Bab 44

174 24 7
                                    

"Aliya!"

"Ya, mak!" Aliya yang baru selesai menyapu lantai ruang tamu terus berjalan masuk ke dapur, di mana ibunya berada.

"Boleh tolong mak belikan garam? Mak baru perasan garam dah habis."

Riak wajah Aliya kelihatan sedikit resah. Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan mesej ugutan yang diterima beberapa hari lepas.

Tetapi, tidak mungkin dia mahu menolak arahan ibunya, bukan.

Lagipun ugutan tu main-main sajalah, bukan? Tidak mungkin setan itu tahu dia berada di mana dengan tepat.

Aliya terus tarik nafas dalam-dalam. Dia kemudian mengangguk.

"Boleh, Mak. Kejap, Liya nak bersiap."

(...)

"Kak Rara. Nak aiskrim!"

Zahra, yang sedang memilih sabun cuci pinggan di kedai runcit itu - kerana jenama yang selalu digunakan sudah habis stok - menoleh ke arah adiknya, Safiya. Dia kemudian hela nafas lemah. Beza umur mereka cuma tiga tahun, namun tingkah laku adiknya itu bagai budak darjah satu.

Safiya lembam. Perkembangan inteleknya agak lambat berbanding rakan sebayanya. Jadi, dia bersekolah di sekolah pendidikan khas yang terletak di taman bersebelahan.

"Kan Kak Rara dah pesan, duduk rumah je. Tapi Pia nak ikut Kak Rara jugak." Zahra terus meletakkan sabun di dalam bakul.

"Ala. Nanti Kak Rara lupa nak beli. Selalu je lupa. Tak a-ma-nah." Safiya terus mengembungkan pipi tanda tidak puas hati. Zahra pula tertawa kecil.

"Okey, okey. Kak Rara belikan. Nak aiskrim apa? Paddle Pop Cola, nak?"

Safiya menggeleng laju. "Nak Unicornetto!"

"Adoi. Bila masa adik aku pandai demand ni?" Zahra berbisik perlahan sambil tepuk dahi. Safiya pula hanya sengih sambil buat muka innocent.

"Ha. Yalah. Kita cari barang dalam senarai ni dulu. Dah jumpa semua baru beli aiskrim. Boleh?" Zahra menunjukkan senarai barang di tangannya. Barang yang perlu dicari dalam senarai sudah ada di dalam bakul, kecuali kiub pati tomyam, gula pasir dan tepung ubi kayu.

"Boleh!" Safiya terus berlari ke arah rak rempah.

"Pia! Jangan lari-lari!" Zahra melaung, berjalan laju ke arah Safiya berada. Matanya menangkap kelibat seseorang yang baru sahaja mengambil sebungkus garam di rak itu. Sekejap-sekejap dia menoleh ke kiri dan kanannya.

"Aliya?" Zahra menegur dari belakang. Bahu Aliya terjungkit. Dengan segera dia berpusing, menghadap Zahra.

"Oh. Zahra. Hai." Aliya sengih janggal kepada rakan sekelasnya itu.

"Kenapa ni? Macam ada buat salah je?" Zahra terus bertanya.

"Tak ada apa-apalah. Semuanya okey. Saya..." Aliya melihat jam tangannya. "Saya nak cepat ni. Pergi dulu!"

Laju sahaja Aliya berjalan menuju ke arah kaunter pembayaran. Zahra pula kaku di situ. Hairan masih menguasai mindanya apabila melihat gelagat Aliya bagaikan dikejar sesuatu.

"Kak Rara!" Safiya menepuk bahu Zahra. Sempat lagi dia muncung tanda tidak puas hati.

"Aaa... Ya, Pia?"

"Jomlah cari barang." Lengan Zahra ditarik Safiya menuju ke arah rak rempah, betul-betul di sebelah rak garam itu. Zahra hanya menurut, walaupun mindanya masih ligat memikirkan keanehan sikap Aliya itu.

(...)

Malik berdiri di sebalik tiang tidak jauh dari Lin's Florist. Sesekali dia mencuri pandang ke arah kedai bunga itu.

Tujuan dia di situ, ada dua. Pertama, berkaitan lelaki yang cuba mengorat Puan Ariana dengan cara menghanrar jambangan bunga dan brownies coklat itu.

"Rasanya dah lama juga pakcik tu tak minta mereka hantar bunga dam brownies. Ibu pun dah tak dapat benda-benda tu. Hm... Baguslah tu." Malik senyum kecil.

Tujuan kedua pula...

"Malik."

Malik terus menoleh ke arah sebelahnya. Mika berdiri di situ, tangan kanannya memegang beg plastik kecil berisi reben aneka warna, yang dibeli di kedai dua ringgit di hujung deretan lot kedai itu.

"Kau buat apa di sini?" Mika terus bertanya. Hairan dia dibuatnya melihat remaja itu berdiri tidak jauh dari tempat kerjanya.

"Er... Tak ada apa-apa. Saja je."

"Saja?" Mika angkat kening.

"Ya. Saja."

"O-key..." Mika mengangguk, lalu melihat jam tangannya. "Kejap lagi waktu aku rehat. Aku belanja kau makan, nak?"

"Eh?" Malik terpinga-pinga.

"Kenapa? Tak nak ke? Kedainya tak jauh dari sini la. Jomlah."

"Er..."

(...)

Keluar sahaja dari kedai runcit, Aliya terus berjalan laju menuju ke arah rumahnya. Sempat lagi dia melihat ke sekitar. Ugutan setan itu masih berlegar-legar di mindanya. Langkahnya terus menuju ke jalan pintas ke rumah yang terletak di sebalik deretan rumah kedai itu.

"Dia tak ada, kan?" Aliya membebel perlahan.

Entah mengapa dia terdengar bunyi tapak kaki.

Langkah Aliya terhenti. Matanya terus melihat ke arah kawasan sekitar. Hanya dia sahaja di lorong itu. Di sebelah kiri lorong itu ada deretan tong sampah besi, di sebelah kanan pula hanya semak samun.

"Tak ada orang. Perasaan je kot." Aliya tarik nafas panjang.

Namun, sebaik sahaja dia mahu buka langkah, suara seseorang sedang berbisik menjengah gegendang telinganya.

"Abang dah kata, abang akan cari adik, kan?"

Serentak dengan itu juga, mulut Aliya ditekup dari belakang.

(...)

"Yeay! Aiskrim!"

Zahra hanya merenung Safiya yang seronok makan aiskrim Unicornetto di sebelahnya. Laju sahaja aiskrim itu tinggal separuh. Habis comot mulutnya dek menikmati aiskrim itu.

"Cepat betul adik aku ni makan aiskrim. Tak brain-freeze ke nanti? Aku makan aiskrim laju sikit je dah sakit kepala," gumam Zahra perlahan. Sehelai tisu dikeluarkan dari dalam beg silangnya, lalu dia mengelap mulut Safiya itu.

"Makanlah elok-elok, Pia. Kan dah comot."

Safiya hanya sengih. Mereka kemudian terus berjalan pulang ke rumah.

"Kak Rara tak beli aiskrim?" Safiya bertanya sambil menggigit sedikit kon aiskrim itu. Zahra hanya menggeleng.

"Kenapa?"

"Aiskrim yang Kak Rara nak beli dah habis," kata Zahra selamba. Padahal sebenarnya baki duit beli barang dapur tadi cukup-cukup untuk beli aiskrim Safiya sahaja.

"Kesian Kak Rara tak dapat makan aiskrim," kata Safiya lagi.

Zahra hanya senyum. "Tak apalah. Bukannya tak boleh makan aiskrim lagi lepas ni."

Bunyi tong sampah berlaga menarik perhatian Zahra dan Safiya. Lantas mereka menoleh ke arah lorong yang berada di sebelah mereka.

Ada kelibat seorang gadis sedang meronta-ronta dipaut seorang lelaki serba hitam. Tong sampah yang diterajang gadis itu sewaktu dia meronta tadi sudah tergolek ke tepi.

Zahra cukup kenal siapa gadis itu.

"Aliya?"

Safiya pula tekup mulut. "Kak Rara, ada orang jahat!"

Zahra terus pandang Safiya. "Pia, pergi beritahu semua orang, ada orang jahat nak culik kawan Kak Rara. Kak Rara nak pergi tolong dia. Cepat!"

Safiya mengangguk faham lalu berlari, berpatah balik menuju ke arah kawasan lot kedai. Zahra pula mencapai sebatang kayu yang berada di tepi lorong itu, lalu berlari ke arah lembaga hitam itu.

"Woi! Lepaskan kawan aku!"

TranceWhere stories live. Discover now