"Andai diberikan emas permata
Kupilih senyumanmu~🎵,
Andai kupunyai mahligai indah
Kuhadiahkan untukmu~🎵"
Zaki, yang baru sahaja meletakkan nota Biologi di atas meja menggeleng lemah sambil merenung pintu bilik mandi itu. Sejak masuk ke dalam bilik mandi, dua kali Amer mengulang bait lagu 'Bayangan Gurauan' nyanyian kumpulan Mega dengan penuh emosi. Sudah macam orang gila bayang pula gayanya sejak kemalangan motosikal tahun lepas.
Kalau sedap suaranya, boleh tahan lagi. Ini...
"Baik aku suruh dia cepat. Kalau tidak, sampai ke sudah aku kena tadah telinga dengar dia memekak dalam jamban," bebelnya perlahan. Matanya melihat sekilas ke arah jam dinding bilik sebelum mengetuk pintu bilik mandi itu.
"Apa? Nak guna jamban ke?" Amer menyoal usai Zaki mengetuk pintu.
"Abang, cepatlah siap mandi. Dah nak masuk jam 2.30 ni. Hari ni ada latihan rumah sukan, kan?"
"Eh, yalah!"
Tidak sampai seminit kemudian, Amer keluar dari bilik mandi. Dengan segera dia mengeringkan tubuh dan memakai pakaian sukan rumah Gamma.
"Abang, tak Zohor dulu ke?" Zaki bertanya lagi apabila melihat Amer terus menyambar beg silang dan jaket windbreaker miliknya di atas meja.
"Abang solat di sekolah je la. Dah, nak cepat ni." Dengan pantas dia keluar, meninggalkan Zaki sendirian di dalam bilik tidur yang separa bersepah dengan uniform sekolah dan tuala yang lembap di atas lantai itu.
"Aku la kena kemas semua ni?" Zaki mengeluh lemah.
(...)
Amer meletakkan motosikalnya di ruang parkir berhadapan sekolah. Sejak kemalangan itu, dia mengambil lesen menunggang motosikal supaya tidak lagi merisaukan ibu bapanya. Namun sejak hari itu juga, dia tidak lagi bertembung dengan 'bidadari' yang membuatkan dia angau itu.
Dia sambung menyanyi sambil berjalan ke arah pintu pagar utama sekolah yang jaraknya hanya 50 meter. Pada dirinya, lagu nan satu itulah yang paling hampir dengan perasaannya pada saat itu.
"Di dalam jaga ku tercari-cari
Di dalam tidur termimpi-mimpi
Siapakah gadis misteri?
Adakah dapat kukenali~🎵"
Langkah Amer terhenti betul-betul di pintu pagar utama sekolah. Matanya tertumpu pada sebuah kereta yang berhenti tidak jauh dari situ. Entah mengapa dia terasa seolah-olah dia pernah nampak pemandu kereta itu...
Matanya membulat. Itulah 'bidadari' yang dicari-carinya!
"Eh?"
Amer tergamam melihat apa yang berlaku di hadapan mata. Lirik matanya mengekori remaja lelaki yang mencium pipi 'bidadari'nya itu dari dia keluar kereta hingga ke pintu pagar sekolah, betul-betul melepasi dia. Kereta yang dipandu 'bidadari'nya pula bergerak melalui jalan depan sekolah itu dan terus hilang dari pandangan.
"Dia tu..."
(...)
"Andi! Baru sampai ke?"
Malik angkat kening apabila melihat Salleh datang menghampirinya di koridor berhampiran padang, mengenakan baju sukan Gamma.
Lah. Rumah sukan pun sama juga? Malik mendecit.
"Ya. Baru je sampai," jawab Malik sebaik sahaja Salleh berada di sebelahnya. Mereka sama-sama berjalan menuju ke arah padang di mana semua ahli rumah sukan Gamma berkumpul.
"Tak nampak pun basikal awak masa lalu tempat letak basikal tadi. Rosak lagi ke?" Salleh bertanya lagi.
"Hm." Pendek saja respon Malik. Salleh terus membisu. Seusai kehadiran diambil, mereka terus duduk di padang bersama ahli rumah Gamma yang lain.
Cikgu Azfar, guru rumah sukan Gamma, berdiri di hadapan kumpulan pelajar itu. Payung putih bercorak flora yang sudah dibuka kembang sejak awal lagi terus disandarkan di atas bahu kanannya. Cikgu Daisy, juga guru rumah sukan Gamma, berdiri tidak jauh dari situ.
"Asaalammualaikum dan selamat petang, semua," kata Cikgu Azfar. Semua mata terus tertumpu pada guru lelaki berpayung flora itu.
"Untuk hari ini, latihan hanya untuk lumba lari 100 meter dan lompat jauh. Cikgu harap kamu semua sudah makan dan panaskan badan sebelum mula. Cikgu tak nak ada orang tiba-tiba kejang kaki atau pitam masa tengah bersukan. Kalau nak air, Cikgu Daisy dah sediakan air mineral di kantin."
Para ahli rumah Gamma mengangguk faham.
"Seperkara lagi, sudah lima tahun berturut-turut Rumah Gamma berada di tempat ketiga. Tahun ini, cikgu mahu kita jadi juara masa Hari Sukan nanti! Faham, semua?"
"Faham, cikgu!" Padang sekolah itu bergema. Penuh semangat.
"Bagus!" Cikgu Azfar menepuk tangan, teruja dengan reaksi itu.
Malik terus berpeluk tubuh sambil senyum kecil. "Heh. Tahun lepas cakap macam tu. Tahun sebelumnya pun cakap macam tu. Tapi sampai ke sudah duduk tempat ketiga."
Salleh pandang Malik. "Memang rumah Gamma ni duduk tempat ketiga sejak dulu ke?"
Malik angguk. "Rumah Alfa juara Hari Sukan dua tahun berturut-turut. Tapi tak hairan pun, sebab selama ni wakil sekolah untuk MSSM pun semuanya dari rumah Alfa juga."
Salleh pandang semula Cikgu Azfar yang berjalan melenggang ke tepi padang dengan payungnya. "Tak yakin pula kita boleh jadi juara kalau macam tu gayanya..."
"Kenapa?" Malik bertanya. "Sebab Cikgu Azfar lelaki lembut?"
Salleh membisu. Malik pula menggeleng lemah.
"Cikgu Azfar tu coach pasukan bola sepak sekolah kita, tahu? Hampir setiap tahun pasukan sekolah kita masuk peringkat kebangsaan. Dia nampak je lembut, tapi latihan dia keras. Tak ramai yang boleh bertahan dengan latihan stamina dia. Ada juga bekas murid dia jadi wakil negeri di SUKMA."
Salleh melopong mendengar kata-kata Malik. Dia terus teringat hal hampir semua pelajar lelaki kelas Bestari yang juga ahli pasukan bola sepak sekolah. Kelas Amanah kalah teruk bila bermain bola sepak menentang mereka semasa kelas Pendidikan Jasmani tahun lepas.
"Macam mana mereka training ya?" Salleh tertanya-tanya. Malik buat-buat tidak mendengar pertanyaan Salleh itu.
Entah mengapa tiba-tiba Malik terasa seolah-olah sedang diperhatikan. Matanya melilau ke kiri dan kanan, mencari sesuatu.
"Andi, jom." Salleh tepuk bahu Malik sambil bangun dari duduknya. Terjungkit sedikit bahu Malik dek tepukan itu. "Cikgu Daisy suruh kita ke trek lumba lari."
"Er... Okey." Malik turut bangun. Dia menoleh ke kiri dan kanan, mencari punca rasa serba tidak kena itu, namun gagal.
"Hm... Perasaan je kot." Malik terus melangkah ke trek larian.
(...)
Dari tepi padang, Amer memeluk tubuh sambil merenung Malik. Perasaannya bercampur baur, namun lebih kepada cemburu. Masih terbayang-bayang apa yang dilihatnya di pintu pagar sekolah tadi.
"Siapa kau? Apa hubungan kau dengan bidadari aku?" Amer berbisik perlahan.
"Amer!" Cikgu Azfar menepuk keras belakang Amer. Terbatuk-batuk Amer dibuat dek kuatnya tepukan itu. "Saya panggil kamu banyak kali dari tadi!"
Amer tertunduk-tunduk. "Maaf, cikgu."
"Dah. Ambil jam ni. Pergi jaga hujung trek dengan Cikgu Daisy sana," kata Cikgu Azfar lagi seraya menyerahkan sebiji jam randik digital kepada Amer. Amer mengangguk sambil mengambil jam itu, mengalungkan ke leher lalu berlari ke hujung padang.
ANDA SEDANG MEMBACA
Trance
Novela JuvenilAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...
