Tubuh digeliatkan. Puas dan lena dia tidur tadi. Air liur basi yang meleleh tidak dihiraukan. Rambut sudah mengembang dan serabai. Dengan mata yang celik tidak celik Hara bangun dan berjalan ke bilik air. Secepatnya dia membersihkan diri.
Sekarang entah sudah pukul berapa. Sarapan pun entah sempat atau tidak. Hara hanya mahu tidur puas-puas semalam kerana terlalu letih. Dia tidak terbiasa menaiki kereta membuatkan badannya menjadi tidak selesa. Untuk ke sini, dia terpaksa menahan semua ketidakselesaan itu.
Rambut disikat rapi dan dipakaikan satu jepit rambut di bahagian kiri atas kepala. Usai itu, Hara mencapai kasut flat berwarna biru muda lalu dipakai. Gaun putih pada tubuhnya dibelek.
Dia sukakan warna putih kerana sama dengan warna White dan Nia, tetapi Hara tidak selalu memakai pakaian berwarna putih di Florensia kerana pakaiannya selalu kotor akibat kuat bermain. Sayang pula hendak mengotorkan pakaian berwarna putih. Sudahlah kotorannya sukar ditanggalkan.
Kali ini Hara datang ke Gynzells bukanlah untuk bermain. Jadi, dia membuat keputusan untuk memakai pakaian putih untuk beberapa hari. Biarlah dia akan menjadi muak sekalipun.
Anak tangga dituruni satu per satu sambil mata dililaukan mencari kelibat Raja Rafiq. Istana pada waktu tengahari ini kelihatan agak sunyi berbanding hari biasa. Para dayang yang berkerja pun hanya seorang dua yang kelihatan.
“Jayden.” panggil Hara sebaik sahaja melihat Jayden melintasi ruang tamu. Lelaki itu terus berhenti dan menoleh ke arahnya.
“Ada apa-apa yang patik boleh bantu tuan puteri?” tanya Jayden.
“Di mana Tuanku Raja Rafiq?”
“Tuanku sekarang ini sedang bermesyuarat. Mungkin akan selesai tepat waktu makan tengahari. Kiranya sekejap lagilah.” jelas Jayden sambil mengerling ke arah jam tangannya. Terangguk-angguk Hara seketika.
“Tak apalah.” Hara segera turun. Sofa menjadi sasarannya untuk melabuhkan punggung sementara menunggu makanan tengahari disiapkan. Langkau sahajalah sarapan memandangkan sudah pukul sebelas pagi.
“Puteri Aralyn...” Suara Jayden kedengaran. Hara segera menoleh ke tepi. Huluran Jayden dipandang dengan kerutan di dahi. Tiba-tiba sahaja Jayden hulur lolipop ke arahnya.
“Makanlah dulu kalau nak sementara menunggu masuk waktu makan tengahari.” tutur Jayden. Aralyn sengih sebelum menyambut huluran itu.
“Terima kasih,” ucap Hara. Dia menguap kecil di akhir katanya. Tubuh dibaringkan sambil membuka plastik lolipop setelah Jayden beredar. Mata yang terlalu mengantuk membuatkan Hara terlena tanpa sedar. Hebat sungguh penangan sakit kerana menaiki kereta.
“Dah macam Puteri Beradu dah tuan puteri kita. Tidur atas sofa dengan pakaian cantik. Sofa pun jadilah...” ujar Rylene sambil tangan lincah bergerak menyusun pinggan di atas meja. Hanim ketawa kecil.
“Serius. Aku tak pernah tengok dia tidur lama macam ni. Semalam kau ingat dia cakap dia dah mengantuk walhal baru pukul sembilan? Masuk bilik, dia betul-betul tidur. Sekejap tadi baru bangun, kemudian terlena balik.” ujar Hanim.
“Penat sangat agaknya.” Rylene membuat andaian. Selesai menyusun pinggan, mereka berjalan ke dapur semula untuk mengambil lauk-pauk yang sudah siap dimasak.
Raja Rafiq melangkah ke ruang tengah dalam istana setelah menghabiskan mesyuarat di bilik mesyuarat. Matanya melilau mencari kelibat Hara. Tiada pula gadis itu di mana-mana. Tidak akanlah belum turun dari bilik? Belum sempat kaki hendak melangkah naik ke atas anak tangga, suara Jayden kedengaran.
“Tuanku mencari Puteri Aralyn?” tanya Jayden. Raja Rafiq angguk mengiakan.
“Puteri Aralyn berada di ruang tamu. Setengah jam yang lepas Puteri Aralyn turun ke bawah dan masih tidak berganjak pergi dari ruang tamu.” jelas Jayden.

KAMU SEDANG MEMBACA
KINGDOM : PUTERI HARA ARALYN
Fantasia[COMPLETE] [MODERN + ROYAL FANTASY + ACTION ROMANCE] Dendam dan keadilan... Membawa dia ke negara bernama Gynzells, bersebelahan Florensia. Berjumpa dengan seorang raja yang tidak pernah dikenalinya membuahkan rancangan yang memakan diri sendiri. Ja...