Sebiji bola dimasukkan ke dalam raga yang disediakan di dalam stor sukan itu. Malik mengibas tangannya yang terasa kotor. Mahu saja dia membasuh tangannya di paip air yang terletak di luar blok sukan itu.
Di saat dia berpaling ke arah pintu stor, sebiji bola melayang laju ke arahnya. Dengan kemas dia menangkap bola itu. Si penendang bola, Fariz, berdiri di pintu, sedang merenungnya. Di wajahnya terpamer riak tidak puas hati.
"Berani ya kau malukan aku!"
"Bila masa?"
"Tadi la! Masa kat padang. Kau sepak bola kena kepala aku!"
Malik tertawa kecil mendengar kata-kata Fariz itu.
"Kau yang cari pasal dengan aku, kau pula tak puas hati?"
"Cari pasal? Kan aku cakap aku tak sengaja tadi?"
"Dah tu, kenapa tak minta maaf je? Siap panggil aku pondan lagi."
"Kau..."
Fariz melangkah laju ke arah Malik. Tangannya yang menggenggam penumbuk dilayangkan. Dengan selamba Malik gerakkan badannya sedikit ke kiri, menyebabkan tumbukan tersasar dan Fariz jatuh tertiarap di atas lantai stor. Hampir-hampir saja kepalanya terkena rak yang menempatkan beberapa batang kayu hoki.
"Lambatnya penumbuk kau tu. Sampai aku dapat baca," sindir Malik kemudiannya, meletakkan bola yang ditangkapnya tadi ke dalam raga.
Fariz bangun, mengambil sebatang kayu hoki di rak. Diayun sepenuh tenaga ke arah Malik, namun berjaya ditahan sebelah tangan. Dia menjeling ke arah Fariz yang kelihatan sedikit panik.
"Heh. Pondan saja yang main pukul curi ni."
Kayu hoki direntap, menyebabkan Fariz hampir-hampir tersungkur. Diletakkan kayu hoki itu semula ke tempatnya.
Fariz ketap gigi. "Kau panggil aku pondan? Cis! Berani kau!"
Penumbuknya cuba diayun lagi ke arah Malik, namun kali ini sempat ditahan oleh Salleh yang baru sahaja sampai di situ. Kon mini yang dibawa dari padang tadi ditinggalkan di luar.
"Awak ni dah kenapa? Sudah sudahlah tu," katanya dengan tegas.
Fariz mendengus lalu keluar dari stor sukan itu. Sesekali dia menjeling ke arah Malik yang buat-buat tidak peduli.
Kon kecil yang diletakkan di luar stor tadi diambil Salleh, lalu diletakkan semula pada tempatnya. Salleh kemudian pandang ke arah Malik.
"Dah siap?"
Malik membisu.
"Er... Jomlah balik kelas. Kejap lagi masa Sejarah. Nanti Cikgu Mahmud marah pula."
Se... Ja... Rah?
(...)
Cikgu Mahmud merenung tajam ke arah salah seorang pelajarnya yang kepalanya kini berada di atas meja. Pembaris kayu di atas meja dihentak kuat.
Anehnya, tiada respon dari pelajar itu.
Kini, semua orang di dalam kelas itu merenung ke arah pelajar itu.
"Andi, bangunlah! Cikgu Mahmud marahlah!" Salleh berbisik. Bahu digoncang kuat.
Dia hanya senyap. Sebelah tangannya menyentuh kepala sejak tadi.
Aish... Mengantuknya... Apahal lepas PJ, subjek Sejarah pula? Letak la subjek Sains ke, Seni ke, apa-apa ke... Asalkan bukan Sejarah. Dahlah pening ni makin menjadi-jadi!
Cikgu Mahmud kini berjalan menghampiri meja pelajar itu. Diperhatikan pelajar itu seketika. Wajahnya berubah sedikit. Hilang terus riak bengisnya.
"Awak tak sihat ke ni?" Cikgu Mahmud bertanya dengan nada perlahan. Dia kemudian pandang Salleh, meminta penjelasan.
YOU ARE READING
Trance
Teen FictionAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...