"Awak pasti, awak rasa baik-baik saja?"
"Ya, doktor. Semuanya okey. Tak ada apa-apa yang buruk berlaku."
Doktor itu merenung Andi, lama. Andi pula mula rasa gelabah dengan renungan mata yang bagaikan sedang mengorek segala rahsia dari dalam mindanya.
Eh, hiperbola sungguh.
"Er... Itu seingat sayalah." Andi terus sengih janggal.
Hari ini, dia di hospital untuk dua temujanji dengan doktor. Doktor pertama untuk luka tikaman di abdomen itu - yang kini semakin baik walaupun ada masanya masih terasa pedih, dan doktor kedua yang berada di hadapannya sekarang ini. Suasana di dalam bilik itu amat menenangkan, maklumlah dia berada di bilik konsultasi Jabatan Psikiatri. Ibunya pula berada di ruang menunggu betul-betul di luar bilik itu.
Dia tidaklah hairan sebenarnya apabila dia diwajibkan bertemu doktor itu setiap bulan. Cuma... Bila masa dia tahu jalan ke tangki air hospital itu? Misteri itu masih tidak terungkap baginya hingga sekarang.
Terima kasih kepada apa entah yang berlaku pada malam itu, sehinggakan dia dimasukkan ke wad isolasi Jabatan Psikiatri dahulu, dia dijadualkan bertemu dengan doktor setiap bulan. Boleh juga dia bertanya apa yang patut.
"Er..." Mata Andi mengerling ke arah tag nama di tudung doktor itu. Qaisara. "Doktor Qaisara..."
"Panggil saya, Doktor Sara je."
Andi sengih sebentar. "Doktor Sara, nak tanya boleh?"
"Hm... Boleh. Apa dia?"
Andi diam seketika, memikirkan apa yang patut ditanya.
"Er... Kalau cyclo... er... Apa namanya?"
Doktor Sara melihat sekilas rekod perubatan di atas mejanya. "Cyclothymia?"
"Er... ya. Cyclothymia. Memang ada masalah sikit nak ingat perkara ya?"
Ya, itulah dia. Satu lagi sebab kenapa dia harus bertemu doktor ini. Diagnosis, cyclothymia. Seakan kecelaruan bipolar, namun tidak teruk. Tidak pernah sekali pun dia mendengar nama kecelaruan mental itu sebelum ini.
Persoalan 'lupa' itu pula timbul sejak beberapa hari yang lalu. Pakcik Nordin, jirannya yang merupakan seorang tukang rumah, bising kerana atap genting lebihan yang diletakkan di atas bumbung rumahnya hilang sewaktu hendak membawa turun dari atas bumbung pada pagi itu. Maklum sajalah, jirannya pada masa itu sedang membaiki bumbung kerana kayu kasau dan rangka bumbung sudah mulai reput dan perlu diganti. Alih-alih, atap lebihan pula 'berjalan' ke bumbung rumahnya. Nampak sangat bezanya apabila dilihat dari atas walaupun warna kedua-duanya sama - atap baru itu berkilat terkena kilauan cahaya matahari, berbeza dengan atap lama yang warnanya kini sedikit pudar dan tidak berkilat langsung.
Mujur juga Puan Ariana sudah membayar ganti rugi 'bumbung lari' yang nilainya tidak sampai RM100, itupun sempat lagi dia merenung tajam ke arah Andi yang masih keliru. Kata ibunya, dia menutup lubang di bumbung itu menggunakan atap milik jirannya itu. Bila masa entah bumbung berlubang, bila masa dia panjat bumbung, dia sendiri pun tidak ingat.
Itu belum lagi hal Salleh menelefonnya pada pagi yang sama, bertanya ke mana dia pergi selepas jamuan di KFC petang semalamnya itu. Dan, dia juga dapat berita dari Abang Zaki akan hal 'Predator' Haris itu yang entah bagaimana sudah selesai begitu sahaja. Haris dan Muaz? Dua-dua senyap tanpa khabar.
Dia 'pitam' untuk beberapa jam, dan tiba-riba saja semua ini berlaku. Aneh. Ajaib. Apakah?
Dia melihat sebentar pada luka-luka kecil di lengan yang kini sudah baik. Hanya keruping dan calar yang kelihatan. Mujur juga dia ingat dari mana datangnya luka-luka itu. Ada jugalah alasan yang mahu diberi apabila ditanya Doktor Sara tadi.
YOU ARE READING
Trance
Teen FictionAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...