Bab 19

280 35 17
                                    

"Sini! Pass sini!"

"Woi! Jaga sana!"

Bola berwarna hitam putih itu disepak, bergolek-golek, melambung-lambung, di tengah-tengah padang itu. Sekarang masa Pendidikan Jasmani, dan nampaknya Cikgu Hisham tiada idea mahu ajar apa. Sudahnya disuruh main bola sepak -sukan tipikal budak lelaki. Sekarang ini Cikgu Hisham tiada di padang. Dia ke bilik guru sekejap untuk mengambil sesuatu.

Andi hanya duduk bersandar di dinding bangunan blok sukan di tepi padang, bersama-sama beberapa orang pelajar. Disebabkan luka di perutnya itu, Cikgu Hisham tidak benarkan dia untuk turut sama bermain. Matanya ralit melihat rakan sekelasnya menendang bola itu, menentang pasukan dari kelas bersebelahan - yang kini mendahului dengan tiga mata dalam masa kurang 30 minit.

Ah, memanglah. Pelajar kelas 2 Bestari. Sebahagian dari mereka pernah mewakili sekolah ke perlawanan bola sepak peringkat negeri bagi kategori B15. Bukan calang-calang orang kalau begitu. Kelas 2 Amanah tak mampu untuk kalahkan mereka.

"Andi!"

Salleh menapak ke tepi padang tempat Andi duduk bersila di atas rumput itu. Peluh yang merenik di dahi dikesat dengan lengan bajunya.

"Tak bosan ke tak dapat join?"

Andi mencebik apabila mendengar pertanyaan itu.

"Kejapnya main," kata Andi kemudiannya.

"Nak pergi tandas la. Tak adanya nak main bola kalau rasa nak terkencing."

"Okey."

Salleh terus berjalan meninggalkan Andi, ke tandas yang terletak tidak jauh dari situ.

"Seronok tak main di padang ya?"

Andi berpaling ke arah tuan empunya suara yang berada di sebelahnya. Dia kenal sangat budak itu. Zakwan, pelajar kelas 2 Bestari, satu-satunya pelajar lelaki dari kelas itu yang dilarang menyertai aktiviti sukan.

"Kenapa?"

"Teringin."

Mereka berdua sama-sama merenung ke arah padang.

"Tak silap saya, awak ada masalah kesihatan, kan. Asma, ya?"

"Tak. Sakit jantung."

"Jantung... Berlubang?"

"Tak. HCM."

"HCM?"

Zakwan mengeluh. "Kalau saya bersukan, saya mungkin akan mati."

Andi bungkam.

"Sebab tu saya tertanya-tanya, seronok tak main di padang? Sebab saya tak dapat langsung peluang itu."

Andi topang dagu, berfikir sejenak. "Seronok tu... Bergantung pada diri sendiri sebenarnya."

"Hm?" Zakwan terus pandang Andi. "Maksud kamu?"

"Ada orang seronok kalau duduk di perpustakaan. Ada orang seronok kalau dapat makan. Ada juga yang seronok kalau main di padang. Orang lain, lain perkara yang buat dia rasa seronok."

"Hm... Okey. Faham. Tapi, tak jawab soalan."

"Er... Okey..."

Mereka sama-sama diam, sambung merenung ke arah padang. Melihat pasukan 2 Amanah cuba menjaringkan gol. Entah mengapa tiba-tiba Andi terasa perutnya memulas.

"Er... Zakwan, kalau Cikgu Hisham tanya nanti, cakap saya ke tandas ya?"

"Okey."

Andi bangun dari duduknya, membersihkan debu yang menempel di seluar trek hitam yang dipakainya, lalu mula menapak ke tandas. Tiba-tiba kedengaran suara Zakwan.

TranceWhere stories live. Discover now