"Sifir 4 pun tak hafal?"
Guru lelaki itu menjerkah sehingga didengari dari luar kelas darjah dua itu. Seorang kanak-kanak lelaki yang sedang berdiri terjungkit bahunya sebentar dek terkejut. Pelajar-pelajar yang lain hanya membisu, memerhati mereka berdua.
"Kawan-kawan kamu, semuanya hafal sifir. Tak rasa malu ke?"
Kanak-kanak itu hanya senyap, kepalanya tunduk ke arah lantai, air matanya bergenang. Bukanlah dia tidak mencuba langsung, namun dia masih gagal menghafal. Rakan-rakan sekelasnya, ada yang siap ketawakan dia lagi.
"Berdiri di atas kerusi. Jangan duduk selagi saya tak suruh. Faham?" Guru muda itu berkata tegas.
"Fa... Faham, cikgu..."
Kelas berjalan seperti biasa. Hanya kanak-kanak itu sahaja yang berdiri sepanjang kelas. Beberapa orang di belakang siap mencampakkan bebola kertas renyuk kepadanya, namun dia hanya membisu. Langsung tidak melawan. Air matanya yang bergenang dikesat dengan lengan baju.
Tamat sahaja kelas Matematik, baru dia diizinkan duduk. Itupun, beberapa orang siap sengih-sengih memerlinya.
Seorang guru perempuan memerhati dari luar. Tentunya, sebentar lagi giliran dia pula mengajar dalam kelas itu. Sebaik sahaja guru Matematik yang garang itu melangkah keluar, guru perempuan itu mula berbicara.
"Cikgu Sufian, tunggu kejap."
Guru Matematik itu menoleh sebentar ke arahnya.
"Kenapa, Cikgu Lina?"
"Saya rasa, tak eloklah cikgu buat Andi macam tu."
Dahi guru itu berkerut.
"Saya dah suruh hafal sifir. Dua bulan saya beri tempoh. Tapi dia tak hafal sifir selain sifir 2, 3 dan 5. Jadi, dia patut kena denda. Kawan-kawan dia, semuanya hafal sampai sifir 9."
"Tapi cikgu pun tahu kan, dia memang lambat sikit dalam hal hafal menghafal ni. Saya takut kalau cikgu terus buat dia begini..."
Guru itu senyum sinis.
"Apa? Cikgu nak kata nanti dia stress? Dia budak kecillah. Nak stress dengan apa? Dia malas je tu. Budak-budak ni tak boleh dimanja sangat, nanti naik lemak. Saya pergi dulu, kejap lagi saya ada kelas," katanya lalu bergegas ke bilik guru.
Cikgu Lina hanya mampu mengeluh. Dia terus masuk ke kelas. Dari ekor mata, dia dapat melihat Andi meletakkan kepala di atas meja, bahunya tersengguk-sengguk.
Ya, dia menangis.
(...)
Kanak-kanak perempuan itu memeluk erat Cikgu Zaidah yang sedang duduk di atas katil wad, mukanya disembamkan ke dada. Sesekali dia mengerling ke arah beberapa orang remaja beruniform sekolah yang berada berhampirannya, juga sekumpulan manusia yang sedang menyambut hari lahir salah seorang pesakit di katil berhampiran. Nampak sangat dia malu. Cikgu Zaidah pula sekadar senyum kecil melihat gelagat anaknya itu.
"Er... Cikgu tak apa-apa kan?"
Cikgu Zaidah terus pandang ke arah Zahra, yang berdiri paling hampir dengan katil. Dia kemudian senyum tawar.
"Tulang bahu kiri cikgu dislocated je. Dengan kaki terseliuh. Ala, sikit je. cikgu tak apa-apa. Dalam dua tiga hari nanti, dah boleh keluar wad," jelas Cikgu Zaidah. Zahra mengangguk perlahan.
"Anak cikgu pula?" Salleh pula bertanya. Matanya melirik ke arah tangan kiri kanak-kanak itu. Hampir kesemua bahagian bawah lengannya beralas kertas keras dan dibalut bandage. Apa yang kelihatan hanya kuku hujung jari dan kepala branula yang timbul di atas tangan kiri, ditutup dengan cap biru.
YOU ARE READING
Trance
Teen FictionAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...