Bab 23

279 34 19
                                    

"Fuh, penat sungguh! Sempat juga sampai!"

Salleh mengesat peluh yang merenik di dahi sebaik sahaja kakinya menjejak susur gajah utama sekolah. Pagi ini dia terlewat bangun, sebab berjaga hingga jam 3 pagi semata-mata untuk mengulangkaji. Mujur juga semua keperluannya sudah disiapkan malam tadi. Tidak sempat langsung mahu menelefon Andi pagi tadi.

"Harapnya dia ingat hari ni exam," gumam Salleh perlahan.

Langkahnya terhenti seketika di ruang letak basikal. Matanya melilau mencari sesuatu. Dahinya kemudian berkerut seketika.

"Mana pula Andi ni? Hari ni tak datang ke? Tak ada pun basikalnya."

Salleh sambung berjalan ke arah blok kelas apabila dia ternampak gelagat seseorang yang sedang merayau sekeliling sekolah, di wajahnya terpamer rasa takjub. Seolah-olah tidak pernah jejak kaki di sekolah pula gayanya.

Dengan pantas dia menghampiri pelajar itu.

"Andi?"

Andi terus menoleh ke arah Salleh.

"Oh? Hai awak! Lama tak jumpa!"

Salleh terkebil-kebil kehairanan.

"Lama tak jumpa? Baru malam tadi kita bersembang di telefon."

"Ye ke?" Kepalanya diteleng sedikit ke kanan. "Tak ingat pun."

Salleh terus garu kepala. Serentak dengan itu, loceng perhimpunan pagi berdering. Dengan segera Salleh menarik pelajar itu ke tapak perhimpunan.

"Nak bawa kita pergi mana ni?"

"Beratur. Kejap lagi nak masuk kelas."

(...)

Kelas kini hampir penuh dengan pelajar. Kebanyakan pelajar sudah duduk di meja masing-masing. Namun Andi masih tercatuk di pintu hadapan kelas. Berdiri sahaja di situ.

"Andi," tegur Salleh yang sudah duduk di mejanya. Meja kosong bersebelahan mejanya, yang terletak di sebelah tingkap ditunjuk. "Ni meja awak. Takkan tak ingat?"

Andi hanya sengih, lalu berjalan ke arah meja yang ditunjuk Salleh. Tidak lama kemudian, Cikgu Wadi masuk ke kelas sambil membawa kertas soalan peperiksaan.

"Assalammualaikum dan selamat pagi, cikgu!" Seluruh kelas mengucapkan salam.

"Waalaikumussalam dan selamat pagi. Sekarang, sila simpan semua buku. Kejap lagi kertas soalan akan diedarkan."

"Kertas soalan? Eh?" Andi menoleh ke arah Salleh.

"La. Kan dah cakap hari ni exam Matematik. Lupa juga ke?"

Mata Andi tiba-tiba bersinar. Sengihnya melebar. Salleh pula naik seram dengan gelagat sahabatnya itu.

(...)

"Okey. Boleh mula menjawab..." Cikgu Wadi melihat ke arah jam di dinding kelas. "...sekarang."

Bunyi kertas diselak kedengaran dengan kuat. Yalah, hampir serentak kertas soalan masing-masing dibuka. Salleh pandang ke arah Andi seketika.

Baru dia perasan sesuatu. Andi menulis jalan penyelesaian dengan sangat pantas, dan kalkulator di tepi meja langsung tidak disentuh. Juga...

"Bila masa pula Andi ni kidal?" Salleh berbisik.

(...)

Sudah hampir sejam berlalu. Namun, bagi Cikgu Wadi, dia sudah mula berasa tertekan. Masakan tidak, selepas kira-kira 30 minit peperiksaan berjalan, pasti ada seorang pelajar mengadu selang lima minit.

TranceWhere stories live. Discover now