncul dari hujung blok, berjalan melalui mereka terus ke hujung blok yang satu lagi sebelum menghilang.

"Weih, budak tak guna tu, buat terkejut saja," kata salah seorang dari mereka.

"Alah, dia selalu macam tu, kenapa nak terkejut pulak?" Man menghisap rokoknya lalu asap rokok dihembus ke udara.

Entah kenapa mereka bertiga dapat merasakan ada aura membunuh di belakang mereka. Dengan perlahan mereka menoleh ke belakang.

"Er... Cikgu Param. A... Apa khabar?" Kata Man, tersengih-sengih sambil mencampakkan rokok yang masih menyala ke aras tanah, ke arah guru berupa Rajnikanth yang sedang bercekak pinggang, dengan sebelah tangannya memegang telefon bimbit, sedang merenung tajam ke arah mereka bertiga. Kaki masing-masing bagaikan melekat atas tanah, mereka hilang upaya untuk berlari. Guru disiplin ini bukan calang-calang orang. Dia macam hero filem aksi tamil, tapi versi masuk akal.

Cikgu Param hanya tersenyum sinis melihat mereka bertiga. Lain dicari, lain yang dapat. Namun, yang ini lebih baik.

"Kamu bertiga, ikut saya ke bilik disiplin, SEKARANG!"

(...)

Seorang guru lelaki berbangsa Cina keluar dari bilik kaunseling, berjalan ke arah koperasi. Boleh pula pen mata bola yang selalu digunakannya itu hilang. Pen lain pula, sama ada sudah kehabisan dakwat, ataupun rosak walaupun belum digunakan. Dasar barang percuma.

Matanya tiba-tiba menangkap satu susuk tubuh beruniform sekolah yang sedang berjalan macam zombi lalu di koridor menghala ke pintu pagar utama sekolah. Dahinya berkerut. Timbul rasa kurang enak di hatinya. Lantas dia melajukan langkahnya supaya dapat mengejar Andi tanpa berlari.

Sebaik sahaja mereka seiringan, guru itu terus menarik tangan Andi, mengheretnya ke arah bilik rawatan. Andi sekadar menuruti. Tiada teriakan, tiada reaksi, bagaikan khayal.

Sebaik sahaja masuk ke bilik rawatan, Andi didudukkan ke sofa, manakala guru itu duduk di sofa yang diletakkan bertentangan dengannya. Jari guru lelaki itu dipetik beberapa kali di hadapan wajah Andi sebelum pelajar itu tiba-tiba tersentak. Dia terkebil-kebil, memandang sekeliling, keliru.

"Eh, Cikgu Lim, macam mana saya boleh ada kat sini?" Andi bertanya. Guru lelaki itu sekadar menggeleng perlahan.

"Tadi, awak di mana?" Cikgu Lim bertanya.

"Dalam kelaslah. Tiba-tiba saya ada kat sini..." Andi menggaru kepalanya, masih keliru.

Cikgu Lim hela nafas. "Ini tak boleh jadi. Masuk kali ini sudah sepuluh kali kamu merayap keliling sekolah dalam sebulan ini. Takkan kamu tak ingat langsung apa-apa tadi?"

Andi hanya tunduk, wajahnya muram.

"Sudahlah. Balik ke kelas kamu. Waktu rehat pun hampir tamat," arah Cikgu Lim. Andi sekadar mengangguk sebelum keluar dari bilik rawatan.

(...)

Andi masuk ke kelasnya beberapa minit awal sebelum loceng berbunyi. Dia menoleh ke arah meja di sebelahnya. Rasa hairan timbul apabila ternampak beg sandang berwarna hitam di kerusi dan beberapa buah buku di atas meja itu. Bila masa meja ni ada orang?

Loceng berbunyi, dan serentak dengan itu, Salleh masuk ke kelas. Mata mereka berdua bertemu. Salleh melemparkan senyuman mesra, manakala Andi kekal dengan reaksi kehairanan.

"Assalamualaikum," tegur Salleh. Kerusi ditarik dan dia duduk di tempatnya, matanya masih tidak lepas dari memandang Andi.

"Er... Waalaikumsalam."

"Awak sihat?" Salleh berbasa-basi dahulu. Andi mengangguk. Rasa hairan berkurangan melihat tuan baru meja di sebelahnya itu.

"Maaf, awak ni siapa, ya?" Andi bertanya.

"Nak nama pendek ke panjang?" Salleh bertanya kembali sambil tersengih. Andi terus buat muka menyampah.

"Okey, okey... Nama pendek, Salleh. Nama penjang, Rahmat Sallehudeen Bin Ayoub. Ke nak letak sekali nama atuk dan moyang, ya..." Salleh menggaru dagu, masih tersengih. "Awak?"

"Andi Shariman. Panggil Andi saja pun boleh," balas Andi, masih kekal dengan wajah menyampah itu. "Budak baru ke? Tak pernah nampak pun awak sebelum ini."

Salleh sekadar mengangguk. "Pindah dari UK. Tapi saya duduk sebelah awak dari pukul sembilan tadi. Pelik pula bila awak kata tak perasan saya sebelum ni."

Andi terus bungkam. Kelasnya semakin penuh dengan pelajar. Tidak lama kemudian, guru subjek Geografi masuk.

(...)

Man berjalan di koridor berhadapan kelas 2 Amanah, matanya tajam merenung Andi yang sedang menulis sesuatu dalam buku latihannya. Giginya diketap, menahan amarah.

"Siaplah kau nanti, budak!"

TranceWhere stories live. Discover now