Bab 25

266 35 18
                                    

*Semasa di pejabat Puan Pengetua*

"Saya... Tak tahu, cikgu..."

"Kamu tak tahu macam mana boleh dapat markah penuh dalam subjek Matematik?"

Andi hanya tunduk merenung lantai. Dalam takut ada secuil kehairanan di jiwa. Bagaimana pula dia boleh skor 100 markah penuh dalam subjek Matematik? Pelajar terbaik subjek Matematik dalam tingkatan pun hanya dapat 98 markah.

"Saya... Saya tak ingat pun ambil kertas tu, sebenarnya..." Dengan nada perlahan, Andi berkata.

"Dah tu, siapa pula ambil exam ni? Hantu?"

Andi terus bungkam. Mati akal. Hantu jawabkan soalan Matematik bagi pihaknya? Sungguh baik hati hantu itu.

Puan Mariani, pengetua sekolah, hanya merenung Andi yang kelihatan takut-takut, sambil hela nafas berat. Dia kemudian pandang ke arah Shu Fen yang duduk di kerusi bersebelahan Andi.

"Kamu pula, Lim Shu Fen. Kamu ada masalah?" Puan Mariani menyoal dengan nada lembut, namun tegas.

"Tiada, Puan," jawab Shu Fen dengan yakin.

Puan Mariani tarik nafas sedalam-dalamnya. Kertas peperiksaan Matematik milik Shu Fen diletakkan di hadapannya. Wajah Shu Fen terus berubah pucat. Andi yang sempat mencuri pandang pada markah di atas kertas itu turut terkejut.

"53... Markah?"

Dengan riak wajah tidak percaya, Shu Fen meneliti kertas jawapan itu. Tangannya menggeletar kuat setiap kali menyelak helaian kertas itu.

"Macam mana... Boleh jadi... Macam ni?" Shu Fen masih terketar-ketar.

"Kamu pelajar terbaik tingkatan dalam subjek ni. Sebelum ni tak pernah markah kamu jatuh sebanyak ini. Kamu pasti kamu tiada masalah?"

Shu Fen membisu. Tidak tahu mahu kata apa-apa.

Pintu pejabat tiba-tiba diketuk. Kelihatan Cikgu Mastura berdiri di hadapan pintu melalui panel kaca pintu itu.

"Ya, Mastura. Masuk," arah Puan Mariani. Cikgu Mastura berjalan masuk ke pejabat, di tangannya ada beberapa helai kertas. Sesekali matanya melirik ke arah Andi dan Shu Fen, masing-masing menikus di kerusi.

"Puan, saya nak bincang sesuatu dengan Puan, pasal OMK tahun depan."

Puan Mariani mengangguk. "Kamu berdua tunggu sebentar di luar."

Kedua-dua pelajar itu mengangguk lalu keluar dari pejabat Pengetua. Puan Mastura kemudian meletakkan kertas di tangannya di atas meja.

"Puan, saya berkira-kira mahu buat begini. Boleh, puan?"

Puan Mariani meneliti kertas itu. Dahinya berkerut seketika.

"Kamu pasti?"

Cikgu Mastura mengangguk. "Lagipun, untuk kategori 'Muda' memang tak cukup ahli. Rasanya tiada salahnya 'dia' turut serta. Lagipun, Puan sendiri dah tengok kertas jawapan 'dia', kan?"

Puan Mariani membisu, berfikir. Setelah agak lama dia mengangguk. "OMK hanya berlangsung pada Julai tahun hadapan. Ada masa lagi kalau nak bersedia. Bagaimana dengan kumpulan 'Sulung' dan 'Bongsu'?"

"Oh. Kumpulan 'Sulung' dah mulakan latih tubi sejak awal minggu ni. Kumpulan 'Bongsu' pula masih belum dapat modul. Sekejap lagi saya uruskan mereka."

Puan Mariani mengangguk. "Saya benarkan kamu cuba cara ini. Tapi, kalau kumpulan 'Muda' nak tarik diri lepas ni, saya tak kisah."

"Terima kasih, Puan."

Puan Mariani mengangguk. "Pergi panggil semula mereka tu ke dalam. Biar saya sendiri beritahu mereka."

TranceWhere stories live. Discover now