Malam menjelma, bulan mengambang memunculkan diri. Seseorang berhoodie hitam sedang berjalan pantas melalui lorong yang dipenuhi belukar menuju ke rumahnya. Riak wajahnya kelihatan berwaspada terhadap apa di sekitarnya. Sesekali dia mengurut belakang telapak tangannya yang terasa bengkak - impak dia membuat latihan menumbuk di gym tadi.
"Malik."
Dia berhenti melangkah, lalu menoleh ke kawasan sekitar. Matanya dikecilkan, cuba mencari tuan empunya suara dalam gelap. Sudahlah lorong itu bersemak, lampu jalan pula rosak.
Tiada sesiapa yang kelihatan.
"Malik." Suara tanpa pemilik itu bergema lagi.
"Siapa tu?" Dia membentak keras. Matanya melilau, mencari tuan empunya suara. "Tunjukkan diri!"
"Saya tak rasa yang kamu boleh nampak saya," kata suara itu lagi dengan bersahaja.
Dia terdiam. Perhatiannya tertumpu pada suara itu. Barulah dia sedar yang suara itu bukan empunya orang yang boleh dilihat. Suara itu lain dari yang lain.
Suara itu datang dari dalam kepalanya.
Tiba-tiba sahaja dia rasa bulu romanya meremang. Itu... 'Dia'kah?
"Teruskan berjalan," kata suara itu lagi. "Nanti Ibu risau pula. Yalah, anaknya merayau waktu begini tanpa izin."
Dia sambung perjalanannya ke rumah. Terasa ada peluh dingin mengalir. Tangannya sedikit menggeletar. Memang sah, itu 'dia'.
"Apa yang kamu dah buat pada Andi kali ini?"
Langkahnya terhenti seketika. Dahinya terus berkerut mendengar nama itu.
"Mana ada aku buat apa-apa pada dia?" Dia menggumam perlahan, membalas pertanyaan suara itu.
"Betul?"
"Betullah. Aku cuma berlatih seni bela diri saja. Tak ada masa aku nak menyibuk hal dia tu."
"Baiklah kalau begitu. Tapi ingat, tak kira bertapa menyampahnya kamu dengan dia, kamu wujud untuk lindungi dia. Faham?"
"F... Faham..." Dia membalas perlahan. Keluhan berat dilepaskan. Dia terasa sangat lemah bila berhadapan dengan 'dia'. Sangat-sangat lemah. Langkahnya disambung, menuju ke rumah.
(...)
Shu Fen mencuri pandang ke arah Andi sejak sesi persekolahan bermula pagi ini. Sesekali dia tersenyum sendirian. Bungkusan kecil berisi sandwic telur dikeluarkan dari bawah meja. Dia terus bangun dari tempat duduknya dan berjalan menghampiri Andi yang sedang menyiapkan kerja sekolah yang diberikan Cikgu Wadi, guru Geografi tadi.
Bungkusan plastik itu terus diletakkan di atas meja Andi, menyebabkan Andi mengangkat muka, memandang Shu Fen, dengan mata terkebil-kebil.
"Ini... Sandwic telur. Halal. Saya beli. Er... Sebagai tanda terima kasih sebab temankan saya."
Habis sahaja kata-kata itu dituturkan, Shu Fen terus berjalan ke tempat duduknya semula dengan pantas. Andi masih terkebil-kebil, tidak mengerti.
"Ha. Awak temankan Shu Fen pergi mana sampai dia bagi sandwic ni?" Salleh tiba-tiba muncul, tersengih-sengih, menepuk bahu Andi dari belakang. Dia ke tandas tadi, namun sempat nampak drama sebabak Shu Fen sekembalinya dia ke kelas.
Andi hanya diam sambil menggeleng perlahan.
(...)
Sudah sepuluh minit selepas loceng waktu rehat berbunyi. Shu Fen baru sahaja menyedari yang dia tidak bawa dompetnya. Lantas dia pergi ke kelas untuk mengambil dompetnya yang tertinggal dalam begnya.
YOU ARE READING
Trance
Novela JuvenilAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...