Sudah hampir dua minggu cuti sekolah akhir tahun bermula. Dan, pada masa itu juga, selang sehari hujan turun dengan lebatnya, menyejukkan pagi yang memang sedia dingin itu.
"Salleh, bangun. Subuh."
Salleh merenung ibunya yang berdiri di tepi katilnya. Mata yang kuyu itu digosok sebelah tangan, dia terasa lenanya terganggu. "Lima minit, Mama," katanya sambil menarik selimut, membungkus dirinya.
"Bangun sekarang," Puan Fauziah menggoncang bahu anaknya itu. "Lagi 15 minit dah masuk Syuruk."
Bunyi dengkuran halus kedengaran. Puan Fauziah terus bercekak pinggang. Dia kemudian senyum nakal.
"Lima minit, ya..."
Tangan Puan Fauziah laju mencapai hidung Salleh lalu memicitnya dengan kuat. Pada awalnya tiada reaksi, namun selepas 30 saat, Salleh mula meronta. Sesak tidak dapat bernafas dan pedih hidung dipicit kuat mengganggu tidurnya. Namun, pegangan tangan Puan Fauziah masih tidak dilepaskan. Terus Salleh bangkit dari pembaringan, cuba melepaskan tangan yang sedang memicit kuat hidungnya itu.
"Mama, yepash-ah!" Sengau suara Salleh dibuat Puan Fauziah dek hidungnya masih dipicit kuat. Puan Fauziah terus lepaskan pegangannya.
"Dah. Pergi solat, sekarang."
Salleh hanya muncung panjang seraya menggosok hidungnya yang kini kemerahan. Puan Fauziah pula terus berjalan keluar dari bilik.
Jam di atas meja dilihat. 6.55 a.m.
"Uish. Betullah cakap Mama. Kejap lagi Syuruk!"
Dengan segera dia berjalan menuju ke arah tandas untuk berwuduk.
(...)
Aliya berjalan keluar dari rumahnya. Matanya melilau ke kawasan sekitar, waspada dengan apa di sekelilingnya. Langkahnya kemudian dipercepatkan apabila menyedari keberadaan seseorang yang amat dikenali tidak jauh dari situ.
"Salleh!"
Salleh, yang dalam perjalanan pulang dari kedai runcit, tertoleh-toleh mencari tuan empunya suara yang memanggilnya itu. Dari kejauhan, kelihatan Aliya berlari-lari anak menghampirinya.
"Eh? Aliya?"
Aliya memperlahankan langkahnya. "Salleh, nak tanya sikit. Awak tahu rumah Andi di mana tak?"
Salleh terus terkebil-kebil. "Kenapa tanya?"
Aliya garu kepala seketika. "Adalah. Nak jumpa dia."
Lama Salleh diam. Riak wajah Aliya nampak sedikit resah. Mesti ada hal penting, sampaikan dia harus berjumpa Andi secara berhadapan.
"Saya nak balik rumah dulu, nak hantar ni," kata Salleh kemudiannya, sambil menunjukkan bungkusan plastik berisi barang dapur yang dipesan ibunya. Aliya hanya mengangguk.
(...)
"Assalamualaikum!"
Andi yang baru sahaja selesai membasuh basikalnya terus menoleh ke belakang. Dahinya berkerut sedikit apabila melihat Salleh di situ.
"Waalaikumussalam," jawab Andi sambil menutup pili air. Dia kemudian berjalan ke arah Salleh. "Kenapa tak call?"
"Line telefon kena sambar kilat malam tadi. Terus tak boleh guna. Papa dah call Telekom, minta mereka checkkan line."
Andi angguk. "Kenapa datang sini, ya? Pagi pula tu. Ada apa-apa hal ke?"
"Saya yang minta Salleh bawa saya ke sini."
YOU ARE READING
Trance
Teen FictionAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...