Cuaca panas terik. Sudah pasang kipas pada kelajuan maksimum pun masih terasa bahang. Tinggal 10 minit lagi sebelum waktu pulang. Guru yang sepatutnya mengajar sekarang pula ambil cuti sakit, jadi semua pelajar di dalam kelas hanya buat kerja sendiri.
"Panas betul hari ni," keluh Salleh sambil mengipas badan menggunakan fail yang dibawa. Tali leher dilonggarkan sedikit.
"Harapnya panas sampai petanglah," kata Andi pula. "Petang ni kan dah mula latihan rumah sukan."
Salleh berhenti mengipas, sedikit terkejut. "Eh? Hari ni ke?"
Andi terus topang dagu. "Ya. Hari ni. Mula-mula rumah sukan kita je, tiga minggu kemudian dengan rumah Beta sampailah Sukantara. Jadual tu di belakang surat, surat awak di mana?"
"Ada je la. Di rumah." Salleh terus muncung.
Andi terus sengih.
(...)
"Andi, jumpa lagi petang nanti! Assalamualaikum!" Salleh yang berdiri di sebelah pondok jaga, angkat tangan kanannya setinggi boleh ke arah Andi yang menuntun basikalnya ke arah pintu pagar.
Andi tergelak kecil sambil mengangguk laju. "Okey! Waalaikumussalam."
Salleh terus berjalan ke arah kereta yang dipandu ibunya yang sedang menunggu di luar sekolah. Andi pula terus menunggang basikal menuju ke rumah. Dibiar saja angin menampar lembut jasadnya, membiar cuaca yang kini sudah kurang terik menyejat peluhnya.
Kayuhan basikal terhenti sebaik sahaja Andi nampak sebuah kereta terparkir di pintu pagar rumah. Kereta yang cukup dikenalinya.
"Ibu?"
Puan Ariana keluar dari perut kereta. "Eh, baru balik?"
Andi sengih seraya turun dari basikalnya. "Ya, Ibu. Kejap lagi nak ke sekolah balik, ada latihan rumah sukan. Kenapa Ibu balik awal pula?"
"Ibu nak ke klinik kejap lagi. Balik pun sebab Ibu dah belikan nasi untuk makan tengah hari," kata Puan Ariana sambil membuka kunci gril pintu. "Andi boleh tolong ambilkan? Di kerusi sebelah pemandu saja."
"Boleh je. Kejap Andi letak basikal dulu."
(...)
Usai mandi, tukar pakaian, solat dan makan tengah hari bersama ibunya, Andi terus keluar rumah menuju ke arah basikalnya. Puan Ariana keluar seketika kemudian, juga sudah bersiap. Dahinya berkerut melihat anak tunggalnya bertinggung di sebelah basikal.
"Kenapa tak gerak ke sekolah lagi, Andi?"
Andi toleh seketika ke arah Puan Ariana. "Rantai basikal ni. Tiba-tiba pula tertanggal," katanya sedikit kesal. Tumpuan kembali diberikan ke arah rantai basikal - yang kali ini berdegil tidak mahu masuk ke dalam gear.
"Macam inilah. Ibu hantarkan. Tapi balik nanti, jalan kaki je la. Boleh?"
Andi diam sebentar, menimbang cadangan itu. Dia kemudian angguk sekali lalu bangun, berjalan ke arah kepala paip tidak jauh dari situ. Tangan yang kotor dek memegang rantai basikal itu dicuci bersih.
(...)
Jarak ke sekolah dari rumah tidaklah jauh mana pun. Tak sampai 2 kilometer. Namun ada tiga lampu isyarat sepanjang jalan ke sana. Maklumlah, jalan berhadapan sekolah itu jalan utama.
Walaupun sudah ada lampu isyarat yang jarang rosak dan juga mesra pejalan kaki, masih wujud manusia yang seakan-akan tidak pernah belajar peraturan jalan raya sepanjang hidupnya.
Lampu isyarat simpang kedua itu bertukar dari merah ke hijau. Puan Ariana menekan pedal minyak dengan perlahan. Namun baru sahaja kereta bergerak sedikit dari garisan putih simpang...
"Eh, Ibu!" Andi terjerit sedikit.
Sebuah kereta Mitsubishi Pajero di simpang kiri - yang sepatutnya sudah merah - tiba-tiba sahaja bergerak laju, sebelum terhenti di tengah-tengah simpang. Hampir saja kereta itu merempuh kereta Puan Ariana, jika Puan Ariana sendiri tidak menekan brek mengejut dek jeritan Andi tadi.
Disebabkan brek mengejut itu juga, belakang kepala Andi terhentak kuat pada kerusi...
"Ergh!" Malik terjaga, terus pegang belakang kepala yang terasa perit. Matanya melilau seketika untuk memahami situasi sekarang, sebelum merenung tajam ke arah pemilik kereta Pajero yang tiba-tiba keluar dari kereta dan mula memaki hamun. Langsung mengabaikan lampu isyarat yang terang-terang menunjukkan pemandu Pajero itu yang bersalah, kereta lain yang mahu lalu dan orang-orang di tepi jalan yang sedang merakam reaksi lelaki itu.
"Eh sial, kau yang langgar lampu merah," gumam Malik perlahan, namun keras. Tangannya mencapai buckle tali pinggang keledar, mahu membukanya, sebelum tangannya ditahan seseorang.
Laju saja dia pandang orang yang menahannya itu. Riak bengis tadi terus berubah dek melihat wajah Puan Ariana yang kekal tenang.
"Andi, sabar." Ringkas saja kata-kata Puan Ariana, namun cukup untuk mematikan niat Malik mahu keluar dari kereta dan menghadiahkan sedas tumbukan kepada pemandu kereta Pajero yang biadap itu.
Dua beranak itu kemudian hanya memerhatikan sahaja lelaki itu memaki hamun berterusan ke arah Puan Ariana sebelum masuk ke dalam kereta dan memandu pergi. Puan Ariana hanya senyum sebelum meneruskan pemanduan yang tergendala. Malik pula keliru dengam reaksi ibunya tadi.
(...)
Kereta yang dipandu Puan Ariana akhirnya berhenti hanya beberapa meter dari pintu pagar utama sekolah.
"Okey. Dah sampai dah," kata Puan Ariana sambil memandang ke arah anaknya itu.
Malik pula masih merenung Puan Ariana yang masih kekal senyum sejak insiden dengan pemandu Pajero tadi. Rasa hairan dengan tindakan ibunya itu masih berlegar di mindanya.
"Kenapa pandang Ibu macam tu?" Puan Arian terus bertanya. Malik terus tunduk seketika, seakan menyusun kata untuk soalannya.
"Kenapa Ibu biar je orang tu?"
"Orang tu?"
"Orang yang maki-maki kita tengah jalan tu la," jelas Malik. "Dahlah dia yang salah. Dia yang langgar lampu merah. Minta maaf pada kita pun tak. Kalau Ibu tak tekan brek tadi..." Ketara sungguh geram yang ditahan.
Puan Ariana angguk perlahan mendengar kata-kata Malik itu. "Hm. Macam mana nak cakap ya..."
Malik jungkit sebelah kening, menunggu jawapan.
"Beginilah. Tak semua kemarahan perlu dilawan dengan kemarahan juga. Ada masanya ia perlu dibiar saja supaya cepat reda."
Melihat riak wajah Malik berubah keliru, Puan Ariana tertawa kecil.
"Kalau Andi keluar dan pukul orang tu tengah-tengah jalan, lepas tu polis datang, agak-agak dapat tak Andi sampai sekolah dan Ibu ke appointment klinik sekarang?"
Malik berfikir sejenak, kemudian dia menggeleng.
"Kalau nak marah, pastikan marah tu berbaloi dilepaskan. Sebab marah ni macam api, boleh merosakkan diri kalau hilang kawalan. Lagipun kalau kamu pukul dia, kiranya kamu dah 'terambil' rasa marah dia juga. Tak elok tu," tambah Puan Ariana lagi.
"Terambil rasa?"
Puan Ariana angguk. "Tak berbaloi kita nak marah sebab orang marah kita, kalau situasinya macam tadi. Sebab kita dah tahu siapa salah di situ. Kalau kita marah balik, lepas tu dia pula cedera, kita pun kena akibatnya juga."
Malik angguk perlahan. "Ibu, janji ya pergi balai polis buat report."
"Ya, Ibu janji. Lagipun dalam dashcam ni ada je rekod." Jari Puan Ariana menyentuh cermin pandang belakang, ada sebuah kotak kecil di sisi cermin itu. "Dah. Pergilah masuk sekolah. Kata ada latihan rumah sukan, kan?"
Eh, sekarang ke? Malik diam seketika, kemudian senyum. Dia bersalaman dengan Puan Ariana lalu mencium pipinya. Puan Ariana pula terus tertawa kecil lalu menggosok lembut kepala anaknya itu.
Seorang pelajar lelaki yang berada di pintu pagar sekolah itu tiba-tiba saja kaku, matanya merenung gelagat dua beranak di dalam kereta itu...
YOU ARE READING
Trance
Ficção AdolescenteAndi Shariman, seorang pelajar yang aneh sikapnya di SMK Taman Baiduri. Disebabkan itu, dia dipulaukan rakan sebayanya. Rahmat Sallehudeen baru sahaja berpindah ke sana. Sejak hari pertama, dia sering memerhatikan sahaja Andi yang duduk di meja bers...