BAB 46

504 49 9
                                    

Aroma teh yang masih mengeluarkan wap, menyapa hidung. Kuih-muih dihidang kemas lalu Hara duduk di atas kerusi kosong berhadapan Raja Rafiq. Lelaki itu langsung tidak mengalihkan pandangan. Mata fokus memandang aksara dalam bahan bacaan yang dipegang.

Seketika Hara memandang seraut wajah beriak biasa itu. Kemudian teh dituang ke dalam cangkir dan diletakkan di hadapan Raja Rafiq.

“Tuanku...” panggil Hara. Raja Rafiq tetap tidak mengalihkan pandangannya, namun deheman diberi tanda menjawab.

“Minumlah teh. Apa yang tuanku sedang bacakan sekarang?” soal Hara seraya menolak sedikit cangkir teh. Raja Rafiq turunkan bahan bacaan yang dipegang. Mata memandang seraut wajah Hara lalu senyuman nipis dilorek.

“Hanya beberapa maklumat,” jawab Raja Rafiq seraya mengangkat cangkir. Teh yang masih panas dihirupnya sedikit. Seusai itu, dia sambung membaca kembali. Tidak dihiraukan Hara yang sudah memuncung tidak berpuas hati.

Sebiji kuih di dalam pinggan diambil Hara. Untuk seketika dia memandang kuih dan Raja Rafiq silih berganti. Akal mula merencanakan sesuatu agar Raja Rafiq fokus kepadanya pula. Tangan yang masih memegang kuih didekatkan pada bibir Raja Rafiq.

Fikirnya lelaki itu menolak, namun lain pula yang jadi. Raja Rafiq selamba menggigit kuih itu sedikit. Mata langsung tidak lepas daripada memandang bahan bacaan di tangan.

Hara kemam bibir menahan senyuman. Apa hal dia rasa gembira semacam sahaja? Rasa nak melompat pun ada. Aish! Macam inikah rasa apabila orang sedang jatuh cinta?

“Suap lagi,” pinta Raja Rafiq. Gemuruh dirasakan Hara, namun tangan tetap menyuap kuih yang berbaki.

Sesudah itu, wajah ditekup. Hangat sungguh! Tidak dapat Hara tahan debaran di dada yang sedang menggila.

Raja Rafiq menoleh sekilas. Pipi Hara yang jelas kemerahan tonanya membuatkan dia ketawa kecil lantas menggeleng perlahan. Bahan bacaan diletak ke tepi. Raja Rafiq pusing menghadap ke arah Hara lalu cangkir teh miliknya diangkat. Seketika dia menghirup teh yang berbaki.

“Kenapa tidak minum teh kamu?” tanya Raja Rafiq. Teh Hara dilihatnya langsung tidak bersentuh. Itu bermakna, Hara belum menghirup sedikit pun teh tersebut.

“Tuanku belum makan lagi, mana berani patik nak habiskan teh patik.” jawab Hara seraya bersandar pada kerusi. Teh dihirupnya perlahan-lahan.

“Betul ke? Sebelum ini Puteri Aralyn tidak seperti ini. Sama ada beta belum makan atau belum mengizinkan, Puteri Aralyn tetap melakukan apa-apa sahaja sesuka hati Puteri Aralyn.” ujar Raja Rafiq. Hara menongkat dagu memandang ke arah Raja Rafiq. Main ungkit-ungkit pula! Bibir melorek senyuman manis.

“Patik bukanlah seseorang yang suka mengikut aturan. Seperti yang tuanku tahu, patik seorang puteri yang nakal. Patik suka melakukan apa-apa sahaja mengikut kebebasan dan apa yang patik mahukan.” tutur Hara. Dagu Raja Rafiq dimainkan menggunakan jari jemarinya.

“Ops!” Jayden menutup mata lalu berpusing membelakangi mereka berdua. Niatnya ke situ untuk menemui Raja Rafiq. Tidak disangka pula ternampak permandangan manis antara Raja Rafiq dan Hara.

“Maaf. Patik minta diri dulu.” Jayden segera beredar. Hara ketawa kecil melihatkan itu.

“Comelnya Jayden,” kata Hara. Wajah Raja Rafiq berkerut tidak percaya. Hara baru puji Jayden comel? Itu pula di hadapannya? Eh budak ni! Tangan Hara yang masih menyentuh dagunya ditepis. Kemudian, pipi Hara dicubit.

“Puteri Hara Aralyn...”

Terpinga-pinga Hara memandang Raja Rafiq. Apa masalah pula sampai main cubit-cubit pipinya?

KINGDOM : PUTERI HARA ARALYNTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang