Aliya melangkah keluar dari pintu utama bangunan besar berwarna putih biru itu, kali ini bibirnya mengukir senyum lega.
"Semua dah selesai?" Ibunya yang berdiri di sebelahnya itu bertanya.
"Dah," Aliya menggangguk. "Mulanya tak cam, sebab dia diam je dan pakai baju lokap. Masa second round, dapat dengar suara. Bentuk badan pun lebih kurang. Memang dia. Dia dah kena tangkap."
Terkejut jugalah Aliya pagi tadi, apabila pihak Polis tiba-tiba menghubunginya. Dia diminta datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran petang itu untuk pengecaman suspek. IPD itu pula terletak dalam 10 kilometer dari Taman Baiduri, dan bapanya pula sedang bekerja, jadi dia minta ibunya menemani dia di sana.
Sebaik sahaja dia mengecam Black di sebalik kaca pengecaman itu, dia terus rasa seram sejuk. Namun, secuil kelegaan terselit di dalam jiwanya. Manusia yang menjadi punca segala masalah ini kini berada dalam tahanan Polis, dan bakal didakwa di mahkamah.
(...)
"Lebar betul senyum tu," tegur Kak Shila kepada Salleh yang baru sahaja selesai bercakap di telefon bimbit.
"Mestilah," kata Salleh. "Orang jahat yang peras ugut Aliya tu dah kena tangkap. Laju betul Polis buat kerja. Baru pagi semalam suruh Aliya contact Polis, bagi nombor akaun mamat tu. Idea Andi juga tu."
"Baguslah tu. Selesai juga satu kes," kata Kak Shila. "Bijak juga kawan kamu tu, ya?"
"Bijak?" Salleh garu kepala.
"Bank boleh kesan transaksi. Kalau ada keluarkan wang di ATM, bank ada rekod pengeluaran, siap spesifik lagi ATM mana. Mereka juga boleh block akaun tu kalau ada apa-apa yang mencurigakan pada akaun tu," jelas Kak Shila. "SKMM dan Polis memang boleh trace kedudukan tuan punya nombor telefon, tapi data tu taklah setepat mana. Kalau gabungkan dengan data dari pihak bank, lagi mudah nak pinpoint lokasi dia."
Salleh mengangguk faham. "Em... Kejap lagi Salleh nak keluar kejap, jumpa Andi. Mesti dia nak tahu juga pasal ni."
Kak Shila kerut dahi. "Kenapa tak call je terus tadi?"
"Manalah tahu kalau dia tak ada di rumah, macam semalam. Andi ni tak ada handphone pun. Susah nak call direct," jelas Salleh dengan jujur. Dalam ramai-ramai orang dalam kelasnya itu, Andi seorang saja yang masih tidak memiliki telefon bimbit. Kumpulan WhatsApp kelas pun, pakai nombor telefon ibunya.
(...)
"Andi," laung Puan Ariana dari luar rumah. "Tolong Ibu angkat kotak ni masuk."
Dengan pantas Malik berlari keluar. Kotak bersaiz sederhana itu dikeluarkan dari dalam but kereta dengan cekap. "Nak letak mana ni, Ibu?"
"Letak di dapur. Larat tak?"
Malik angguk laju, terus mengangkat kotak itu dan membawanya masuk ke dapur. Puan Ariana pula membuka pintu belakang kereta, mengeluarkan barang-barang keperluan. Maklumlah, hari ini dia kerja separuh hari. Dalam perjalanan pulang, sempatlah dia singgah sebentar di kedai.
"Ibu bawa apa dalam kotak ni? Berat betul."
Kotak itu diletakkan dengan cermat di atas lantai dapur. Bahagian atas kotak itu sedikit terbuka, mendedahkan isinya - dua balang plastik bersaiz sederhana berisi bahan yang kelihatan seperti krim, berwarna kuning pucat, dan berbau kuat.
"Tempoyak?" Malik garu dagu. Sedikit hairan apabila melihat isi kotak itu. "Dah musim durian ke sekarang? Ada pula stok nak buat tempoyak."
Dia tenung lama balang-balang itu. Ada sesuatu yang aneh di situ. Penutup balang-balang itu tidak rata seperti biasa, sebaliknya kembung sedikit ke atas.

ANDA SEDANG MEMBACA
Trance
Novela JuvenilAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...