Bab 6

414 49 0
                                    

"Tahan sikit ya, Salleh," kata Andi sambil menolak sedikit badan Salleh ke depan, mendongakkan kepala Salleh lalu memicit hidungnya dengan kuat. Sebelah tangannya lagi mengelap darah yang mengalir keluar dari hidung dengan tisu. Puan Ariana, ibu Andi, keluar dari dapur membawa kain bersih dan sebekas kecil ais dari peti sejuk.

Mujur juga rumah Andi terletak tidak jauh dari padang bola itu.

"Darah tu mengalir lagikah?" Puan Ariana bertanya. Andi melepaskan hidung Salleh seketika, mengelap darah di situ dan memicitnya semula.

"Kejap lagi berhentilah ni, ibu. Ibu jangan risau. Ibu sambunglah kerja ibu di dapur. Andi boleh uruskan yang ini," kata Andi.

"Betul?"

Andi mengangguk yakin. Puan Ariana mengangguk faham sebelum berjalan ke dapur, meninggalkan Andi dan Salleh di ruang tamu.

Selepas sepuluh minit, Andi berhenti memicit hidung Salleh. Darah tidak lagi mengalir keluar. Ais hancur dibungkus dalam kain bersih yang direndam dalam air berais sebelum diletakkan dengan berhati-hati di atas batang hidung Salleh.

"Boleh bernafas tak?" Andi bertanya, risau. Salleh mengangguk perlahan.

"Rasa pening? Loya?" Andi bertanya lagi. Salleh menggeleng.

"Saya nak pergi buang tisu-tisu ni," kata Andi, mengumpulkan tisu-tisu yang tersisa darah Salleh di atas meja. "Kalau ada apa-apa, panggil je saya."

Salleh mengangguk. Andi terus berjalan ke dapur, meninggalkan Salleh bersendirian di ruang tamu rumah teres kos rendah itu.

Salleh menyandarkan badannya ke kerusi, matanya melilau melihat sekeliling ruang tamu. Ringkas sahaja susun atur perabotnya. Cuma ada kerusi kayu panjang tempat dia sedang duduk sekarang ini, meja kopi, kabinet yang diletakkan televisyen jenis CRT di atasnya, dan sekeping foto tergantung di dinding - foto Andi dan ibunya, berdua. Cat di dinding juga sudah kusam.

Andi muncul dari dapur seketika kemudian. Kepalanya yang tidak gatal digaru. "Maaflah kalau awak tak selesa, Salleh," katanya, sedikit malu dengan keadaan rumahnya.

"Takpe," balas Salleh, membetulkan kedudukan kain sejuk yang hampir jatuh dari hidungnya. "Maaflah, nak tanya. Bapa awak mana?"

Andi tunduk seketika, kemudian mengangkat kepalanya sambil senyum tawar.

"Dia dah meninggal," kata Andi perlahan, "semasa saya kecil lagi."

"Alamak. Saya minta maaf, saya tak patut tanya," kata Salleh, mula diselubungi rasa bersalah. Andi menggelengkan kepalanya perlahan.

"Tak apa, Salleh. Memang normal kalau awak tanya pun," kata Andi, cuba memaniskan senyumannya yang masih tawar. Dia terus melabuhkan punggungnya di sebelah Salleh.

"Jadi sekarang ni, mak awak kerjalah ya?"

Andi mengangguk. "Cuma hujung minggu sajalah dapat merasa masakan ibu sendiri. Kalau hari biasa, selalunya ibu beli lauk kedai saja. Tak sempat nak masak pun."

Salleh membisu, terasa sedikit terpukul dengan kata-kata Andi. Jauh di sudut hati, dia rasa bersyukur. Dia masih punya Papa yang sentiasa ada di saat dia perlukan, dan dia juga dapat menikmati air tangan Mama setiap hari. Walaupun ada masanya dia tidak sependapat dengan kedua ibu bapanya itu, namun dia amat menyayangi mereka berdua. Tiada sesiapa pun yang dapat gantikan tempat mereka.

Sekejap.

Mama mesti marah sebab tepung kek yang dia pesan belum sampai lagi.

"Eh, Andi, sekarang dah pukul berapa?" Salleh bertanya.

Andi melihat ke arah jam tangannya. "Pukul 11. Tepat. Kenapa?"

"ALLAH!" Salleh terus terbangun dari kerusi. "Mama saya pesan beli barang. Mesti dia tertunggu-tunggu di rumah sekarang."

Salleh terus mengambil plastik berisi tepung kek di atas meja. Kain di hidung diletakkan di dalm bekas berisi air berais berhampirannya. Andi sekadar memerhatikan sahaja tingkah laku Salleh itu.

"Andi, saya kena balik dulu. Terima kasih ya sebab tolong hentikan darah kat hidung saya tadi," kata Salleh, kelam-kabut. "Makcik, saya nak balik dah," katanya lagi, suaranya dikuatkan sedikit.

"Baiklah. Jalan elok-elok, ya," balas Puan Ariana dari dapur. Salleh keluar dari rumah, menyarung kasutnya dan berpaling ke arah Andi yang kini berada di pintu.

"Terima kasih sekali lagi, ya. Assalamualaikum," kata Salleh, mula berlari anak untuk pulang ke rumah dengan segera.

"Waalaikumussalam," jawab Andi perlahan. Gril pintu ditutup dan dia terus menghilang dalam rumah.

(...)

"Kenapa anak Mama lebam-lebam ni?"

Puan Fauziah yang pada awalnya berang menunggu Salleh yang belum pulang ke rumah tidak jadi marah sebaik sahaja ternampak keadaan Salleh. Sebaliknya, kunci kereta diambil.

"Takpe, Mama. Sikit je ni," kata Salleh.

"Macam ni kata sikit?" Puan Fauziah menaikkan suara. "Siapa yang berani sangat buat anak Mama macam ni? Jom, kita pergi klinik."

Salleh terus memeluk Puan Fauziah secara tiba-tiba. Terkejut sedikit Puan Fauziah dibuatnya.

"Mama, Salleh sayang Mama. Terima kasih sebab masak tiap-tiap hari."

"Eh, kenapa? Memang tanggungjawab Mama pun pastikan anak-anak Mama cukup makan minum," kata Puan Fauziah, membelai lembut rambut Salleh. "Dah, mari ke klinik. Risau juga kalau ada luka dalaman."

"Yalah~" kata Salleh sambil mencebik manja. Pelukannya dilepaskan. Puan Fauziah kemudian berjalan terus ke kereta, Salleh mengikuti dari belakang.

(...)

"Tolong... Tolonglah hentikan. Kami janji takkan buat lagi..."

Kedengaran bunyi tangisan syahdu bergema di lorong yang gelap itu. Malik sekadar memandang Man yang terkulai di atas jalan tar, sambil tersenyum sinis. Bam dan Razlan, jangan ditanya apa keadaan mereka sekarang. Malik tidak sangka langsung yang dia dapat jumpa lagi tiga ekor mawas ini selepas dua hari. Masa tengah malam pula tu.

"Heh. Aku belum puas lagi la, bodoh," kata Malik sambil sebelah tangannya merentap kolar baju Man. Man yang sudah lembik itu terus berdiri dek kekuatan lengan Malik yang tidak padan langsung dengan saiz badannya. Kecil, tapi kuat lain macam.

Tangannya yang sebelah lagi menggenggam penumbuk. Senyuman sinis dilemparkan.

"Argkh!"

(...)

Beberapa hari kemudian, Salleh bertembung Andi di kedai dua ringgit berhampiran rumahnya. Usai membeli, mereka berjalan beriringan ke padang bola, sambil berbual.

"Awak tahu, awak tetamu pertama yang datang ke rumah saya yang bukan cikgu," kata Andi.

"Yakah?" Salleh sedikit terkejut. "Kawan-kawan yang lain, takkan tak pernah datang?"

Andi tertawa kecil. "Nak buat macam mana kalau mereka tak sudi." Keluhan berat dilepaskan. "Boleh dikatakan, awak kawan sekelas saya yang pertama jejakkan kaki di rumah saya."

Okey. Ini tragis. Sangat-sangat tragis.

Tiba-tiba sahaja Trio Belut muncul di hadapan mereka. Badan mereka bertiga berbalut dan bertampal-tampal dengan bandage, merata-rata. Andi dan Salleh terus berhenti melangkah, terkejut dengan kehadiran mereka bertiga. Masing-masing bersedia untuk buka langkah seribu.

Mata Man, Bam dan Razlan tertancap pada wajah Andi yang sedikit pucat.

"LARI!" Man menjerit, dan Trio Belut terus melarikan diri dengan dahsyatnya bagaikan terserempak hantu di malam hari. Andi terpinga-pinga melihat situasi di hadapannya. Salleh pula ternganga, tidak dapat menghadam apa yang sedang berlaku.

"Kenapa tu?" Andi bertanya, keliru.

"Entah." Salleh angkat bahu berkali-kali. Sesekali dia memandang ke arah Andi. "Awak ada buat apa-apa tak pada mereka?"

Andi memegang kepalanya. Dahinya berkerut, cuba mengingati sesuatu. Seketika kemudian, dia menghela nafas dan menggeleng perlahan.

"Tak ada rasanya..."

Salleh, walaupun meragui kata-kata Andi itu, hanya mengangguk perlahan mendengar jawapan yang keluar dari mulut rakan sekelasnya itu. 

TranceWhere stories live. Discover now