Seorang lelaki yang berpakaian kemas dan di wajahnya tampak mesra menunggu di kawasan luar balai polis itu. Belakangnya disandar pada kereta Proton Wiranya yang diparkir di situ. Sesekali dia mengerling ke arah jam tangannya.
"Lama lagi ke?"
Dia kemudian pandang semula ke arah pintu utama balai. Seorang pegawai polis wanita sedang menenangkan seorang kanak-kanak lelaki yang masih menangis dan tubuhnya menggeletar kuat. Dengan segera dia menghampiri pegawai polis itu.
"Puan, bagaimana?"
Pegawai polis itu hanya membisu, matanya melirik ke arah kanak-kanak itu. Nampaknya dia sudah berhenti menangis, walaupun masih tersedu-sedu. Dia kemudian memandang ke arah lelaki yang berdiri di hadapannya.
"Dah selesai. Suspek telah pun ditahan untuk siasatan lanjut. Tapi... Budak ni..." Pegawai polis itu mengusap lembut kepala kanak-kanak yang ketara ketakutannya itu. "Rasanya Encik patut bawa dia berjumpa psychologist."
Lelaki itu hanya angguk. Tangannya mencapai lengan kanan kanak-kanak itu. "Jom, kita balik rumah," katanya dengan mesra.
Dengan segera budak itu merentap tangannya. Pegangan tangan lelaki itu terlepas. Lelaki itu terkedu sebentar dengan kelakuan budak itu. Begitu pula dengan pegawai polis wanita itu.
Budak itu kemudian berjalan laju lalu masuk ke dalam kereta. Lelaki itu dan pegawai polis itu saling berpandangan.
Lelaki itu kemudian hela nafas. "Hm. Esok sajalah saya bawa dia jumpa doktor. Hari pun dah petang. Kalau pergi sekarang pun, rasanya doktor pun suruh datang esok je."
Pegawai polis itu mengangguk.
"Terima kasih, kerana bawa anak encik ke sini. Saya tahu, memang sukar untuk dia berhadapan dengan suspek sekali lagi, lepas apa yang dah jadi pada dia," kata pegawai polis itu, ada sedikit rasa bersalah dapat dikesan dalam nadanya.
"Terima kasih juga, puan, sebab dah dapat tangkap orang tu. Harapnya semua ni dapat diselesaikan segera," ujar lelaki itu. "Saya pulang dahulu, puan."
Lelaki itu terus berjalan ke arah keretanya. Dia berpusing sebentar ke arah pegawai polis itu, lalu mengangguk sekali. Pegawai polis itu membalas anggukan itu. Dengan segera dia masuk ke dalam kereta.
Sebaik sahaja tali pinggang keledar dikenakan, matanya melirik ke arah tempat duduk belakang. Budak itu duduk diam sahaja di situ.
"Lamanya dalam tu. Polis suruh buat apa?"
Budak itu hanya menggeleng perlahan. Enggan bercakap.
"Tak apa. Tak nak cakap, hm. Tak apa. 'Dia' dah masuk lokap. Tak apa." Lelaki itu mula memandu keluar dari kawasan balai polis itu.
"Bagus. Ikut saja arahan, ya. Sayang Ibu, kan?" Lelaki itu senyum sambil merenung budak itu melalui cermin pandang belakang. Menyedari renungan itu, kanak-kanak itu menutup wajahnya dengan kedua-dua belah tangannya, tubuhnya menggeletar dengan kuat. Ketara sungguh ketakutannya dengan pandangan lelaki itu.
(...)
"Damn."
Malik yang sejak tadi baring di atas katil terus bangun. Sebelah tangannya memegang kepala yang terasa sedikit pening. Sejak terjumpa Mika, entah mengapa mindanya memutar kembali memori itu. Memori yang... Bukan miliknya, tapi dia bagaikan ada di situ pada masa itu. Entahlah, dia sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh ingat peristiwa itu.
"Sekurang-kurangnya dia tak cam Andi langsung... Dia dah lupa, mungkin. Tapi... Bolehkah dia lupa?"
Malik turun dari katil lalu berjalan menuju ke dapur. Suasana serba gelap, maklumlah jam 3 pagi. Tekaknya terasa haus sebaik sahaja terbangun dari tidur dek imbasan memori itu tadi. Jug berisi air masak di atas meja dicapai selepas mengambil gelas di rak berhampiran.
Sesekali matanya melirik ke atas. Betul-betul di kawasan tile bumbung pecah siang tadi. Dia lihat tubuhnya pula. Penuh dengan calar dan luka yang kini sudah kering. Penat jugalah menghadap Puan Ariana yang menyedari keadaannya sebaik sahaja dia turun dari bumbung rumah siang tadi. Mana tidaknya, berbalut bandage di sana-sini.
Malik cuma sekadar memberitahu yang dia tiba-tiba diserang sekumpulan pembuli, namun sempat larikan diri. Langsung mendiamkan hal dia membelasah orang kepada ibunya.
"Malik."
"Hm?" Mata Malik melilau ke sekeliling rumah. Gelap. Sepi. Lalu dia pejamkan mata. Gelas yang bersisa air masak yang diminum tadi diletakkan di atas meja.
"Oh. Kau," bisiknya perlahan apabila menyedari suara yang memanggil di dalam mindanya itu. "Kenapa?"
"Memang benar dia seperti yang kamu duga?"
"Ya. Abang Mikael. Dia ada di sini." Malik hela nafas berat.
"Jadi, bagaimana? Mahu bersemuka?"
Jeda.
"Kamu... Nampak gelisah."
"Tentulah!" Malik mendesis. "Dia... Egh."
Malik tiba-tiba jatuh terduduk di atas lantai, membelakangi pintu bilik. Entah mengapa pandangannya tiba-tiba berbalam-balam. Tangan kanannya diangkat, menopang kepala.
"Aku tak nak fikir pasal semua ni..."
Perlahan-lahan, kedua-dua matanya terpejam.
(...)
Putih.
Segalanya putih.
Matanya melirik ke arah struktur menyerupai kubah yang menjadi bumbung, sebaik sahaja membuka matanya. Dia kemudian melihat lantai, yang kelihatan terbina dari marmar. Putih belaka persekitarannya. Bagaikan ada cahaya menerangi sekitar, namun tiada lampu atau mentol kelihatan.
Dia pandang sebelah kanannya. Sedikit tergamam apabila menyedari kewujudan seseorang berpakaian serba hijau, betul-betul di sebelahnya.
"Maaf sebab tarik kamu ke sini, Malik," lelaki serba hijau itu membuka bicara. "Kamu nampak macam tidak stabil. Berehat saja di sini sampai rasa betul-betul sihat, ya."
Malik mendecit. Kepala yang terasa berpinar diurut sebelah tangan. Dia kemudian pandang semula ke arah jejaka serba hijau itu.
"Boleh aku tanya sikit?"
Lelaki serba hijau itu hanya mengangguk. Bagaikan membenarkan pertanyaan diutarakan darinya.
"Ada seperkara yang aku tak faham."
"Kenapa?"
"Kenapa aku yang ingat semua tu? Padahal masa itu..."
Malik hela nafas berat.
"Masa semua tu berlaku, aku sendiri tak wujud lagi. Tapi macam mana aku boleh ingat? Kau sumbat apa-apa dalam otak aku ke?"
"Tak."
"Betul?" Malik curiga.
"Betul. Kenapa?"
"Kalau bukan kau punya angkara... Kenapa? Andi sendiri lupa pasal semua tu. Kau sendiri yang 'simpan' ingatan dia pada masa tu. Tapi, kenapa aku boleh ingat pasal Abang Mikael tu pula?"
Lelaki serba hijau yang duduk di sebelah Malik hanya bungkam.
(...)
"Andi, bangun."
Terpisat-pisat Andi bangun dari lena. Dia pandang sekeliling, mengecam lokasi, sebelum terhenti di wajah Puan Ariana yang melutut di sebelahnya. Hairan dibuatnya apabila menyedari dia tidur di atas lantai dapur, betul-betul di hadapan pintu biliknya.
Er... Dah sampai rumah? Apa jadi? Pukul berapa sekarang?
Puan Ariana menggeleng lemah melihat Andi yang buat muka blur.
"Kenapa tidur sini?"
Andi hanya sengih sambil garu kepala. Jujurnya, dia sendiri hairan apa sebenarnya yang telah terjadi.
"Dah. Bangun. Pergi solat Subuh. Dah masuk waktu ni."
"Er... Baik, Ibu."
YOU ARE READING
Trance
Teen FictionAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...