Pagi Sabtu itu cerah dan berangin pada masa yang sama. Salleh menggosok mata sambil berbaring di atas katilnya, baru sahaja sedar dari tidur. Jam di atas meja dipandang. Pukul 9.30. Mujur juga dia sudah solat Subuh dan mandi sebelum menyambung tidurnya.
Dia baru sahaja bercadang untuk menyambung tidurnya lagi apabila telinganya menangkap satu suara sayup-sayup dari arah dapur.
"Salleh!" Puan Fauziah memanggil anak lelaki tunggalnya itu.
Salleh terus bangkit dari katilnya. Mukanya dibasuh terlebih dahulu, untuk menghilangkan kekotoran yang ada. Tidak lama kemudian, dia muncul di pintu dapur.
"Iye, mama?"
"Mama nak buat kek coklat~~~" kata Puan Fauziah, seakan-akan menyanyi.
"Aaa... Jadi?"
"Tolong belikan tepung kek sekilo," sambung Puan Fauziah lagi, masih dalam mod menyanyi, RM10 dihulur.
Salleh hanya tersengih. Dia mengambil wang itu, mengangkat tabik hormat sebelum keluar ke kedai runcit berhampiran.
"Mama ni, kalau tak bercakap macam menyanyi, tak sah," bebel Salleh perlahan sambil tersenyum.
(...)
Salleh berjalan kaki, tangannya menjinjit bungkusan plastik berisi tepung kek, mengikut jalan pintas ke rumahnya - kawasan seakan lorong yang lurus, sepi dan tiada lampu jalan tidak jauh dari deretan kedai. Entah mengapa dia terasa diekori seseorang. Dengan segera dia menoleh ke belakang.
Man tersengih-sengih di belakangnya.
"Tak sangka jumpa kau kat sini, budak!"
Salleh mula berpeluh. Dia cuba melarikan diri namun dikepung oleh Bam dan Razlan.
"Ah sudah."
(...)
Andi mengayuh basikalnya pulang ke rumah. Sesekali dia melihat ke dalam bakul, ada bungkusan plastik berisi baju yang ditempah ibunya yang sudah siap. Sesekali dia tersenyum membayangkan ibunya memakai baju itu. Yalah, dia sendiri yang belikan kain itu dengan wang tabungannya.
"Mesti cantik. Dah lama ibu tak merasa pakai baju baru," gumamnya perlahan, senang hati.
Tiba-tiba seekor anjing yang bersaiz besar menyalak kuat. Pada awalnya Andi sekadar merenung kosong ke arah anjing yang menyalak di sebalik pintu pagar rumah itu. Namun matanya membulat melihat pintu pagar rumah itu tiba-tiba terbuka.
"Woof! Woof!" Anjing itu terus melompat keluar, mengejar Andi. Panik menguasai. Lantas kayuhannya dilajukan.
"Woi, tolong! Tolong! Anjing terlepas!" Andi menjerit, cuba menarik perhatian penghuni kawasan kejiranan itu namun tiada respon. Masing-masing menyorok juga agaknya.
Dia memusingkan basikalnya masuk ke jalan pintas yang sepi itu. Terus dia menoleh ke belakang. Anjing itu sudah tidak lagi kelihatan. Nafasnya dihela, merasa lega seketika, sebelum dia teringat sesuatu.
Brek basikalnya haus. Dan sekarang, dia tidak dapat memperlahankan basikalnya itu.
Di hadapannya kini, ada sekumpulan remaja sedang memukul seseorang yang tidak kelihatan.
"Tepi! Tepi!" Andi berteriak.
Namun, sudah terlambat.
KRASH!
(...)
"Adoi!"
Man menolak Bam yang terhempap di atas badannya. Mereka berdua terus berdiri, badan mereka terasa sakit kerana dirempuh sesuatu. Bam meraba sikunya. Berdarah.
Razlan terpinga-pinga melihat kejadian tadi. Salleh juga bagaikan terpukau, walaupun badannya sakit dan lebam dikerjakan. Mujur juga mereka sempat berundur sedikit ke belukar bersebelahan jalan. Kalau tidak, mesti jadi mangsa sekali.
"Siapa yang berani sangat rempuh aku tadi?" Man menjerit, matanya melilau ke sekeliling lorong, sebelum terhenti pada Andi yang terduduk di atas tanah, basikalnya menghempap kakinya. Kelihatan rantai basikal terkeluar dari gearnya.
Andi mengangkat basikalnya segera sambil mengibas debu di seluarnya. Wajahnya berubah pucat apabila menyedari gerangan siapa yang menjadi mangsa rempuhan basikalnya itu.
"Eh, budak tu la, Man!" kata Razlan, bangun dari semak, jari telunjuknya ditunding ke arah Andi.
"Pucuk dicita..." Kata Man, tersenyum sinis. Sendi jari-jemarinya diletup-letupkan.
"...Ulam mendatang." Bam menyambung, tersengih jahat. Tangannya mengepal penumbuk.
Andi terus buka langkah seribu, Man, Bam dan Razlan mengejar dari belakang, meninggalkan Salleh yang masih keras membatu sambil memegang beg plastik berisi tepung kek yang masih selamat, basikal yang tertanggal rantainya dan bungkusan plastik berisi baju di belakang.
(...)
"Alamak. Alamak. Alamak."
Di depan Andi kini ada satu tembok setinggi dua meter, dan tong sampah besar yang dipenuhi sampah berupa batu-batu kecil, bata simen yang pecah dan barang-barang rosak. Dia menoleh ke kiri dan kanannya. Cuma rumah besar yang dikelilingi tembok berduri.
"Boleh pula ada tembok kat sini..."
Mahu saja dia berpatah balik, namun di laluan keluar jalan mati itu, Man, Bam dan Razlan muncul, berjalan laju masuk sambil tersengih jahat.
"Mana nak lari, budak?"
Man dan Bam mendaratkan beberapa tumbukan ke arah wajah dan badan Andi. Kebanyakannya mengenai sasaran walaupun agak membabi buta. Andi berundur ke belakang. Dia dapat rasakan bibirnya berdarah.
"A... Abang, saya minta maaf. Saya betul-betul tak sengaja..."
Satu sepakan padu menerjah perut Andi. Kali ini dia jatuh terduduk, belakangnya berlaga dengan dinding besi tong sampah besar itu.
"Apa maaf-maaf?"
Andi terus memejamkan matanya dan mengetap giginya erat. Belakangnya bagaikan melekap ke dinding. Bersedia menerima kesakitan yang bakal mendatang.
Namun ia tidak muncul.
"Eh?"
Andi memberanikan diri membuka mata. Dia sekarang berada di bawah sebatang pokok di tepi padang bola. Dia memandang sekeliling, keliru.
"Saya mimpi ke tadi? Tapi, macam betul..." Andi bangun dari duduknya, mengusap badan yang masih terasa sakit. Dia melihat kedua tangannya yang terasa berdenyut.
Merah. Calar. Bengkak. Ada sisa darah di situ. Namun, tiada luka kelihatan.
Dia melihat pula jam di tangannya. Wajahnya berubah pucat. Sejam sudah berlalu tanpa dia sedar.
"Lagi sekali?"
Dari kejauhan, kelihatan Salleh yang cedera sedang berdiri, memerhatikan Andi, basikal Andi ditongkat di sebelahnya. Isi bakul itu tidak apa-apa nampaknya. Namun, dia kelihatan takut-takut apabila pandangan mereka berdua bertaut.
"Tolonglah... Tolonglah jangan ada perkara buruk terjadi..." Andi berdoa dengan suara perlahan, hampir berbisik. Matanya dipejam, nafasnya dihela lemah. Dia kemudian membuka mata, lalu menghampiri Salleh. Salleh berundur sedikit apabila Andi berjalan ke arahnya. Nampak benar dia masih takut.
Apa yang sudah berlaku, sebenarnya?

ANDA SEDANG MEMBACA
Trance
Teen FictionAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...