"Mana pula perginya kotak tu?"
Bahagian bawah rak buku itu habis digeledah. Kotak yang dicari langsung tidak dijumpai. Malik bangun dari atas lantai, bercekak pinggang, mengambil nafas.
"Aku baru nak buang kelopak bunga tu. Takkanlah ada orang lain jumpa pula?"
Tuala yang disangkut di tepi almari diambil. Badannya terasa melekit, dek mencari kotak berisi kelopak bunga tadi. Jam di atas meja dilihat. 5.45 pagi.
"Nanti sajalah aku cari kotak tu," gumamnya perlahan. Dia berjalan keluar dari bilik. Dalam perjalanannya ke dapur, matanya menangkap sesuatu di dalam dua biji botol, elok terletak di atas countertop.
"Apa tu?"
Dia mengambil salah satu daripada botol-botol itu lalu membelek-belek seketika. Label botol kordial sarsi yang kelihatan lama langsung kontra dengan isinya - cecair likat berwarna merah. Penutup botol dibuka. Aroma bunga mawar yang nipis dapat dihidu dari bukaan itu.
"Sirap ros? Mana pula datangnya benda ni?"
"Andi?"
Malik sedikit terkejut mendengar suara itu. Puan Ariana berdiri di belakangnya, baru sahaja keluar dari bilik mandi tidak jauh dari situ.
"Kenapa tengok pati sirap ros tu?"
"Er..." Malik tutup semula botol itu. "Mana Ibu dapat pati sirap ros tu?"
"Eh? Tak ingat ke kamu buat pati sirap tu hari tu?"
Malik terdiam.
"Dahlah buat satu periuk, bila siap tinggal macam tu je. Ibu juga yang masukkan dalam botol tu. Mujur cukup manisnya."
"Er..." Malik garu kepala, tidak tahu mahu jawab apa. "Nak pergi mandi dulu ya, Ibu." Dengan laju dia masuk ke dalam bilik mandi.
(...)
"Patut pun kotak tu hilang. Siapa pula yang pergi buat sirap tu?"
Tali leher diperbetulkan, uniform sekolah siap tersarung kemas di badan. Mindanya pula ligat memikirkan kewujudan pati sirap ros di dapur itu.
"Ada orang lain ke?" Malik menggumam perlahan. Dia duduk di kerusi, menopang dagunya di atas meja. Entah mengapa tiba-tiba kelopak matanya terasa memberat.
"Hmm... Waktu macam... Ni la... Rasa... Nak... Ti..."
Pandangannya terus bertukar gelap.
(...)
"Andi?"
Seluruh badan Andi tiba-tiba tersentak sebaik sahaja Puan Ariana menggoyangkan bahunya. Dia terkebil-kebil seketika, matanya melilau ke sekeliling bilik.
"La. Terlelap ke?" Puan Ariana tertawa kecil melihat gelagat anaknya itu. "Dah. Jom sarapan."
Er... Sarapan?
Andi tunduk melihat tubuhnya. Siap berpakaian uniform sekolah lengkap. Cuma stokin saja belum dipakai.
O-key... Bila masa aku pergi mandi? Andi terus garu kepala. Jam di atas meja dilihat. 6.30 pagi.
"Kenapa?" Puan Ariana bertanya lagi. "Dah Solat Subuh ke belum ni?"
Andi hanya sengih.
"Pergi solat Subuh dulu. Lepas tu sarapan," arah Puan Ariana.
"Baiklah, Ibu."
(...)
Hampir seminggu berlalu sejak musim Peperiksaan Akhir Tahun berakhir. Suasana terasa sangat-sangat menyenangkan. Tiada lagi keperluan untuk membuat latih tubi buat sementara. Guru-guru pun, ada yang menyuruh para pelajar buat hal sendiri, ada juga yamg sudah mulakan pembelajaran untuk topik-topik tingkatan 3 - selalunya bagi guru yang kekal mengajar subjek itu pada tahun hadapan.
YOU ARE READING
Trance
Novela JuvenilAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...