Bunyi jam loceng mengejutkan Andi dari lena. Dia bingkas bangun dari katil, dahinya disentuh sebelah tangan.
"Pelik betul mimpi tadi," gumamnya perlahan. "Kenapa mimpi tu... Di wad hospital? Macam wad private pun ada."
Mimpinya bagai seimbas lalu saja, namun dia cam dua manusia yang muncul di dalam mimpi itu. Aliya, yang duduk di kerusi, dan Suraya, yang terbaring di atas katil hospital dengan kedua-dua kakinya tergantung. Kedua-duanya sedang menangis.
"Hm. Harapnya mereka berdua tak apa-apa," katanya seraya bangkit dari katil. Tuala yang digantung di penyidai diambil.
(...)
Awal pagi itu hening, tiada awan melitupi langit, tanda cuaca hari ini cerah. Namun, pagi itu sedikit bising berbanding kebiasaannya.
Pagi itu, sesi persekolahan baru bermula. Ramai pelajar berkumpul di kawasan legaran dan tapak perhimpunan. Pada pagi itu juga, pembahagian kelas untuk sesi tahun baru dibuat. Pemilihan pelajar berdasarkan keputusan peperiksaan akhir tahun lepas. Senarai nama ditampal di papan kenyataan utama sekolah, yang terletak di kawasan legaran.
"Yeah! Kita sekelas!" Salleh terus memaut bahu Andi, yang baru sahaja tiba di hadapan papan kenyataan utama itu. "Bukan kita saja, Shu Fen, Muthu, Zahra... Hampir seluruh kelas kekal. Cuma dua orang saja yang 'turun kelas'."
Andi hanya sengih melihat reaksi Salleh. Dia memang sudah agak dia kekal dalam kelas Amanah - sejak Tingkatan Satu lagi dia ditempatkan dalam kelas itu. Senarai nama ditenung, nampaknya tahun ini tiada pelajar yang berlainan kelas pada tahun lepas. Semuanya sama - kecuali dua orang pelajar yang turun kelas itu.
"Andi, Salleh!"
Kedua-dua remaja itu menoleh ke belakang. Kelihatan Aliya dan Zahra berjalan menghampiri mereka berdua. Andi terus teringatkan mimpi yang dialaminya malam tadi.
"Ha, kalau kamu berdua tertanya-tanya masuk kelas mana tahun ni, jangan risau. Kamu berdua kekal dalam kelas Amanah," kata Salleh sebaik sahaja menyedari Zahra cuba melihat senarai nama di papan kenyataan itu.
"Oh. Tahun baru, muka lama. Cikgu... Kita tengok dulu," seloroh Zahra. Dia kemudian pandang Aliya yang hanya senyum.
"Eh, baru teringat. Apa khabar... Er... Siapa namanya?" Salleh terus bertanya Aliya sambil garu kepala.
"Suraya?"
Salleh angguk. Aliya pula mengeluh lemah.
"Dia sihat je. Masih dalam wad. Tapi dalam seminggu ni, kalau semuanya baik-baik saja, dia boleh keluar hospital," kata Aliya.
"Jadi... Awak dah berbaik dengan dia?" Zahra bertanya pula. Mujur juga Aliya ada beritahu hal 'Suraya dan Black' kepadanya.
Aliya bungkam. Andi pula hanya pasang telinga sejak tadi, sedikit terkejut apabila menyedari mimpi itu benar-benar berlaku.
"Entahlah," kata Zahra kemudiannya. "Kalau ikutkan hati, saya tak nak tengok muka dia lagi. Tapi bila fikir balik, kasihan pula pada dia. Dia pun mangsa juga."
"Apa-apapun, kes tu dah selesai, kan," kata Salleh pula. "Harapnya mamat tu dihukum."
Aliya hanya angguk. "Saya nak ke tandas kejap." Dia kemudian berjalan laju menuju ke arah tandas di hujung koridor itu. Zahra pula mengikuti dari belakang.
"Kes apa?" Andi berbisik, namun dapat didengari Salleh. Salleh terus angkat kening.
"Tak ingat, hm?"
Andi hanya sengih sambil garu kepala.
"Bila fikir balik, mesti awak lupa lepas tempoyak tu meletup kena muka awak. Macam kes kena bola dulu tu," tambah Salleh lagi. Andi hanya mencebik sebagai respon.
YOU ARE READING
Trance
Teen FictionAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...