Zaki merayau-rayau sekeliling sekolah, riak wajahnya kelihatan tegang. Berita yang dia perolehi itu yang sebabkan dia mencari seseorang di waktu rehat yang tidaklah lama pun.
"Siapalah dia tuduh pula kali ni..."
Petang kelmarin, seusainya perjumpaan dia dengan Shu Fen, dia diberitahu bahawa komputer riba Acer Predator milik Haris hilang secara tiba-tiba. Sudahlah baru sahaja dibeli, guna wang simpanan yang dikumpul melalui kerja sambilan selama lebih setahun pula tu.
Haris pula jenis manusia yang kepala angin. Mudah saja dia menuduh orang lain melakukannya, padahal orang itu tidak tahu apa-apa langsung. Mudah juga dia melayangkan penumbuk kepada orang yang dituduhnya itu.
Langkahnya terhenti di hadapan tandas. Telinganya menangkap bunyi seakan seseorang sedang meronta. Lantas dia menolak pintu, menjenguk ke dalam. Matanya membulat sebaik sahaja melihat apa yang sedang berlaku di situ, lalu melangkah masuk dengan pantas.
"Haris, berhenti!"
(...)
Andi duduk di bangku panjang berhampiran koperasi, wajahnya sedikit pucat dek apa yang berlaku kepadanya tadi. Zaki pula sedang membawa air kotak yang dibeli di koperasi.
"Mujur Abang Zaki datang," kata Andi perlahan. "Kalau tak, mesti tak pasal-pasal kena tumbuk."
"Eh, kenapa abang backup pencuri ni?" Haris membentak apabila tangannya yang hampir-hampir mengayunkan penumbuk sempat ditahan Zaki.
"Apa bukti yang dia curi laptop kau tu?"
Haris terdiam. Kolar baju Andi dilepaskan, namun badan Andi masih tersandar di dinding, dikunci pergerakannya oleh rakan Haris itu.
"Tak ada bukti kan? Kenapa kau tuduh dia pula?"
"Se... Sebab..." Tergagap-gagap Haris berbicara.
"Dah. Kau dah report polis kan. Biar polis yang selesaikan. Masa kes telefon kau hilang dulu, last-last orang yang kau tuduh curi telefon kau tu masuk hospital. Walhal kau yang salah letak. Patutnya kau dah serik."
Haris mendengus. "Jomlah. Kita blah dari sini," katanya kepada rakannya itu. Dengan kasar, badan Andi ditolak ke tepi. Hampir-hampir sahaja dia terjatuh ke atas lantai tandas.
"Andi?"
Andi tersentak, lalu menoleh ke sebelahnya. Zaki menghulurkan sekotak jus epal kepadanya.
"Air lain dah habis. Perisa ni je yang tinggal. Tak apa kan?"
"Tak apa. Terima kasih, abang Zaki," kata Andi seraya mengambil jus epal yang dihulurkan itu. Zaki kemudiannya duduk di bangku itu, bersebelahan Andi.
"Awak tak apa-apa?" Zaki berbasa-basi dahulu.
"Er... Okey je." Straw dicucuk, lalu Andi menghirup sedikit jus itu. "Kenapa dengan Abang Haris tu? Tiba-tiba je..."
"Oh. Tu. Laptop dia hilang kelmarin. Hilang dalam kawasan sekolah pula tu. Dah puas cari keliling sekolah, siap report pada cikgu lagi. Tak jumpa langsung. Sudahnya buat report polis terus," jelas Zaki.
"Laptop?" Andi berfikir seketika. "Laptop mahal tu? Yang dia marah saya sebab tersandung charger dia hari tu?"
Zaki angguk. Andi pula kerut dahi.
"Dah tu, kenapa saya kena tuduh?"
Zaki angkat bahu. "Dia memang macam tu. Suka tuduh melulu."
Andi terus bungkam, sambung minum jus epal dengan senyap.
YOU ARE READING
Trance
Teen FictionAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...