Bab 13

262 41 2
                                    

Salleh topang dagu, membuang pandang ke langit malam melalui tingkap. Lupa pula mahu tanya berkenaan catatan Andi itu.

Dia juga rasa yang dia patut minta maaf. Yalah, curi baca catatan peribadi Andi tanpa izin.

"Nak pergi esok ke?" Salleh berbisik perlahan. Terfikir pula dia masa melawat hospital. Selalunya untuk wad perubatan, dari pukul 12.30pm ke 5.00pm, kalau hari biasa. Masa melawat di hospital pada hujung minggu pula, bagaimana ya? Adakah sama dengan hari biasa? Lupa pula mahu tanya jururawat bertugas tadi.

Kalendar di dinding dilihat. Esok 15 September. Lusa, Hari Malaysia.

Eh, 15 September?

Salleh terus keluarkan buku Surah Yaasin dari rak buku di sebelahnya.

(...)

Suasana wad perubatan lelaki itu gelap. Hujan turun dengan lebat di luar. Jam menunjukkan pukul 4 pagi.

Remaja itu curi-curi mengintai di celahan selimut. Katil selang tiga baris dari katilnya, yang mana warisnya bersikap biadap dengan jururawat bertugas siang tadi, direnung lama.

Selepas waris pesakit itu keluar dari wad dan keadaan sekeliling katil itu lengang, dia terus bangun dari katil. Dengan senyap dia berjalan ke arah katil itu. Sorot matanya tajam, berwaspada terhadap apa di sekelilingnya.

Dia berdiri tegak di hadapan katil itu. Lelaki tua yang sedang lena itu direnung. Mesin perentak nadi dan topeng oksigen terpasang padanya.

Tangannya perlahan-lahan mencapai tiub yang bersambung pada topeng oksigen itu.

"Apa yang kamu mahu buat?"

Dia tersentak. Matanya melilau ke sekeliling wad. Tiada sesiapa kelihatan berhampirannya. Jururawat yang bertugas sedang kelam-kabut di katil seorang pesakit hujung wad yang satu lagi, sedang bertungkus lumus menyelamatkan pesakit itu.

"Baik kamu jangan buat."

Dia tajamkan pendengarannya. Sebaik sahaja dia menyedari yang suara itu milik 'dia', remaja itu terus ketap gigi.

"Apa masalahnya? Anak dia ada, tapi tak guna. Entah apa fungsinya dia menyemak di sini. Lagipun pakcik ni dah tua. Apa salahnya, kan? Biarlah aku tolong dia berehat dengan aman," bisik dia kepada suara itu. Senyuman jahat terukir di bibirnya.

Tangannya terus mencapai tiub oksigen itu.

"Saya. Kata. Jangan. Buat!" Suara itu menjerkah.

Serentak dengan itu, satu daya bagaikan menarik remaja itu ke belakang dengan kuat. Dia terus jatuh terduduk, belakangnya berlaga dengan katil bersebelahan yang kosong.

Remaja itu tersedak dek berlaga dengan katil, lalu kepalanya tunduk, matanya terpejam. Beberapa saat kemudian, dia buka matanya. Terkebil-kebil. Keliru.

"Eh? Apa... Macam mana..."

Dia kelam-kabut bangun dari atas lantai dan beredar, menuju ke arah katilnya. Baru sahaja lima langkah, telinganya menangkap bunyi nyaring mesin perentak nadi. Dengan segera dia menoleh ke arah katil itu.

Garisan lurus terpapar di skrin mesin. Wajahnya berubah pucat. Panik.

"Nurse! Tolong!"

(...)

Subuh menjelang. Salleh baru sahaja tersedar dari lena, matanya merenung siling. Sesekali dia merenung ke arah bingkai gambar di atas meja bersebelahan katil.

Salleh terus pasang lampu tidur lalu mengambil bingkai gambar itu. Itu foto keluarganya sewaktu hari raya Aidilfitri tiga tahun lepas, di United Kingdom. Dia senyum tawar melihat foto itu.

TranceWhere stories live. Discover now