"Kenapa kamu pergi terjun tingkap?" Cikgu Param menyoal. "Kamu tahu kan, tindakan kamu itu berbahaya. Bagaimana kalau cikgu lambat datang tadi?"
"Aaa... Sebenarnya... Saya... Saya nak ambilkan beg kawan saya. Ada orang pergi campakkannya di luar," kata Salleh perlahan. "Saya minta maaf. Lain kali saya takkan buat lagi..."
Milo panas dalam cawan kertas di atas meja berhadapan Salleh sekadar direnung tanpa selera. Badannya masih menggeletar walaupun sudah sejam berlalu. Begitu juga Andi yang duduk di sebelahnya.
"Lain kali, kalau jadi lagi macam ni, terus beritahu cikgu, tahu. Jangan buat begini lagi," pesan Cikgu Lim. "Sudahlah. Kamu berdua berehat saja di bilik rawatan ini."
Andi dan Salleh mengangguk. Kedua-dua guru itu terus keluar dari bilik rawatan. Salleh memandang Andi yang hanya membisu sejak diselamatkan kedua-dua guru itu tadi.
"Andi."
Andi menoleh ke arah Salleh, bagaikan bertanya kenapa.
"Terima kasih banyak-banyak. Saya sangat-sangat terhutang budi."
Andi mengangguk perlahan. Jauh di sudut hatinya, dia rasa risau. Sangat-sangat risau.
Tidak pernah seumur hidupnya dia rasa begitu. Tidak pernah langsung.
Itu kali pertama dia rasa jasadnya bagaikan dikawal orang lain.
(...)
Shu Fen terhendap-hendap di pintu Bilik Rawatan sejurus selepas kelas Bahasa Cina habis. Dia terus ke situ dari Bilik Bahasa, diselubungi rasa bersalah yang teramat. Pintu Bilik Rawatan itu separa terbuka, kedua-dua rakan sekelasnya yang terlibat dalam 'drama-yang-membawa-kecelakaan' tadi pula sedang berehat di dalam.
"Shu Fen," tegur satu suara. Shu Fen toleh ke belakang. Yee Jun sedang bersandar di tiang tidak jauh darinya, tangannya bersilang, bibirnya terukir senyum.
"Awak..." Shu Fen terketar-ketar menahan marah. "Saya laporkan awak! Biar cikgu hukum awak!"
"Macamlah mereka nak percayakan awak, kan?"
Shu Fen terdiam.
Yee Jun senyum sinis, melambaikan tangannya ke arah Shu Fen dan berlalu pergi, menghilang di sebalik tangga.
"Shu Fen? Apa awak buat di sini?"
Shu Fen terlompat sedikit, terus pandang Salleh yang sedang berdiri di pintu Bilik Rawatan.
"Aaa... Er... Awak berdua... Tak apa-apa kan?"
"Kami okey je... Kot. Cuma, Andi tu diam je dari tadi," kata Salleh sambil sengih.
"Saya... Minta maaf."
"Hm?" Salleh termagu-magu, hairan.
"Yalah. Disebabkan saya, awak berdua nyaris jatuh bangunan..."
"Alah. Awak pun mangsa keadaan juga, kan? Tak perlulah minta maaf. Cuma, kalau jadi macam ni lagi, baik minta tolong cikgu je."
Shu Fen terus senyum. "Saya... Balik kelas dulu, ya."
Salleh angguk. Matanya merenung Shu Fen berjalan kembali ke kelas.
(...)
Andi merenung tingkap di hadapan meja di biliknya. Fikirannya bercelaru. Apa yang dah jadi pagi tadi? Mengingatkan balik peristiwa itu, dia terus terasa seram. Serius, rasa macam boneka atas pentas!
Laci ditarik, sebuah buku tulis 200 muka surat dibawa keluar. Pen di tempat letak alat tulis di atas meja diambil. Dia menulis sesuatu di dalam buku tulis itu sebelum kembali menyimpannya.
"Andi," tegur Puan Ariana di pintu. "Buat apa tu?"
"Oh, tak ada apa-apalah, ibu," kata Andi sambil sengih. "Kenapa ibu tak pergi kerja petang ni?"
"Ibu ambil cuti separuh hari. Ingat nak bawa Andi pergi klinik. Manalah tahu cedera di mana-mana. Terkejut ibu dibuatnya bila dapat tahu apa jadi di sekolah pagi tadi."
Andi hela nafas. Rasa bersalah pula dibuatnya. Disebabkan kejadian pagi tadi, ibunya ambil cuti. Demi dia.
"Andi tak apa-apalah, ibu. Sihat walafiat lagi."
Puan Ariana terus peluk tubuh. Skeptik dengan kata-kata Andi.
"Betul. Tak tipu. Sumpah!" Andi angkat tangan kanannya, bagaikan berikrar. Puan Ariana terus tertawa kecil.
"Yalah, yalah. Alang-alang ibu dah ambil cuti ni, ibu nak ke kedai, beli barang dapur sikit. Nak ikut?"
"Nak!"
(...)
Troli berisi barang yang dibeli di pasaraya KitMart disorong keluar, menuju ke kereta yang diletakkan di petak letak kenderaan, betul-betul di luar pasaraya itu. Sehelai kertas tertulis senarai barang dibawa keluar dari beg tangannya.
"Hm. Tinggal ikan bilis, minyak masak, bawang merah dengan cili padi saja. Boleh pula semua tu habis stok hari ini," kata Puan Ariana perlahan.
"Lepas ni nak pergi tempat lain lagi ke?" Andi tanya, baru sahaja selesai meletakkan barang dapur yang dibeli ke dalam but kereta.
"Hm. Kita singgah Pasar Besar Mazli. Beli barang sikit. Lepas tu terus balik."
Andi mengangguk, menutup but kereta. Mereka terus masuk ke dalam kereta. Kereta itu terus bergerak keluar dari kawasan pasaraya itu.
(...)
Pasar Besar Mazli lengang. Tidak ramai pelanggan datang membeli hari ini. Mungkin disebabkan hujan lebat mulai turun di luar.
Mata Andi melilau di setiap rak di Pasar Besar Mazli, mencari minyak masak. Boleh tahan jauh juga jarak rak minyak dari kaunter. Puan Ariana meminta dia mencari minyak masak paket sementara dia memilih bawang dan cili padi di ruang sayuran yang terletak tidak jauh dari ruang kaunter pembayaran.
"Oh yeah! Jumpa juga akhirnya!"
Kelihatan satu raga besi berisi minyak masak paket, terletak betul-betul di antara dua rak minyak masak dan tepung. Minyak masak paket di situ penuh satu raga, mungkin baru sahaja sampai dari gudang.
Andi berjalan ke arah raga itu, mengambil dua bungkus minyak. Dia kemudian berjalan kembali ke ruang sayuran. Puan Ariana masih di situ, belum habis memilih bawang.
"Ni, minyak masak, ibu," kata Andi, paket minyak masak diletakkan dalam raga berisi sebungkus ikan bilis di sisi Puan Ariana. Puan Ariana berhenti memilih bawang, melihat ke dalam raga.
"Mana lagi satu?"
"Eh?" Andi hairan.
"Lah, kan ibu suruh ambil tiga. Ni dua paket je. Satu lagi, mana?"
Andi sengih. "Andi pergi ambil ya, ibu." Dia terus berjalan laju ke arah raga besi tempat dia mengambil minyak masak paket tadi. Puan Ariana hanya menggeleng perlahan sambil tersenyum melihat gelagat anak tunggalnya itu. Plastik berisi bawang merah yang dipilihnya tadi terus dibawa ke kaunter timbang.
(...)
Andi sedang berjalan kembali ke ruang sayuran, memegang satu paket minyak masak, apabila terdengar riuh rendah di ruangan kaunter pembayaran. Dia terus menyorok, mengintai dari celah rak berhampiran kaunter.
Tiga orang perompak bertopeng seperti tukang potong rumput dan bersenjatakan pisau dapur sedang mengugut juruwang, beberapa orang pelanggan dan pengurus kedai yang kebetulan berada di situ. Pengawal keselamatan pula sudah pengsan di atas lantai.
"Alamak! Macam mana ni?" Andi menggumam perlahan. Matanya melilau mencari ibunya di ruang sayuran, tidak jauh dari tempat dia berada. Tiada.
Suara Puan Ariana kedengaran di kaunter, menarik perhatian Andi. Dia berlari ke rak menghadap kaunter paling hujung. Kelihatan salah seorang dari perompak itu mengacukan pisau ke arah Puan Ariana yang berada berhampiran kaunter hujung, yang tidak kelihatan di tempat Andi bersembunyi sebelum ini, sebelah tangannya menarik beg tangan miliknya.
"Ya ALLAH! Ibu!"
YOU ARE READING
Trance
Teen FictionAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...