Bab 39

226 22 3
                                    

Motosikal yang ditunggang Mika itu berhenti di simpang menuju ke arah deretan rumah dua tingkat. Gadis yang dikejar lelaki misteri itu terus turun dari boncengannya.

"Terima kasih, bang."

Mika menggangguk perlahan.

"Adik pasti ke tak nak buat report polis ni?"

Gadis itu hanya diam. Mika pula mengeluh.

"Abang rasa, adik kena buat jugalah. Manalah tahu dia kacau adik lagi, kan."

Gadis itu menggeleng. "Saya kena cepat ni. Nantilah saya pergi balai."

Mika hanya membisu. Perasaannya bercampur baur. Dia kemudian hela nafas lemah.

"Tak apalah kalau macam tu. Abang pun dah lambat ni. Jaga diri elok-elok. Kalau boleh, jangan keluar seorang diri, ya."

Gadis itu hanya mengangguk seraya Mika menunggang motosikalnya kembali ke tempat kerjanya. Dia pula berjalan laju ke rumahnya, pakaiannya yang nampak tidak terurus itu dikemaskan.

"Aliya? Lambatnya balik?"

Langkah gadis itu terhenti. Sedikit terkejut dengan sapaan itu. Dia kemudian menoleh ke arah suara yang menyapanya itu, sedang memasang mangga pintu rumah. Nampak sangat yang wanita itu akan terus keluar rumah untuk ke tempat kerjanya.

Dengan segera, dia senyum. Berpura-pura, menyembunyikan resahnya dari manusia itu.

"Er... Ya, Mak. Maaflah, Aliya lambat sampai rumah."

Ibu Aliya menggeleng lemah. "Mak nak pergi kerja ni. Ingat nak kunci pintu tadi, lambat sangat balik." Kunci mangga pintu dibuka semula dan disangkut di tepi gril pintu. Langsung dibiarkan kunci bergantungan di bawah mangga itu. "Kalau nak makan, mak dah siapkan lauk di dapur."

Aliya hanya mengangguk. Ibu Aliya pula kerut dahi apabila menyedari sesuatu yang tidak kena pada anaknya itu.

"Kenapa macam kotor je baju kamu ni?"

Aliya sedikit tergamam. Dia terlupa bahawa ibunya itu bekerja sebagai tukang jahit, di sebuah kedai yang terletak di tingkat atas medan selera berhampiran rumahnya. Maka, tidak hairanlah jika dia perasan ada sesuatu yang tidak kena pada pakaiannya.

"Er... Aliya jatuh tadi. A... Ada anjing kejar."

"Anjing kejar?"

Aliya angguk laju, mengiyakan. Jauh di sudut hati, dia rasa bersalah kerana menipu. Pada masa yang sama, dia tidak mahu ibunya risau akan keadaannya.

"Tak ada luka? Nak ibu bawa ke klinik?"

Aliya menggeleng. "Tak apa, Mak. Mak tak perlulah risau. Aliya baik-baik saja ni."

Ibu Aliya mengeluh lemah. Dia faham sangat perangai anaknya nan seorang itu, jika ada masalah, mahu juga diselesaikan sendiri.

"Dah. Pergi masuk rumah, mandi. Bersihkan diri tu. Lepas tu, tolong kemas apa yang patut, ya."

"Baiklah, Mak."

Wanita itu hanya mengangguk lalu menghampiri Aliya. Aliya bersalaman dengan ibunya lalu bergegas masuk ke dalam rumah. Ibu Aliya hanya menggeleng lalu menutup pintu pagar rumahnya.

"Aliya ni... Laju betul. Dahlah abahnya ni, malam nanti baru sampai rumah."

Langkahnya terus diatur menuju ke arah medan selera, yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya itu.

(...)

Kereta yang dipandu Puan Ariana laju membelah jalan raya. Sejak keluar dari kawasan menunggu betul-betul di luar Unit Rawatan Rapi - di mana Puan Ariana berjumpa seorang wanita di situ - hingga kini, Puan Ariana terus senyap.

Mereka berdua tidak dapat masuk ke dalam wad disebabkan waktu melawat tengah hari, khas untuk wad itu, sudah tamat. Wanita yang ditemui Puan Ariana tadi - adik kepada suami kawannya itu - pula bergegas untuk ke Jabatan Forensik selepas bertemu mereka.

"Ibu."

"Ya, Andi?"

Andi menghirup jus yang dibeli di kedai mini hospital, mindanya ligat menyusun kata. Dia kemudian pandang Puan Ariana.

"Budak yang masuk ICU tu, macam mana?"

Budak yang dimaksudkan Andi itu ialah anak kepada kawan Puan Ariana yang meninggal dunia itu. Nampaknya hanya dia sahaja yang terselamat dalam kemalangan itu, walaupun mengalami kecederaan parah dan kini koma. Pemandu kereta yang entah mengapa memandu melawan arus di lebuhraya dan menyebabkan kemalangan itu pula, hanya cedera ringan walaupun keretanya total loss.

Berdasarkan perbualan ibunya dengan wanita di ICU itu pula, dia mendapat tahu bahawa keluarga itu ditimpa kemalangan sewaktu dalam perjalanan pulang ke kampung. Bapa kawan Puan Ariana itu baru sahaja meninggal dunia awal pagi tadi. Sekelip mata sahaja budak itu menjadi yatim piatu.

"JKM ambil alih penjagaan, mungkin," kata Puan Ariana.

"Kakak yang Ibu jumpa tadi tu, mak saudara dia, kan? Dia tak boleh jaga ke?"

Lama Puan Ariana diam. Berfikir.

"Hm... Tengok keadaan juga, Andi. Kalau waris yang sedia ada tak mampu nak jaga, budak tu akan ditempatkan di rumah anak yatim. Lagipun dia masih belajar di universiti. Dah masuk tahun akhir pun."

"Atuk dengan nenek dia yang lain? Pakcik makcik dia?"

"Dah meninggal. Jadi, kakak tadi tu sajalah satu-satunya waris yang tinggal."

Andi hanya mengangguk perlahan.

(...)

Selepas benar-benar pasti pintu sudah dikunci, Aliya terus masuk ke dalam bilik mandi yang bersambung dengan bilik tidurnya. Pancuran air terus dipasang. Aliya hanya berdiri di bawah pancuran air itu, langsung tidak menanggalkan apa-apa yang tersarung di badan, kecuali tudungnya.

"Macam mana boleh jadi macam ni?" Aliya menggumam perlahan, tubuhnya menggeletar kuat apabila mengenangkan segala apa yang telah terjadi pada dirinya sebelum lelaki pekerja kedai bunga itu tiba-tiba muncul menyelamatkan dia. Dingin air pancuran itu langsung tidak membersihkan fikirannya yang kini semakin serabut.

Bagaimana entah boleh jadi begini pula. Padahal pada awalnya semuanya normal saja.

Selepas agak lama berdiri di bawah pancuran air itu, dia menutup pili dan keluar dari bilik mandi. Pakaian yang kini basah lencun ditanggalkan dengan segera dan terus dicampak masuk ke dalam bakul pakaian di tepi pintu. Perasaannya kini bercampur baur. Keliru, marah malu, semuanya ada.

Baju kelawar dari dalam almari dibawa keluar. Air mata Aliya mengalir deras di kala pakaian dikenakan pada tubuhnya.

"Tidur sekejaplah kalau macam ni..."

(...)

Seorang lelaki serba hitam siap bertopeng itu melangkah masuk ke dalam sebuah rumah tinggal dua tingkat tidak jauh dari deretan rumah kedai tadi. Kawasan sekitarnya dipenuhi semak-samun, lalang dan belukar tumbuh meninggi hingga hampir menyembunyikan rumah itu. Namun, struktur bangunannya masih utuh walaupun banyak tingkap sudah pecah dan pintu masuk utama sudah tiada.

Langkahnya diatur menuju ke sebuah bilik di tingkat atas - bilik itu sahaja yang keadaannya masih boleh dihuni orang, siap ada elektrik dan air lagi, melalui sambungan curi dari paip dan tiang elektrik berhampiran. Topeng terus ditanggalkan sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam. Pintu kemudian ditutup dan dikunci.

Dia terus berjalan ke arah longgokan kotak yang terhampar di tepi bilik, disusun sebagai pengganti tilam. Lantas dia duduk di atasnya.

"Ah~ Boleh pula ada penyelamat ya? Nasib baik betul budak tu."

Lelaki itu sengih sendiri. Tangannya pula mengeluarkan telefon bimbit dari saku seluarnya.

"Tak apa, tak apa. Ni pun dah cukup."

Galeri telefon bimbitnya dibuka. Senyum sinis menghiasi wajahnya seraya jarinya bergerak-gerak di atas skrin.

TranceTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang