Bab 58

148 11 5
                                    

"La. Kenapa polis pula yang datang?"

Salleh yang sedang mengunyah Zinger Burger terpinga-pinga apabila melihat reaksi Kak Shila seusai menceritakan hal lelaki yang cuba membunuh diri itu. Mereka berdua di KFC, sedang menikmati makan tengah hari sebelum di sebuah pusat membeli-belah.

"Kenapa, kak?"

"Macam mana nak cakap, hm..." Kak Shila garu dagu. Dia kemudian pandang tepat ke arah Salleh. "Kalau ikut undang-undang, cubaan bunuh diri tu satu kesalahan jenayah, tahu? Boleh masuk penjara kalau sabit kesalahan."

Salleh melopong. "Masuk penjara?"

Kak Shila angguk. "Sebab tu sebaiknya kalau ada kes macam ni, kita hantar orang tu ke hospital, bukan call polis."

"La. Bukan Salleh yang call pun. Kebetulan ada polis lalu jalan tu," kata Salleh sambil garu kepala yang tidak gatal.

"Hm. Tak apalah. Kawan kamu tu pula, macam mana? Mesti polis nampak dia tumbuk orang tu," soal Kak Shila lagi.

"Dia okey, rasanya. Polis kata, mereka nampak Andi tarik orang tu dari tepi jejantas. Jadi mereka lepaskan kami, orang tu pula polis bawa pergi hospital."

Kak Shila mengangguk lagi. Kentang goreng diambil sebatang lalu dimasukkan ke dalam mulut.

"Kak, lepas ni pergi Uniqlo, boleh?" Salleh tiba-tiba bertanya.

"Buat apa?" Kak Shila bertanya.

"Hoodie Salleh dah senteng. Nak hoodie baru. Boleh?"

Kening Kak Shila terangkat sebelah. Salleh pula hanya senyum penuh makna.

"Nak minta akak belanja ke ni?"

Kali ini senyuman itu bertukar menjadi sengih.

"Dah belanja burger pun, tak cukup lagi?" Soalan Kak Shila itu cukup untuk menukar sengih Salleh kepada cebik.

"Ala. Bolehlah, kak. Lagipun bila lagi akak nak belanja? Dahlah lama Salleh tak jumpa akak. Akak balik Malaysia akan datang pun, masa nak grad nanti, kan? Bolehlah. Please?"

Kak Shila terus buat muka menyampah.

(...)

Masuk sahaja ke dalam Balai Polis, Koperal Chan terus duduk di kerusinya. Dahinya berkerut. Boleh pula masa dalam perjalanan pulang ke balai, ada cubaan bunuh diri secara langsung depan mata.

Dia cam salah satu daripada dua pelajar sekolah yang berada di atas jejantas itu, sewaktu kereta peronda yang dinaikinya melalui jalan berhadapan sekolah itu. Dan nampaknya pelajar sekolah itupun seakan-akan dapat cam dia.

"Eh, Uncle ni..."

Koperal Chan yang baru sahaja selesai menyoal kedua-dua remaja itu terdiam apabila salah seorang dari mereka bersuara.

"Kenapa?" Koperal Chan bertanya. Sempat lagi matanya membaca nama yang tertera pada tag nama di baju pelajar itu, 'Andi Shariman'.

"Macam pernah nampak."

Koperal Chan senyum seraya menyimpan buku nota yang dipegang sejak tadi di dalam saku. "Jarang betul orang kata macam ini. Pelanduk dua serupa rasanya. Adik nampak di mana?"

"Ada apek yang pancing ikan dekat area rumah terbengkalai tu. Muka dia sebiji dengan muka Uncle. Tapi Uncle lagi fasih cakap Melayu..."

Koperal Chan terus bungkam.

"Budak tu... Dia cam aku ke? Haiyaa..." Koperal Chan tepuk dahi. Rasanya penyamaran dia sewaktu menyiasat kawasan rumah terbengkalai untuk kes Black itu sudah cukup sempurna. Mujur dia masih boleh kawal diri supaya tidak terlepas kata.

TranceWhere stories live. Discover now