Salleh merenung tingkap biliknya. Gelap. Azan Isyak baru sahaja berkumandang. Dia merenung ke arah buku latihan Matematik yang terbuka di hadapannya. Sesekali kepalanya digaru.
"Macam mana nak selesaikan soalan algebra ni?" Salleh menggumam perlahan. Pensel mekanikal di tangannya diketuk perlahan di atas meja.
Tidak praktikal betul buku ini, fikir Salleh. Jawapan ada, cara penyelesaian tiada. Takkanlah nak tiru jawapan terus. Nampak benar pemalas.
"Baik solat Isyak dulu. Mana tahu lepas solat nanti, dapat petunjuk."
Salleh bangun dari kerusi, terus berjalan ke tandas untuk mengambil wuduk. Kedengaran bunyi telefon berdering di ruang tamu. Selesai sahaja berwuduk, Puan Fauziah muncul di pintu.
"Tu. Ada orang telefon kamu," kata Puan Fauziah. Salleh mengangguk, terus ke telefon.
"Siapa telefon malam-malam begini?" Salleh tertanya sendiri. Setakat ini orang yang ada nombor telefon rumahnya cuma Cikgu Zaidah, Shu Fen si ketua kelas, Andi dan Zahra. Gagang yang sengaja diletak di tepi telefon dicapai.
"Hello Assalamualaikum. Ini Salleh bercakap."
"Waalaikumussalam, Salleh. Ini ibunya Andi. Andi ada dengan kamu sekarang?"
(...)
Seorang gadis Cina berambut tocang dua dan bercermin mata tebal melangkah keluar dari Pusat Tuisyen Gemilang. Telefon bimbitnya dilekapkan di telinga, cuba menghubungi bapanya yang masih tidak kelihatan. Sudah tiga kali dia cuba menelefon bapanya, namun hanya dijawab suara kakak operator talian.
"Shu Fen."
Gadis itu segera menoleh ke belakang. Riak wajahnya berubah apabila ternampak seseorang yang amat dibencinya itu.
"Lama kita tak jumpa, kan, Lim Shu Fen," kata gadis berambut pendek paras bahu yang sedang bersandar di pintu pusat tuisyen itu. Senyuman sinis terukir di bibirnya.
"Yee... Yee Jun. Apa kamu buat di sini?" Shu Fen mula menggigil. Dia menoleh ke kawasan sekitar. Tiada orang selain mereka berdua di luar. Dia berjalan mengundur, cuba menjauhi gadis berambut pendek yang mula tersengih, menyindir.
"Entahlah. Rasa bosan..." Yee Jun memgeluarkan sebilah pisau lipat dari dalam saku seluarnya.
"Tiada orang untuk dibuli, mungkin."
Bilah pisau lipat itu dikeluarkan, dan Shu Fen hanya mendiamkan diri melihat Yee Jun menilik mata pisau yang tajam itu, kekal tersenyum sinis. Jarak antara mereka berdua semakin lama semakin jauh.
"Shu Fen. Kenapa jauh sangat tu? Marilah sini," kata Yee Jun, mula melangkah menghampiri Shu Fen dengan pisau di tangan. Shu Fen masih berjalan mengundur. Langkah Yee Jun bertambah laju, seakan berlari. Serentak dengan itu juga, Shu Fen terus berpusing dan membuka langkah seribu tanpa berpaling ke belakang.
"Shu Fen! Kau takkan dapat lari dari aku! Hahaha!" Yee Jun menjerit dari belakang, bagaikan orang gila, suaranya kedengaran hampir di telinga. Langkah Shu Fen dilajukan. Takut. Seram. Panik. Semua ada.
Tiba-tiba sahaja dia berlanggar dengan seseorang. Mereka sama-sama jatuh terduduk di atas jalan.
"Maaf, maaf," kata Shu Fen segera, cepat-cepat menoleh ke belakang. Bayang Yee Jun tidak kelihatan langsung. Dia memandang ke arah lelaki yang dilanggarnya itu. Macam kenal.
"Tch. Kau kenapa?" Orang itu menengking kasar, sebelah tangannya mengusap siku yang calar. Shu Fen terkejut, terus menangis. Riak bengis tadi terus berubah menjadi keliru.
"Hei... Jangan nangislah," katanya, sedikit serba-salah. Namun tangisan Shu Fen semakin galak. Yalah, nada suaranya masih kedengaran kasar.
Giginya diketap. Terpaksalah dia guna 'gaya itu'. Gaya yang dia cukup benci.
YOU ARE READING
Trance
Teen FictionAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...