Malik melangkah ke arah kaunter Lin's Florist. Matanya melilau ke sekeliling kedai. Penjaga kaunter itu terus dongakkan kepala apabila menyedari kehadiran remaja itu.
"Akak, nak tanya, di sini ada kerja kosong tak?" Dia bertanya dengan sopan.
Mata penjaga kaunter itu bergerak ke atas dan ke bawah, bagaikan menilai susuk tubuh remaja di hadapannya itu, sebelum kerut dahi. Dia kemudian senyum tawar.
"Adik ni... Umur belum masuk 16 tahun lagi kan?"
Malik diam sebentar lalu angguk sekali. Lantas wanita itu senyum tawar.
"Tak adalah, adik. Lagipun di sini tak terima pekerja bawah umur. Pejabat Buruh akan kenakan tindakan nanti kalau mereka dapat tahu."
Remaja itu angguk perlahan. "Tak apalah kalau begitu. Terima kasih, ya."
"Sama-sama," kata penjaga kaunter itu, serba salah.
Malik terus keluar dari kedai bunga itu, namun terhenti seketika apabila ternampak seorang lelaki - Mika - sedang berbual dengan seseorang yang baru sahaja menyerahkan sebuah kotak plastik berisi...
"Brownies?" gumamnya perlahan. "Jadi... Diakah yang cuba mengorat Ibu?"
Jam tangan dilihat. Baru dia perasan, tinggal 15 minit lagi sebelum waktu Maghrib. Lantas dia berlari meninggalkan kawasan rumah kedai itu.
(...)
Sekumpulan manusia berkumpul di tepi jalan itu. Salah seorang dari mereka membawa bersama plastik kampit beras 10 kilogram yang dilipat kecil sampai muat tapak tangan.
"Guni tak ada. Plastik ni boleh tak?" Dia bertanya.
"Boleh je, Mail. Ha, cepat sikit buka plastik tu!" Seseorang yang berada di celahan semak memberi arahan. Kelam-kabut lelaki itu membuka lipatan plastik yang dibawanya, hingga lengannya berlanggar dengan lengan Malik yang kebetulan lalu di situ.
"Sorry, dik," kata Mail serba salah.
"Tak apa, bang. Kenapa ramai-ramai ni? Kan kejap lagi masuk waktu Maghrib?"
Mail mengibas plastik yang kini sudah terbuka lipatannya. Jari telunjuknya menunding ke arah semak tebal, betul-betul bersebelahan sebuah rumah berhampiran mereka.
"Tu. Celah semak tu. Ada orang jumpa ular. Nak tangkaplah ni. Bahaya kalau ular tu masuk rumah orang nanti."
"Ular?" Malik kerut dahi. "Waktu senja begini?"
Mail angguk.
"Dapat pun!" Suara seseorang memecahkan suasana.
Dari celahan semak, seorang lelaki bertubuh sederhana berjalan keluar, kedua-dua tangannya memegang seekor ular sawa batik yang sebesar lengan kanak-kanak enam tahun. Warnanya cantik sekali, sisiknya berkilauan terkena biasan cahaya matahari. Tangan kanannya kemas mengapit kepala ular itu, tangan kirinya pula memegang bahagian badan - yang mana sebahagiannya mula melilit lengan kirinya.
"Mail, mana plastik tadi?" Lelaki itu bertanya. Mail terus berlari menghampiri lelaki itu. Ular itu dimasukkan ke dalam plastik dengan segera.
Ala. Kenapa dia simpan ular tu? Lemaslah dia dalam plastik tu nanti.
Malik tersentak. Dia toleh ke kiri dan kanan. Tiada sesiapa di situ kecuali dia dan kumpulan lelaki dewasa - termasuk Mail - tadi.
"Kenapa aku dengar macam... Suara budak?" Bebelnya perlahan. Pendengaran ditajamkan, cuba mencari pemilik suara itu.
Senyap.
Malik mengeluh lalu mula melangkah meninggalkan tempat itu. Namun, tiba-tiba saja kepalanya terasa berpinar. Langkahnya terus terhenti. Tangan kanannya terus memegang sisi kepalanya.
YOU ARE READING
Trance
Teen FictionAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...