Prolog

869 73 0
                                    

Malam itu dingin. Lembap. Hujan yang renyai-renyai membasahi bumi.

Kedengaran derap kaki seseorang sedang berlari dalam gelap. Muncul seorang wanita dari hujung jalan. Kerisauan terpamer pada wajahnya.

Lariannya terhenti di hadapan sebuah rumah kecil yang sedang terbakar. Api marak membaham keseluruhan rumah. Hujan yang turun itu tidak berupaya memadamkannya. Seorang kanak-kanak lelaki berdiri tegak, tidak berganjak, memandang ke arah hadapan rumah itu. Riak wajahnya kosong tanpa perasaan.

"Apa yang dah jadi ni, nak?" kata wanita itu, terus menghampiri dan memeluk budak itu. Sedikit lega melihat anaknya itu tidak cedera. "Di mana Abah?" Soalnya lagi.

Tiba-tiba budak itu tersenyum lebar. Macam orang psiko.

"Ibu jangan risau. Sekarang Abah takkan dapat apa-apakan kita lagi," kata budak itu, sinis dan perlahan. Wajah wanita itu berubah, terkejut dengan kata-katanya.

"A.. Apa maksud..."

Belum habis pertanyaan diutarakan, budak itu terus rebah ke pangkuan wanita itu. Serentak dengan itu juga, bomba dan ambulans muncul.

(...)

Beberapa jam kemudian, malam yang sama.

Wad kanak-kanak di Hospital Besar Kota Jawhar itu dingin walaupun kipas tidak dipasang dengan laju. Mungkin disebabkan kedudukan hospital itu yang terletak dalam 500 meter dari pantai. Mungkin juga disebabkan hujan yang baru berhenti tadi.

Kelihatan satu lembaga berpakaian serba hijau berdiri menghadap seorang kanak-kanak lelaki yang sedang tidur. Dia melihat ke kerusi bersebelahan katil. Kelihatan ibunya tidur berbantalkan lengan, badannya terlentok ke katil, juga sedang lena.

Lembaga itu menghampiri budak itu dan meletakkan tangan kanannya di atas dahinya. Wajah budak itu berkerut dan nafasnya kencang, bagaikan sedang mengalami mimpi ngeri.

"Nampaknya kamu belum mampu untuk hadapi semua ini," kata lembaga itu, perlahan dan lembut. "Baiklah, saya akan bantu kamu."

Tangan lembaga itu meraup lembut wajah budak itu. Dengan serta-merta nafas budak itu kembali tenang.

"Lupakan. Dan tabahkan diri. Bila tiba masanya nanti, saya akan kembalikan memori ini," kata lembaga itu lagi. Tangan kanannya kini memegang sesuatu seakan bebola cahaya yang saiznya muat-muat genggamannya sahaja. Tangan kirinya menjelmakan sebuah peti kayu kecil. Bola cahaya itu terus diletakkan di dalam peti itu dan ditutup.

Lembaga serba hijau itu membuka langkah menjauhi katil itu. Selepas lima langkah, dia berpaling ke arah budak itu. Senyuman kecil terukir di bibir apabila melihat wajah budak itu kembali tenang.

Lembaga itu terus menghilang sekelip mata. Tanpa kesan.

TranceWhere stories live. Discover now