Bab 34

203 32 6
                                    

"Happy birthday to you~🎵"

Bunyi gitar dipetik mengiringi nyanyian lagu hari lahir. Seorang kanak-kanak yang duduk di salah satu kerusi, betul-betul di hadapan kek yang dipasang lilin, terus senyum lebar sambil bertepuk tangan. Namun, sebelah tangannya masih berbalut bandage dengan hujung branula bertutup timbul di situ.

"Happy birthday, Diya!"

Diya tiup api lilin sehingga padam, lalu ketawa sambil memekup mulutnya. Rasa malunya masih bersisa. Sesekali dia memeluk ibunya yang duduk di sebelahnya, mukanya disembamkan pada badan guru kelas mereka itu.

"Diya, cakap apa pada abang-abang dan kakak-kakak ni?" Cikgu Zaidah bertanya anaknya itu.

"Aaa..." Diya pandang mereka yang hadir. "Tima kacih." Diya terus sembamkan semula wajahnya pada sisi guru itu.

"Alahai, malu ya?" Salleh - yang menyanyikan lagu hari lahir sambil memetik gitar tadi - menyakat Diya seraya meletakkan gitarnya di sebelah kerusi. Mereka yang lain pula ketawa.

Bernas sungguh idea Muthu ini. Gabung sekali jamuan akhir tahun kelas dan sambutan hari lahir anak guru kelas mereka pada masa yang sama. Kebetulan pula Diya dan Cikgu Zaidah sama-sama dibenarkan keluar wad pada hari ini, cuma Diya kena datang semula ke hospital selepas tiga hari untuk pemeriksaan.

Malah, sewaktu mereka sampai di KFC beberapa jam awal untuk persiapan, ada beberapa orang pekerja memasang banner 'happy birthday' pada tiang-tiang di satu sudut restoran itu - sudut di mana jamuan diadakan. Mereka cuma tambahkan lagi belon pada tiang, disebabkan belon yang disediakan pihak restoran agak sedikit.

Disebabkan kek dibeli sendiri dan bukan dari pakej hari lahir milik restoran, pihak pengurusan membenarkan kek itu disimpan di peti sejuk mereka, sementara menunggu Cikgu Zaidah dan keluarganya datang ke situ dari hospital.

(...)

Hampir semua orang bersurai selepas majlis. Yang tinggal hanya beberapa orang pelajar kelas 2 Amanah, membantu pekerja restoran mengemas sudut restoran tempat mereka meraikan hari lahir anak cikgu merangkap jamuan akhir tahun kelas itu.

"Terima kasihlah, ya. Senyum je Diya sebab dapat sambut hari lahir dia. Mujur juga hospital bagi Diya keluar wad," kata Cikgu Zaidah di ruang parkir restoran itu. Diya - yang masih lagi malu-malu - memeluk erat pinggang ibunya sambil mencuri pandang ke arah pelajar-pelajar ibunya itu.

Shu Fen terus senyum.

"Ini semua idea Muthu, cikgu. Cikgu patut berterima kasih pada dia," kata Shu Fen, sambil memandang Muthu yang tersengih-sengih berhampirannya.

"Dey, semua ni tak jadi kalau saya je buat seorang la."

Shu Fen terus sengih. "Ya, ya. Ini hasil usaha kita. Dan idea awak, walaupun keluar salah timing."

Muthu terus muncung mulut. Cikgu Zaidah tertawa kecil melihat gelagat dua orang anak muridnya itu.

"Cikgu balik dulu, ya. Terima kasih sekali lagi," kata Cikgu Zaidah seraya membuka pintu keretanya.

"Sama-sama," kata Shu Fen dan Muthu serentak. Cikgu Zaidah mengangguk lalu masuk ke dalam kereta bersama anaknya.

Keluar sahaja kereta yang dipandu suami Cikgu Zaidah dari simpang keluar, Salleh menepuk bahu Muthu.

"Eh? Kenapa?"

"Korang berdua ada nampak Andi tak? Dia tiba-tiba hilang masa kemas tadi."

Muthu dan Shu Fen saling berpandangan.

TranceWhere stories live. Discover now