Bab 56

260 28 22
                                    

Lebih seminggu sesi persekolahan berlalu dengan lancar, walaupun Salleh agak kekok untuk jalankan tugas sebagai ketua kelas. Mujur ada Shu Fen yang memberi tunjuk ajar.

Nampaknya tugas ketua kelas di SMK Taman Baiduri bukan sekadar beri ucap selamat setiap kali guru keluar masuk kelas. Dia seolah-olah menjadi pembantu kepada guru kelas.

Setiap pagi sebelum waktu kelas bermula, dia memeriksa kedatangan rakan sekelasnya. Ketidakhadiran walau seorang pelajar pada waktu itu akan dimaklumkan kepada Cikgu Kamarul pada masa itu juga. Dia juga diberitahu Shu Fen supaya menyediakan buku rekod khas salah laku, untuk mencatat segala masalah disiplin dalam kelas - kerana Cikgu Kamarul dan Cikgu Param, guru disiplin, akan memeriksa buku itu selang seminggu. Kawan sekelas buat kecoh dalam kelas? Heret dia jumpa Cikgu Param di bilik disiplin.

Itu tidak bermakna penolong ketua kelas tidak buat apa-apa. Aliya - yang dilantik menjadi penolong ketua kelas - diberikan tugas memastikan kebersihan dan kekemasan kelas setiap hari. Setiap minggu, dia harus merekodkan keadaan perabot kelas, dan rekod itu akan diperiksa Cikgu Kamarul. Malah, kunci pintu dan mangga palang kelas pun, dia yang pegang. Dan, seperti biasa, dia akan ambil alih tugas Salleh jika Salleh tidak hadir.

Aliya juga berbincang dengan rakan sekelas untuk menceriakan lagi kelas yang nampak agak lama itu, dengan warna dinding yang sudah kusam dan kesan tapak kasut melekat merata-rata. Ada juga yang cadangkan untuk tukarkan warna dinding dari warna kuning cair kepada hijau rumput. Mujur Cikgu Kamarul, yang turut serta dalam perbincangan itu, menolak idea itu.

"Mana boleh tukar warna dinding kelas?" Cikgu Kamarul menegur.

"Ala. Bolehlah," kata Muthu. "Barulah ceria kelas ni. Taklah hadap dinding warna kuning cair je."

Cikgu Kamarul mengeluh. "Kalau begitu, pergi tanya Puan Mariani. Minta izin dia. Berani tak?"

Seluruh kelas senyap seketika.

"Cikgu tolonglah tanyakan." Aliya merayu.

"Tak mahu. Kamu yang beriya nak tukar warna dinding kelas, kan?"

Masing-masing terus menikus. Puan Mariani, pengetua sekolah, jenis orang yang agak susah untuk dibawa berunding jika tiada alasan yang cukup kukuh. Kalau A, A sahaja. Tiada opsyen B atau C. Kalau dia kata tidak boleh tukar warna dinding, maknanya sampai pengetua bersaralah warna dinding itu tidak bertukar. Warna dinding saja pun, hal remeh.

(...)

Sekeping kad manila berbentuk bintang sebesar tapak tangan dan berwarna biru diambil, lalu perkataan 'Salleh - 15 Sept.' ditulis. Aliya sempat lagi meneliti senarai nama di dalam buku notanya itu. Ada beberapa nama yang ruang tarikh lahir masih belum berisi.

Kepingan kad manila itu dikemas, lalu dia bangun dari kerusinya. Langkahnya diatur ke arah Andi yang baru sahaja kembali dari tandas.

"Andi, bila birthday awak, ya?"

Andi pandang Aliya sambil buat muka pelik.

"Bukan awak je la saya tanya. Satu kelas saya tanya ni," jelas Aliya sambil menunjukkan beberapa keping kad manila berwarna biru cair dan merah jambu yang dibawa bersama. Sebahagiannya sudah tertulis nama dan tarikh lahir. "Ni nak tampal atas bingkai papan hitam tu, buat hiasan. Kan bingkai tu nampak usang, jadi hiaslah dengan benda ni."

"Oh, okey... Saya, 14 Februari," kata Andi kemudiannya. Aliya mengangguk sambil menulis sesuatu di dalam buku notanya.

"Ni betul, kan. Tak gurau, kan?"

Andi mendecit. "Nak tengok IC dulu ke baru nak percaya?"

Aliya hanya sengih lalu berjalan ke arah rakan sekelas yang lain, untuk bertanya tarikh lahir. Salleh pula terus senyum lucu.

Andi menyedari senyuman Salleh itu. "Apa yang kelakarnya?"

"Tak. Tak expect pula yang birthday awak..."

"Hm. Tahu. Hari kekasih, kan?" Andi terus topang dagu. "Ada je orang ingat saya dapat hadiah sempena hari kekasih. Padahal hadiah birthday je pun."

"Ha-ah. Nampaknya kena sambut awal la kalau tak nak ada salah faham," kata Salleh lagi sambil sengih. "Tak pun, lepas 14 haribulan."

Andi tertawa kecil mendengar kata-kata Salleh itu. "Ala, kalau tak ada orang ingat birthday saya pun, tak apa sebenarnya. Saya tak kisah pun," kata Andi selamba. Sengih Salleh terus mati.

"Ibu selalu sibuk cari duit untuk sara kami. Gaji Ibu pun cukup-cukup saja untuk sewa rumah, bayar bil dan makan minum. Jadi, kalau sambut birthday dengan makan nasi goreng di warung pun dah lebih dari cukup," tambah Andi lagi.

Lupa pula Andi ni bukan orang senang, getus hati Salleh.

(...)

Seorang pelajar lelaki tingkatan 5 menyerahkan sehelai surat kepada Shu Fen di tangga bersebelahan Bilik Kaunseling. "Surat ni terus tampal di papan kenyataan kelas, ya. Esok akan ada edisi edaran pelajar pula."

Shu Fen mengangguk. "Terima kasih, Abang Amer. Abang Zaki tak datang ke hari ni?"

"Zaki?" Amer kerut dahi seketika mendengar nama adik kembarnya disebut. "Dia demam selesema. Esok, kalau demamnya dah kebah, dia datanglah sekolah. Rindu dia, ya?" Sempat lagi dia menyakat.

"Eh, taklah, Abang Amer. Nak tanya dia pasal OMK je," jelas Shu Fen. "Er... Lagi satu, saya tak jadi ketua kelas tahun ni. Jadi tak perlulah bagi surat pada saya lagi."

Amer terus muncung panjang. "La. Ingatkan adik Shu Fen yang comel ni jadi ketua kelas lagi tahun ni." Sempat lagi dia membodek. Shu Fen tersipu malu lalu beredar dari situ.

"Hm. Gadis-gadis di sekolah ni memang comel-comel semuanya," gumam Amer perlahan. "Tapi, hati ni dah terpaut pada yang satu. Oh, bidadari syurgaku, di manakah dikau pergi..." Dia melutut di atas lantai koridor. Siap depakan tangan lagi.

"Oi."

Amer terus menoleh ke belakang. Cikgu Lim tercatuk di depan pintu Bilik Kaunseling, hairan melihat keadaan Amer itu.

"Er... Hai, cikgu." Dengan segera dia turunkan lengan, berdiri dan sengih malu. Cikgu Lim hanya menggeleng lemah.

"Kejap lagi ada kelas, kan. Apa kamu buat di situ?" Cikgu Lim menyoal lagi.

"Er... Praktis drama untuk Talentime, cikgu."

"Talentime bulan Julai nanti. Sekarang baru Januari."

Amer terus garu kepala yang tidak gatal. "Saya balik kelas, ya, cikgu." Dengan segera dia berlari mendaki tangga untuk ke kelas.

(...)

Salleh renung lama surat pekeliling yang ditampal Shu Fen di papan kenyataan itu. Sesekali kepalanya digaru.

Andi pula menghampiri Salleh. "Kenapa?"

"Tu."

Andi membaca apa yang tertera di atas kertas itu. "Oh, latihan sukan... Apa masalahnya?"

"Saya mana ada rumah sukan."

Andi bungkam. Lupa pula yang Salleh, secara teknikal, pelajar baru. Baju sukan pun belum beli. Mujur juga baju sukan untuk subjek pendidikan jasmani dan baju rumah sukan diasingkan.

"Alfa, Beta, Delta, Gamma... Ni rumah sukan, kan?" Salleh bertanya lagi. Andi hanya mengangguk sebagai respon.

"Kalau masuk ikut mana yang berkenan, tak boleh?" Salleh bertanya lagi.

"Tak bolehlah. Pemilihan rumah sukan adalah secara rawak. Siap ada rekod dalam sistem lagi. Rumah sukan bukan macam unit beruniform atau kelab ko-ko yang awak boleh tukar tiap-tiap tahun," jelas Andi. "Rasanya awak kena jumpa cikgu penyelaras kalau nak tahu rumah sukan awak."

"Siapa cikgu penyelaras?"

"Er..." Andi garu kepala. "Entah."

"La. Ingatkan awak tahu."

Andi hanya sengih janggal.

TranceWhere stories live. Discover now