Lima tahun kemudian.
Pagi itu cerah seperti selalunya. Burung-burung berkicau keriangan. Sekolah pula, macam biasa, bising dengan suara pelajar. Maklumlah, hari Isnin. Agak aneh jika suasana sekolah sunyi sepi pada hari persekolahan, bukan?
Seorang remaja lelaki lengkap beruniform sekolah dan berbeg sandang hitam berjalan masuk ke kawasan SMK Taman Baiduri. Di tangan kanannya ada fail plastik mengandungi dokumen-dokumen yang diperlukan untuk mendaftar masuk ke sekolah. Sengaja dia hadir sendiri tanpa ditemani ibu bapa untuk mendaftar masuk. Dia bukannya kanak-kanak lagi.
Sekilas dia memandang ke arah jam besar yang tersedia di kawasan legaran. 8.45 pagi. Dia ternampak pula papan informasi yang menunjukkan peta sekolah secara umum di legaran tersebut. Lantas dia menghampiri papan informasi itu untuk mencari jalan ke pejabat sekolah.
Dia membuka langkah ke pejabat sekolah mengikut arah yang dilihat di peta tadi. Dia terus masuk lalu menjenguk ke kaunter pejabat sambil tersengih-sengih. Kerani yang kebetulan berada di kaunter itu hanya merenungnya dengan wajah kosong.
"Ya, ada apa, adik?" Soal kerani itu.
"Err... Maaf sebab ganggu. Pengetua ada tak?" Remaja itu masih tersengih-sengih.
"Ada. Di pejabat. Oh, kamu ya pelajar baru yang berpindah dari United Kingdom tu?" Kerani itu bertanya. Remaja itu mengangguk.
"Pejabat pengetua, jalan terus ke hujung sana," kata kerani itu, menunjuk ke arah koridor bersebelahan kaunter yang menghala ke pejabat guru-guru pengurusan.
"Terima kasih," kata remaja itu sebelum membuka langkah ke arah pejabat pengetua.
(...)
Kelas 2 Amanah dikejutkan dengan kehadiran seorang pelajar lelaki yang kacak masuk ke kelas, membuntuti Puan Zaidah, guru Bahasa Melayu merangkap guru kelas 2 Amanah.
"Murid-murid, hari ini kita ada pelajar baru," kata Puan Zaidah. "Sila perkenalkan diri," katanya kepada remaja yang masih kekal tersengih itu.
"Assalamualaikum dan selamat pagi, semua. Nama saya Rahmat Sallehudeen Bin Ayoub. Panggil Salleh saja. Saya baru sahaja berpindah dari United Kingdom," kata remaja itu sambil tersenyum mesra.
Kedengaran bunyi 'wow' keluar dari mulut beberapa orang pelajar kelas itu. Ada beberapa pelajar perempuan memandangnya tanpa berkelip mata.
"Awak ni hensemlah."
"Dari UK? Pergh!"
"Fasih betul Bahasa Melayu awak. Betul ke awak dari sana ni?" Seorang pelajar perempuan berkaca mata tebal bertanya dengan nada skeptik.
Salleh sekadar tersenyum. Dia sudah dapat mengagak soalan itu. "Saya duduk UK pun sebab ikut ayah saya ambil PhD. Dalam empat tahun saja tinggal di sana. Lagipun di rumah cakap Bahasa Melayu."
Para pelajar di kelas itu sekadar mengangguk.
"Baiklah, Salleh. Kamu duduk di tempat duduk kosong di situ," kata Puan Zaidah, menunding ke arah meja kosong bersebelahan meja seorang pelajar lelaki yang sedang tunduk dari tadi. Salleh mengangguk lalu bergerak ke tempat duduknya itu.
Selepas Salleh meletakkan beg sandang dan duduk di tempatnya, Puan Zaidah memulakan sesi pembelajaran. Salleh memandang ke arah pelajar lelaki di sebelahnya. Pelajar itu seolah-olah tidak menyedari kehadirannya di meja sebelahnya itu.
"Awak," tegur Salleh perlahan sambil mencuit bahu pelajar itu. Tiada reaksi. Riak wajahnya kekal kosong. Macam sedang khayal pun ada.
Salleh mengangkat tangannya dan melambai-lambai di muka pelajar itu. Masih tiada reaksi. Pelik.
"Salleh, biarkan dia," tegur pelajar perempuan di meja bertentangan dengannya. "Dia memang macam tu."
Salleh sekadar mengangguk perlahan lalu mengeluarkan buku Bahasa Melayu dari dalam begnya. Sesekali dia memandang ke arah pelajar lelaki yang keras membatu bak patung terracota di sebelahnya itu. Nafasnya dihela lemah.
(...)
Loceng berbunyi menandakan sudah masuk waktu rehat. Para pelajar keluar dari kelas, sama ada untuk ke kantin, koperasi atau perpustakaan. Kelas hampir kosong selepas beberapa minit loceng berbunyi.
Salleh memandang ke arah pelajar lelaki yang duduk di sebelahnya itu. Masih membatu. Tidak berubah posisi langsung sejak dia masuk ke kelas.
Okey, ini merisaukan.
"Hei, tak nak keluar rehat ke?" Pelajar perempuan yang duduk di meja bertentangan dengannya tadi menegur. Salleh cuma tersenyum sambil mengeluarkan sepeket sandwic yang dibawa dari rumah. Dia keluar dari kelas, mengikuti pelajar perempuan itu, meninggalkan pelajar lelaki itu seorang diri.
"Lupa mahu kenalkan diri. Nama saya Nurul Aulia Zahra. Panggil Zahra saja," kata pelajar perempuan itu. Salleh mengangguk.
"Kamu pelik dengan budak tu, ya?" Zahra bertanya.
"Yalah. Dia memang macam itu ke?"
Zahra mengangguk. "Nama budak tu Andi Shariman. Dia memang macam tu. Pelik sikit. Tunggulah sekejap lagi, budak tu mesti pergi tawaf keliling sekolah."
Tidak lama kemudian, pelajar bernama Andi Shariman itu keluar dari kelas, berjalan macam zombi. Orang di sekitarnya berbisik-bisik sambil memandang ke arahnya. Ada juga yang ketawakan dia dan meniru tingkah lakunya. Anehnya, dia langsung tidak memberi sebarang reaksi. Riak wajahnya kekal kosong. Bagaikan berada di dunia sendiri.
"Tengok tu. Kan dah cakap," kata Zahra, menunding ke arah Andi yang mula berjalan keliling sekolah dengan gaya semacam zombi itu. Salleh sekadar memerhatinya berjalan menjauh dari blok kelas. Jauh di sudut hatinya, dia ingin tahu perihal budak itu. Kenapa sikap dia begitu?
![](https://img.wattpad.com/cover/86426758-288-k642370.jpg)
YOU ARE READING
Trance
Ficção AdolescenteAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...