Bab 3

519 64 3
                                    

Loceng berbunyi menandakan sesi persekolahan untuk hari itu telah berakhir. Berduyun-duyun para pelajar meninggalkan sekolah. Siapa yang tidak mahu balik makan tengah hari, bukan?

"Kamu balik ni, naik apa?" Salleh bertanya kepada Andi yang sedang mengemas mejanya. Kelas 2 Amanah kini hampir kosong. Cuma Salleh dan Andi sahaja yang tinggal.

"Naik basikal," balasnya perlahan.

"Oh. Okey. Kalau begitu, saya gerak dululah, ya. Jumpa lagi esok. Assalamualaikum," kata Salleh sebelum keluar dari kelas, meninggalkan Andi keseorangan.

"Waalaikumussalam..." Andi menggumam perlahan. Buku-buku sudah dimasukkan ke dalam beg dan dizip.

Andi terus menyandang begnya dan mula membuka langkah apabila menyedari ada orang sedang memerhatikannya di pintu kelas. Orang itu kemudian terus masuk ke kelas, diikuti dua orang rakannya.

"Aaa... Abang Man, Abang Bam, Abang Razlan... Kenapa?" Andi cuba menyembunyikan rasa takut melihat kehadiran tiga orang pelajar tingkatan 4 itu. Siapa yang tidak kenal dengan 'Trio Belut', kumpulan pembuli paling licik di sekolah ini? Hampir semua kesalahan disiplin dilakukan mereka tidak dapat dikesan oleh guru.

Man merentap kolar baju kemeja Andi, menarik Andi agar rapat dengannya. Andi terkejut dengan tindakannya itu.

"Saya... Saya ada buat salah ke?" Andi tergagap-gagap bertanya. Man memandang ke arah Bam dan Razlan, masing-masing tersenyum sinis.

"Kau memang tak ingat langsung ke apa yang kau dah buat masa rehat tadi, hah?" Man menengking terus ke telinga Andi. Berdesing telinga Andi dibuatnya.

Andi menggeleng laju. Dia memang benar-benar tidak ingat. Man mendengus geram, tidak berpuas hati dengan jawapan yang diterima. Dia mengepal penumbuknya, sedia untuk dilepaskan ke arah wajah Andi yang memejamkan matanya.

"Hei, kamu semua buat apa itu?"

Man, Bam dan Razlan berpaling ke arah pintu kelas. Kelihatan Cikgu Param bercekak pinggang, merenung tajam ke arah mereka. Salleh turut kelihatan berhampiran dengan Cikgu Param.

Man melepaskan cengkaman pada kolar kemeja Andi. Andi terus berjalan laju meninggalkan kelas. Salleh mengikuti Andi, rapat.

"Kamu bertiga ini, tidak serik-serik lagi ya? Baru rehat tadi kamu dihukum," kata Cikgu Param dengan suara yang lantang.

Seketika kemudian, tiga pembuli licik itu berjalan ke arah pejabat sekolah, Cikgu Param berada rapat di belakang mereka. Sewaktu menuruni tangga, matanya menangkap kelibat Andi dan Salleh yang berdiri di koridor. Dia membuat isyarat kepada Andi, yang menyebabkannya menggeletar sedikit apabila melihatnya.

"Siapa diorang?" Salleh bertanya selepas Cikgu Param dan tiga pembuli itu turun ke pejabat sekolah. Andi memandangnya, sedikit pelik.

"Kamu ke yang panggil Cikgu Param tadi?"

"Yalah. Saya nak ambil buku nota yang tertinggal tadi, nampak diorang nak kerjakan kamu. Tu yang saya pergi panggil cikgu. Kebetulan pula dia memang ada dekat-dekat sini," kata Salleh.

"Tu 'Trio Belut'. Geng pembuli paling licik di sekolah ni. Dan... Dia akan kerjakan kita bila dia jumpa kita nanti," kata Andi perlahan, ada tanda ketakutan dalam suaranya. "Sebab itulah mereka yang dibuli 'Trio Belut' tu tidak pernah laporkan kepada guru disiplin. Senang cerita, ini kali pertama mereka tertangkap..."

Salleh mengangguk kerisauan. "Okeylah, saya nak pergi kelas, nak ambil buku nota."

"Aaa... Pergilah," kata Andi. "Sementara pintu kelas belum kunci. Saya nak kunci pintu tu."

Salleh terus melangkah ke kelas, Andi berjalan tidak jauh darinya. Buku nota diambil, dan pintu kelas terus dikunci. Kuncinya disorok di bawah pasu bunga berhampiran pintu yang berada di tepi koridor. Selepas itu, mereka berdua sama-sama turun ke tingkat bawah.

"Salleh..."

"Ya?"

"Terima... Kasih." Andi membuat tunduk hormat seakan orang Jepun dan terus berjalan laju ke tempat letak basikal, meninggalkan Salleh yang terpinga-pinga seketika. Dia kemudian terus tersenyum sebelum berjalan ke arah pintu pagar sekolah.

(...)

Andi membuka kunci basikalnya. Dia melihat tayar basikalnya yang sudah kurang anginnya. Brek juga nampaknya sudah haus.

"Nampaknya hujung minggu ini, kena hantar kedailah jawabnya," gumamnya perlahan.

"Budak lembik penakut!"

Tiba-tiba sahaja kedengaran satu suara yang rendah dan mendatar, mengejutkan Andi. Dia menoleh ke arah kawasan sekitar tempat letak basikal itu. Tiada orang kelihatan.

"Siapa tu?" Andi memberanikan diri membalas suara itu. Tiada respon. Bulu romanya tiba-tiba meremang. Lantas dia menunggang basikalnya, terus keluar dari kawasan sekolah.

(...)

Beg tinju itu berayun-ayun setiap kali menerima tumbukan demi tumbukan padu yang dilepaskan dari seorang remaja berbaju T merah dan berseluar trek hitam. Giginya diketap, menahan geram. Sesekali dia mengesat peluhnya yang mengalir deras.

Seorang lelaki yang menjaga kaunter gym itu sekadar memerhatikan sahaja gelagat remaja itu. Sesekali dia melihat jam di dinding. Kerisauan terpamer di wajahnya.

"Malik, sudahlah tu. Patah tangan tu karang, aku tak tanggung," kata lelaki itu. Tegurannya dibalas dengan tumbukan yang semakin banyak dan laju ke arah beg tinju tersebut. Nampak sangat kata-kata lelaki itu langsung tidak dihiraukan.

"Kau sedar tak dah 10 minit kau tumbuk benda tu?" Nada lelaki itu kali ini kedengaran risau. "Lagipun, kejap lagi masuk waktu Maghrib. Mak kau tak risau ke?"

Mendengar sahaja perkataan 'Mak', Malik terus berhenti menumbuk. Nafasnya ditarik sedalam-dalamnya.

"Pukul berapa ni, Bang Latif?" Malik bertanya. Latif sekadar menunding ke arah jam di dinding. 6.50 petang. Malik mengangguk perlahan, sebelum berjalan ke arah pintu, untuk keluar dari gym itu.

"Tunggu!"

Malik berhenti melangkah. Terpamer rasa kurang senang dari riak wajahnya. Latif mengeluarkan kain pembalut dari kit pertolongan cemas di kaunter, mendekati Malik lalu memegang tangannya, memeriksa kalau-kalau ada tulang yang patah.

"Takde apa-apalah," kata Malik, menepis tangan Latif, kurang senang dengan tindakannya itu.

"Kau tumbuk benda tu dah 10 minit, kau tahu? Orang dewasa tumbuk benda tu paling lama pun 4 minit. Kau tu budak sekolah lagi. Bagi ajelah aku tengok. Entah-entah patah jari ke, terseliuh ke..."

Malik menghela nafas. Walaupun tidak suka dengan tumpuan yang diberi, dia faham kalau Latif risaukan dia. Sudahlah dia guna fasiliti gym secara haram, kalau ada perkara buruk terjadi padanya, yang teruk kena nanti, Latif seorang sahaja.

"Betullah, bang. Kalau tak puas hati, nah, tengok sangat," kata Malik sambil menunjukkan kedua belah tangannya. Cuma bengkak dan calar sahaja, tiada luka kelihatan. Jari patah, lagilah tiada. Latif terkejut seketika apabila melihatnya.

"Kau ni, superhuman ke apa?"

Malik ketawa kecil mendengar kata yang terhambur dari mulut Latif itu.

"Dahlah Bang Latif, aku balik dulu. Ada masa nanti, kita jumpa lagi," kata Malik, terus meninggalkan gym itu. Latif sekadar berdiri membatu di pintu, masih tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

TranceWhere stories live. Discover now