BAB 13

493 48 8
                                    

Tubuh dibaringkan di atas tilam. Lelah terasa tubuh setelah keluar berjalan-jalan. Agaknya Raja Rafiq sudah pulang atau belum? Sejenak Hara mengerutkan wajah. Macam mana dia boleh terfikirkan Raja Rafiq pula? Adakah dia sedang menantikan kepulangan Raja Rafiq? Mengapa tiba-tiba sangat?

Pipi ditampar dan kepala digeleng beberapa kali tatkala soalan-soalan tersebut menerpa fikiran. Buang tabiat sungguh dia terfikirkan keadaan Raja Rafiq.

“Kau kenapa?” tanya Hanim. Hairan melihat perilaku sahabatnya itu.

“Tak ada apa.” nafi Hara. Badan dipusingkan ke posisi meniarap. Buku yang dipinjam daripada Raja Rafiq tempoh hari dibelek.

Memandangkan dia sudah menjadi dayang istana sekarang ini, jadi kebebasannya agak terbatas. Mahu keluar dari istana pun terpaksa menipu pengawal yang menjaga pintu. Lagi pula sekarang ini dia ditugaskan untuk mengemas bilik bacaan milik Raja Rafiq. Semakin sukarlah dia hendak keluar.

“Aralyn, aku ada berita buruk.” ujar Rylene. Terkocoh-kocoh dia menghampiri Hara sebaik sahaja masuk ke dalam bilik yang menempatkan mereka.

“Apa dia?” Berkerut dahi Hara memandang ke arah Rylene. Berita buruk dia bukan main buruk nampaknya melihatkan Rylene menggelabah sebegitu.

“Tuanku Raja Rafiq sudah pulang. Sekarang tuanku ada dalam bilik bacaan dan yang paling penting...” Rylene menjeda seketika. Nafas disedut kuat dan dihembus. Habis hilang oksigen berhampirannya kerana terlalu panik.

“Apa dia?” tanya Hanim. Dia pula berasa seram sejuk ingin mendengar kata-kata Rylene yang seterusnya.

“Tuanku Raja Rafiq panggil kau sekarang Aralyn.”

Buk!

Hanim pengsan setelah Rylene menghabiskan ayatnya. Disebabkan dia teringat Hara meninggalkan pekerjaannya iaitu mengemas bilik bacaan Raja Rafiq petang tadi, dia menjadi terkejut sehingga pengsan. Janganlah Raja Rafiq apa-apakan Hara.

“Weh, kau kenapa pula?” Rylene menepuk pipi Hanim beberapa kali ingin menyedarkan gadis itu, namun langsung tiada reaksi.

“Kau uruskan Hanim. Aku pergi jumpa Tuanku Raja Rafiq sekejap.” Hara meminta diri. Tiada rasa gentar langsung ingin bersemuka dengan Raja Rafiq sekarang ini. Jika perbuatan meninggalkan pekerjaannya ketahuan, dia mungkin akan didenda sahaja.

“Kau akan okey ke?” soal Rylene. Bimbang juga dia memikirkan apa yang mahu dilakukan oleh Raja Rafiq terhadap sahabatnya itu.

“Okey. Akukan bijak. Pandailah aku tangani Tuanku Raja Rafiq. Jangan risau.” Bahu Rylene ditepuk beberapa kali sebelum beredar.

Kaki dihayun berhati-hati melangkah satu demi satu anak tangga. Mata diliarkan ke tepi. Permandangan di hadapan balkoni Istana Gynzells pun tidak kurangnya cantik dibandingkan dengan Istana Florensia.

“Cik Aralyn...” Mendengar namanya dipanggil, Hara lantas menghentikan langkah. Wajah dipalingkan ke hadapan memandang satu susuk tubuh berpakaian segak.

“Ya? Awak orang yang selalu berada di sisi tuanku bukan?” tanya Hara. Seingatnya dia pernah melihat orang itu.

“Betul. Nama saya Jayden. Cik Aralyn, silakan ke bilik bacaan. Tuanku sudah lama menunggu cik.” ujar Jayden.

“Sebenarnya kenapa Tuanku Raja Rafiq memanggil saya?” soal Hara ingin tahu. Kakinya tetap dihayun ke depan mengikuti langkah Jayden sehingga ke bilik bacaan.

“Itu... saya pun tidak tahu. Nanti Cik Aralyn tahu juga.” Balasan Jayden buatkan Hara juihkan bibirnya. Tidak tahu? Seriuslah? Sebagai orang kanan Raja Rafiq, bukankah hampir kesemua perkara dia tahu? Ish! Berahsia sungguh!

KINGDOM : PUTERI HARA ARALYNTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang