*Sejam yang lalu*
Salleh masih keras membatu, fikirannya kosong disebabkan terkejut, ekor matanya menuruti Andi yang membuat jurus langkah seribu disebabkan dikejar oleh 'Trio Belut'. Mereka bertiga terus melupakan Salleh yang masih terduduk di celah semak di tepi jalan. Mata Salleh kemudian terkebil-kebil macam cicak tertelan kapur.
Salleh terus bangun dari duduknya, terus memeriksa tepung kek di dalam plastik. Masih elok. Memang dia bersungguh-sungguh melindungi bungkusan tepung kek yang dipesan ibunya itu.
"Ah ya, Andi!" Salleh tiba-tiba teringat rakan sekelasnya itu. Dia segera menghampiri basikal yang tersidai di atas jalan tar, ditinggalkan tuannya yang sedang menyelamatkan diri. Salleh dirikan basikal itu dan cuba menunggangnya.
"Lah, kenapa tak jalan?"
Salleh menongkat basikal itu dan memeriksa rantai basikal itu. Tertanggal dari gear.
"Patutlah," gunam Salleh perlahan. Tangannya mencapai pemegang basikal, tepung kek diletakkan ke dalam bakul bersama sebungkus plastik berisi baju, dan basikal itu terus dituntun Salleh dengan laju.
(...)
Sampai sahaja di satu simpang di hujung lorong, telinga Salleh menangkap bunyi seolah-olah ada orang bergaduh. Wajah Salleh terus pucat.
"Harap Andi selamat," Salleh berdoa. Langkahnya menghampiri simpang di antara dua buah rumah yang dikelilingi tembok berduri - bunyi yang didengari Salleh seolah-olah berasal dari situ.
Tiba-tiba mata Salleh membulat. Serentak dengan itu, badan Bam yang besar itu tergolek di atas jalan, betul-betul di tengah-tengah simpang. Salleh cepat-cepat bersembunyi di belakang tiang elektrik berhampiran, basikal yang dituntunnya tadi segera disandarkan di tiang elektrik tempat persembunyiannya.
Bam bangun, badannya yang gempal itu terhoyong-hayang, sebelah matanya lebam. Kakinya dikangkang, seolah-olah membuat kuda-kuda. Dia bagaikan sedang bersedia menghadapi sesuatu.
"A...Aku kuat lagilah!" Bam menjerit, tergagap-gagap, ke arah seseorang yang tidak kelihatan. Tiba-tiba sahaja satu kelibat menerpa ke arahnya dan menerajang padu wajah Bam. Bam jatuh terlentang, pengsan. Kelibat itu tersengih sinis ke arah Bam sebelum berlari pantas meninggalkan tempat itu.
Salleh terpinga-pinga, cuba menghadam apa yang dilihatnya tadi. Dia keluar dari tempat persembunyiannya dengan penuh berhati-hati. Tentulah, dia masih tidak tahu keadaan Man dan Razlan.
Dengan perlahan Salleh menghampiri Bam yang tidak sedarkan diri. Dia menoleh ke arah lorong. Rahangnya terus jatuh apabila melihat Man dan Razlan juga pengsan dengan bibir berdarah dan badan lebam di sana sini. Man terkulai di dalam tong sampah besar itu, Razlan pula di tembok, kepalanya bagaikan terlekat di dinding.
"Ganas betul orang yang belasah diorang ni," gumam Salleh perlahan. Salleh melihat kawasan sekitar, mencari Andi. Andi langsung tidak kelihatan.
"Andi ni, sempat lari ke? Mana dia pergi?" Salleh menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia berpatah balik ke basikal Andi yang disandarkan di tiang elektrik tadi, dan menuntunnya melepasi simpang itu dengan laju. Takut juga kalau 'Trio Belut' ini sedar dari pengsan.
(...)
"Macam mana aku nak pulangkan basikal si Andi ni? Menyesal pula tak minta alamat."
Salleh menyandarkan basikal Andi yang dituntun itu ke tembok berhampiran. Dia terus mencangkung di atas jalan tar, kepenatan. Sesekali dia memegang rantai basikal yang terjulur keluar.
"Basikal ni pun, masa macam ni la rantai nak tertanggal," bebel Salleh. Dia cuba masukkan balik rantai basikal itu, namun berputus asa seketika kemudian disebabkan jarinya terluka sedikit kerana tersepit pada gear.
"Hai."
Hampir terlompat Salleh dibuatnya dek terkejut dengan sapaan secara tiba-tiba itu. Dia terus menoleh ke belakang. Seseorang sedang mencangkung di belakang Salleh, tersengih-sengih macam kerang busuk.
"Rantai basikal awak putus ke?" Dia bertanya dengan nada kebudak-budakan. Salleh yang masih terpinga-pinga sekadar menggeleng. Orang itu bangun, menghampiri basikal, lalu tangannya dengan cekap memasukkan balik rantai basikal pada gearnya. Selesai sahaja kerjanya, dia terus bangun sambil bertepuk tangan.
"Okey. Siap dah!" Dia berteriak ceria. "Kita pergi dulu, ya. Bye bye," sambungnya lagi sebelum berlari anak meninggalkan tempat itu, tangannya melambai ke arah Salleh.
Salleh masih terkebil-kebil, keliru dengan apa yang sedang berlaku. Selepas agak jauh orang itu berlari, Salleh tersedar sesuatu dan terus berdiri.
"Andi, ni basikal awaklah! Nak pergi mana tu?" Salleh menjerit, tangannya terus mencapai basikal dan terus menunggangnya, cuba mengejar Andi yang menghilang.
(...)
Salleh hentikan kayuhannya di sebuah padang bola tidak jauh dari situ. Mulutnya ternganga luas. Rasa hairan, takut dan kagum bercampur aduk.
"Ahahaha!"
Andi berada di atas pokok besar setinggi empat meter di tepi padang itu, sedang bergayut macam monyet yang baru keluar hutan. Dengan pantas dia melompat dari dahan ke dahan. Seronok benar nampaknya dia.
Tiba-tiba sahaja pegangannya terlepas. Badan Andi terus jatuh ke atas padang, kepalanya terhentak di atas akar pokok yang timbul di permukaan tanah.
"Arkh!"
Dengan perlahan dia duduk di atas tanah, kedua tangannya memegang kepala. Matanya terbuka perlahan-lahan. Dia menoleh sekeliling, terpinga-pinga.
"Saya mimpi ke tadi? Tapi, macam betul..."
Salleh masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri dari tadi, basikal Andi ditongkat di sebelahnya. Pada awalnya dia mahu menolong Andi yang terjatuh macam nangka busuk tadi, namun tiba-tiba terasa seram apabila Andi dengan pantas bangun dan berjalan menghampirinya, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
"Er... Salleh?" Andi menegur. Salleh memandangnya ke atas dan ke bawah, masih takut-takut.
"Kenapa?" Andi bertanya. Salleh hanya membalas dengan keluhan berat.
"Tak sakit ke badan tu lepas jatuh dari pokok?" Salleh bertanya.
"Jatuh... Pokok?" Andi bertanya pelik. Patutlah badannya sakit lain macam.
"Kamu tu, dahlah repair basikal sendiri, lepas tu tinggalkan saya terkontang kanting dengan basikal kamu tu, lepas tu pergi bergayut macam beruk kat pokok tu," kata Salleh, sedikit geram.
Andi terpinga-pinga seketika. Salleh mengambil bungkusan plastik berisi tepung kek yang dipesan ibunya dari raga basikal. Dia terus menoleh ke arah Andi.
"Saya balik dulu, Andi." Salleh terus membuka langkah. Pasti ibunya tertunggu-tunggu tepung kek yang dipesannya itu.
"Tunggu, Salleh!"
Salleh terus berpaling, memandang Andi. "Kenapa?"
"Hidung kamu..."
Salleh kesat cecair yang tiba-tiba terasa mengalir keluar dari hidungnya. Dia melihat tangannya itu. Darah.
Salleh membatu selama lima saat.
"Wah!"
YOU ARE READING
Trance
Teen FictionAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...