Penutup bekas dibuka, kemudian segenggam kecil makanan ikan dikeluarkan dari bekas. Sedikit demi sedikit makanan ikan itu dicampak ke dalam kolam.
“Apa yang mengganggu fikiran anak saudara kesayangan pak usu ni? Masam saja muka tu.” tegur Aryyan seraya melabuhkan punggung di sebelah Hara. Dagu Hara dicuitnya sebelum membuang pandang ke arah ikan-ikan yang berenang di permukaan air.
“Pak usu, kalau ada orang nak cederakan keluarga kita, apa yang kita perlu buat?” soal Hara.
“Halang dia.” Jawapan ringkas daripada Aryyan membuatkan Hara cemberut. Dia tidak berpuas hati dengan jawapan yang diterima. Halang? Halang macam mana?
“Memanglah kita kena halang dia. Cuba pak usu cakap, macam mana nak halang orang tu?”
“Tangkap dia.” balasan Aryyan masih tidak mampu memuaskan hati Hara. Kenapa berat sangat mulut pak usunya mahu menjawab hari ini? Dua patah perkataan sahaja yang keluar.
“Pak usu, cakaplah banyak sikit. Kalau pak usu cakap sikit macam ni, macam mana kalau Hara salah faham nanti? Yang bukan-bukan saja Hara buat nanti.” ujar Hara. Aryyan menggosok lembut kepala Hara seraya berpusing menghadap ke arah Hara.
“Kenapa Hara tanya pak usu tentang ini? Ada apa-apa yang terjadi ke?” soal Aryyan.
“Tak adalah. Hara cuma tanya memandangkan baru-baru ini ada orang cederakan Abang Aqeef. Cakaplah, apa yang pak usu akan buat kalau ada orang cederakan keluarga pak usu.”
“Pak usu tak boleh bagitahu,” kata Aryyan. Tidak akanlah dia mahu memberitahu bagaimana dia bertindak kejam tanpa kawalan apabila musuh bertindak mencederakan orang kesayangannya? Dia tidak mahu perkara itu terjadi lagi.
“Ala... Kenapa?” Hara menggoncang tangan Aryyan beberapa kali. Dia terlalu terdesak untuk tahu apa yang akan dilakukan oleh pak usunya. Nanti, jika dia selamat sampai di Gynzells, bolehlah dia merancang apa yang perlu dilakukan.
“Pak usu tak boleh cakap, tapi pak usu akan bagitahu perkara asas kepada Hara jika ada orang mencederakan sesiapa sahajalah.”
“Haa... Apa dia?” Riak wajah cemberut Hara bertukar teruja.
“Katakan kalau situasi Hara masa itu, Hara nampak dia cederakan kekasih Hara...”
“Apa pula kekasih Hara? Mengarutlah pak usu ni.” pangkas Hara. Pelik pula dirasakan apabila Aryyan tiba-tiba menggunakan contoh 'kekasih'. Dia tidak biasa dan tidak berminat untuk ada kekasih walaupun kadang-kadang dia tertarik dengan lelaki berwajah kacak.
“Ish budak ni! Pak usu guna sebagai contoh sajalah.” Bahu Hara ditampar perlahan.
“Rasa peliklah pak usu. Cuba pak usu tukar orang lain sebagai contoh.”
“Okay fine! Pak usu guna Kak Mikaila sebagai contoh. Dengar baik-baik dan jangan cuba-cuba nak potong percakapan pak usu. Kalau tak, pak usu tak nak cakap.” ujar Aryyan.
“Hara janji, Hara akan tunggu pak usu habis cakap dulu.” Hara sengih.
“Macam ni... katakan Hara ternampak seseorang cederakan Kak Mikaila. Perkara pertama Hara kena buat ialah panggil seseorang untuk tolong Kak Mikaila. Jika kecederaan Kak Mikaila tidaklah parah sangat, Hara boleh terus kejar orang jahat yang cederakan Kak Mikaila tu.” jelas Aryyan. Terangguk-angguk Hara yang mendengar.
“Yang itu Hara tahu. Macam inilah... Hara bagi situasi, kemudian pak usu cakap apa yang Hara perlu buat.”
“Cakaplah.”
“Hmm Hara tak ada dekat tempat kejadian, tapi tak lama selepas itu, Hara dapat tahu ada seseorang cederakan Kak Mikaila. Kemudian, Hara dapat tahu siapa orang yang cederakan Kak Mikaila dan orang itu berada jauh daripada Hara. Apa yang Hara patut buat memandangkan Hara sudah tahu pelakunya dan di mana pelaku itu berada?” soal Hara.
KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantasy[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...