Pakaian serba hitam itu dikemaskan di badannya. Kain kuning pula diikat di kepala dan pinggang. Sesekali lelaki itu melihat wang yang disimpan dalam tin biskut di sebelah katil. Sengih lebar terpamer di wajahnya seraya tin itu ditutup.
Tiba-tiba, pintu utama rumahnya diketuk.
Dengan pantas dia berjalan ke arah pintu.
Di hadapan pintu, seorang remaja yang kelihatan sedikit kusut dan luka di sana-sini - bagaikan baru sahaja lepas bergaduh - berdiri tegak.
"Pakcik ni, boleh tolong cari barang hilang, kan?" Remaja itu bertanya dengan sopan.
Lelaki itu bungkam. Segaris senyum nipis terlakar di wajahnya.
"Ya, pakcik boleh tolong carikan barang hilang. Mari masuk."
Remaja itu mengangguk lalu melangkah masuk ke dalam rumah itu. Pintu itu kemudian ditutup rapat. Suasana di dalamnya samar, hanya diterangi deretan lilin kuning yang disusun di setiap sudut rumah.
Dengan tenang lelaki itu duduk di hadapan dulang kecil berisi kemenyan dan sebekas air.
"Anak nak cari apa? Makin mahal apa yang dicari, makin tinggi nilai pengerasnya." Lelaki itu mengurut dagunya sambil senyum.
"Em... Bukan barang, sebenarnya. Tapi orang."
"Oh? Orang yang bagaimana itu?"
"Hm... Ada orang tuduh saya curi laptop."
Dahi lelaki itu berkerut.
"Jadi, anak ni mahu tahu siapa yang curi laptop itu?"
Remaja itu menggeleng. "Tak payah susah-susah, pakcik. Pencuri tu dah kantoi. Siap kena bedal cukup-cukup depan tuan punya laptop. Yang sedang dicari pula, bomoh yang kata saya yang curi laptop tu."
Sendi jari-jemari remaja itu diletup-letupkan di hadapan lelaki itu, yang terus berdiri apabila menyedari apa sebenarnya tujuan remaja itu.
"Bomoh tu... Pakcik kan? Pakcik yang bersubahat dengan pencuri tu, kan?" Remaja itu senyum kejam.
Belum sempat lelaki itu angkat langkah seribu, sebiji penumbuk melayang tepat ke arah wajahnya.
(...)
Tali pinggang keledar dipakai usai pintu kereta dikunci. Kunci kereta dimasukkan ke dalam slot lalu dipulas. Anehnya tiada apa-apa yang berlaku.
"Eh? Kenapa ni?"
Puan Ariana mencuba sekali lagi untuk menggerakkan kereta, namun gagal.
"Rosak?"
Puan Ariana terus menanggalkan tali pinggang keledar lalu keluar kereta untuk memeriksa bahagian enjin. Buntu mindanya kerana keretanya itu tiba-tiba tidak bergerak, padahal masa datang kerja tadi, elok saja.
"Ariana?"
Puan Ariana menoleh ke arah suara itu. Seorang lelaki berdiri di sebelahnya.
"Oh, awak rupanya, Bakri."
En. Bakri, pengurus bahagian HR di syarikat sama dengan Puan Ariana berkerja, terus melemparkan senyuman mesra. "Kenapa ni? Kereta rosak ke?"
"Agaknya. Tiba-tiba tak boleh bergerak."
"Hm... Boleh ke tepi? Biar saya tolong check."
Puan Ariana bergerak ke sisi kereta, memberi ruang. En. Bakri pula meneliti bahagian dalam enjin, memeriksa setiap sambungan dan wayar, lalu menggeleng perlahan.
YOU ARE READING
Trance
Roman pour AdolescentsAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...